Wednesday, April 21, 2010

Beza antara Usrah dan Liqa Fikri

Usrah hanya melibatkan kelompok yang kecil. Dan ia merupakan sesi dua hala.


1. "Syeikh, jom kita buat usrah. Dah lama sangat kita tak usrah ni" komen seorang ikhwah kepada sahabatnya.

2. "Eh, semalam bukan ke kita dah buat usrah. Dengan Ustaz xxxx?" balas sahabatnya kehairanan.

3. "Bagi ana, semalam tu bukan usrah. Ramai macam tu sampai 40 orang. Ntah naqib kenal ke tidak nama kita nie. Rasanya lebih sesuai program semalam tu namanya Liqa Fikri" protes ikhwah itu semula.

4. "Err, Liqa Fikri tue apa ye akhi? Apa pulak bezanya dengan usrah?" sahabatnya menyoal kembali sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. 

5. Ana yang kebetulan lalu di sebelah mereka segera mengajak mereka berbincang panjang mengenai Usrah dan Liqa Fikri.

USRAH

6. Usrah adalah tempat untuk mencambahkan fikrah. Ia merupakan satu sunnah Rasulullah dan diamalkan sejak awal permulaan Islam lagi. Rumah Al Arqam bin Abi Al Arqam menjadi saksi kepada usaha murni ini dilaksanakan.

7. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan faktor pemangkin kepada penerimaan rakyat madinah kepada kepimpinan Rasulullah kerana telah melalui proses usrah yang diketuai oleh Musab Bin Umair dan 11 rakannya yang lain.

8. Faktor keberjayaan usrah ialah apabila naqib mampu mengenali potensi dan kelemahan anak usrahnya. Naqib itu mampu untuk bercakap mengikut level kefahaman anak usrahnya. Bahkan, naqib itu mampu mengatur gerak kerja yang bersesuaian dengan minat dan kemampuan anak usrahnya selepas sahaja liqa usrah berakhir.

9. Namun, adakah semua itu mampu dilaksanakan jika naqib sendiri tidak mengenal siapa anak buahnya, apakah namanya, apakah kelebihannya, dari negeri manakah dia berasal, apakah hobinya, bagaimanakah ibadahnya dan sebagainya! 

10. Lalu proses usrah menjadi hambar. Sepatutnya usrah yang berbentuk perbincangan dan dua hala berubah menjadi satu hala dan cukup membosankan!

11. Kadangkala, ia bukanlah kesalahan naqib yang dijemput. Apakan daya bagi seorang naqib untuk berinteraksi dengan 40 anak usrahnya dalam masa yang cuma satu jam setengah? Bahkan, di sesetengah tempat mencecah kepada ratusan orang. Lalu penyelesaiannya naqib memilih untuk menyampaikan kuliah dan bukannya usrah!

LIQA FIKRI

Contoh perlaksanaan liqa fikri. Bahan Liqa disebarkan , Naqib mengambil tempat di hadapan. Dipengerusikan oleh anak usrah. Sesi soal jawab mengambil bahagian di hujung rancangan.


12. Atas sebab itulah, ana lebih gemar jika penggunaan istilah yang tepat digunakan apabila majlis seperti itu dilakukan. Bagi ana, ia bukanlah usrah tetapi lebih sesuai disebut sebagai Liqa Fikri.

13. Di sesetengah tempat, Liqa Fikri ini disebut sebagai Usrah Gabungan.

14. Hakikatnya, Liqa Fikri ini digunakan untuk menyelaskan kembali fikrah abnaul harakah yang telah pun berusrah di kelompok-kelompok kecil yang pelbagai. Penyelarasan supaya dari kelompok-kelompok yang ramai itu dapat melahirkan wehdatul fikr seterusnya menzahirkan wehdatul amal. Maka semestinya naqibnya perlu figure yang betul-betul mantap fikrahnya dan ahli liqa fikrinya boleh ramai.

15. Liqa Fikri juga merupakan platform bagi kepimpinan jemaah untuk menyalurkan maklumat kepada ahli-ahli usrah.  Keputusan-keputusan rasmi yang telah disyurakan kadang kala memerlukan kepada penjelasan dan liqa fikri adalah tempat yang terbaik untuk berbuat demikian.

16. Namun, akibat tidak memahami perbezaan yang ketara antara Liqa Fikri dan Usrah ini, maka ramai yang mengambil kesempatan untuk memukul rata sahaja kaedah perlaksanaannya. Sepatutnya majlis itu adalah usrah, tapi dijalankan seumpama liqa fikri, dan sepatutnya masa itu adalah liqa fikri, tapi bilangan yang hadir lebih sesuai diadakan usrah.

17. Ana menghentikan huraian ana yang panjang lebar apabila melihat kerutan di dahi dua orang ikhwah itu mula menghilang.  "Owh, jadi memang beza le antara usrah dan liqa Fikri ni ye Akhi Hakim. Faham le ana begitu" respon sahabat tersebut sambil tersenyum.

18. "Lepas nie kita kena cadangkan kepada kepimpinan supaya adakan juga usrah walaupun dah ada liqa fikri. Betul tak akhi? respon kawannya pula.

19. Belum sempat ana menjawab, rakannya pula mencelah, "Tapi, ada ke naqib yang nak bawak usrah kita nanti? Dengar khabar pimpinan buat liqa fikri tu sebab tak ada naqib bila dibuat usrah secara kelompok-kelompok kecil." Keluhan ikhwah itu disambut dengan anggukan oleh rakannya.

20. "Ye lah, siapa le yang sudi menjadi naqib kepada kami ni" sambil matanya menjeling kepada ana penuh tersirat.

20. Ana segera menyambut keluhan ikwah berdua tersebut , "Insya Allah akhi, ana sanggup, kerana Allah demi Islam" sambil disambut pelukan mereka berdua.




Labels: ,


Baca Lagi!

Gambar Ekslusif Rakan Masjid UTP sempena ijtimak Sanawi

Setelah mendapat permintaan daripada beberapa sahabat yang mahu melihat gambar-gambar kepimpinan Rakan Masjid yang lalu, maka ana telah berusaha mencarinya dan Alhamdulillah, inilah gambarnya.

Saf kepimpinan muslimat Rakan Masjid UTP 2010/2011, tunduk ke bawah menginsafi beratnya amanah


Saf kepimpinan muslimin Rakan Masjid UTP 2010/2011. Turut tunduk merendah diri.


Inilah barisan kepimpinan yang meletakkan "da'wah sebagai laku utama"


Kegembiraan jelas terpancar di barisan exco Rakan Masjid 2009/2010 yang telah melepas beban.. Eh, yang di sebelah kanan sekali tu, tengah menangis ke tu? (^_^)


Alhamdulillah, selesai jua amanah yang diberikan kepada kami.


Posing istimewa untuk semua warga UTP dari Rakan Masjid 2009/2010


dan.... gambar yang dinanti-nantikan....

.
..
...
....
....
.....
........

inilah dia...

PRESIDEN RAKAN MASJID UTP 2010/2011

AKHI MOHAMAD HAFIZI BIN ZAKARIA


Ucapan yang begitu bersemangat.. 3 bahasa sekaligus mampu diungkapkan... hebat!

Labels: , ,


Baca Lagi!

Tuesday, April 20, 2010

Indahnya namamu.... dan ayahmu


Nama: Mohd Hakim bin Mohd Nor


"Siapa nama encik? " tanya juruhebah radio IKIM di suatu petang. Menjadi kebiasaan setiap petang akan ada sesi temu bual dengan pendengar radio IKIM bagi slot info masjid. Slot ini bertujuan untuk menghebahkan aktiviti masjid dan surau kepada masyarakat.

"Nama saya Megat" ringkas jawapan si pemanggil.

"Boleh bagi nama penuh encik?" sekali lagi juruhebah bertanya.

"Panggil Megat aje lah." si pemanggil cuba untuk mengelak memberikan nama penuhnya.

Deejay IKIM kembali bertanya dengan nada yang agak tegas. " Kalau tak dapat nak penuh, kami tak dapat bantu encik siarkan maklumat yang encik ingin sampaikan"

"Owh.. maaf-maaf. Nama saya  Megat Zulkarnain" jelas si pemanggil dengan nada keberatan.

"Encik Megat bin apa ye?" soal Deejay lagi. Barangkali saat ini rasa geramnya sudah memuncak kerana terdengar sedikit getaran di hujung suaranya. Seolah-olah menahan geram yang amat sangat.

"Megat Zulkarnain Bin Megat Zulnazri" jawab si pemanggil tersipu-sipu malu.

"Haa... kan cantik nama encik Megat ni. Kenapa nak dimalukan dengan nama penuh kita. Sedangkan jika di Jazirah Arab, mereka berbangga dengan nasab mereka bahkan mampu menghafal hingga ke dua puluh keturunan ke atas. Barulah dapat keabsahan maklumat bila mengetahui siapa yang menyampaikan info. Ini slot memberikan info, bukannya sesi memberikan pandangan. Kalau memberikan pandangan, nick name pun tidak mengapa!" bebel sang Deejay bercampur sedikit kesal dengan sikap dan perangai pemanggil.

Hakikatnya, bukan Megat sahaja yang bersikap sedemikian petang itu, malah hampir semua pemanggil perlu di ulang tanya oleh Deejay yang bertugas nama penuh terutamanya nama ayah si pemanggil!

NAMA

Ana teringat kisah semasa kecil-kecil dahulu. Ana bukan main pantang bila ada rakan-rakan mempermainkan nama ayah ana. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain, sampai sanggup bertumbuk untuk mempertahankan 'kemuliaan' nama ayah mereka.

Pernah ana menyaksikan seorang rakan ditampar kerana mengejek nama ayah rakannya yang terkenal dengan sifat panas baran. Nama ayah kepada si penampar itu ialah Mansor. Diejeknya dengan dialog cerita cina apabila meraikan Raja, " Mansoi... mansoi.. ma man Mansor". Bahkan ejekan itu dilakonkan pula dengan tangan yang digenggam kehadapan. Apa lagi, tangan naik kemuka. Pang~

Maharaja Cina

Sifat mempertahankan nama ayah masing-masing adalah satu naluri semulajadi. Kerana kita amat menghormati ayah kita dan juga kerana memuliakannya.

Tapi hairan, apabila sudah besar panjang, perasaan bangga dengan ayah masing-masing itu seolah-olah dilupakan, bahkan timbul pula perasaan malu. Malu untuk menyebut nama ayah sendiri? Jika kalian sudah malu menyebut nama ayah sendiri, agaknya apa pula perasaan yang timbul jika ayah kalian sendiri datang berjumpa kalian semasa sedang bersama-sama dengan rakan-rakan kalian?

Bukan sekadar malu dan berat untuk menyebut nama ayah, nama sendiri juga seringkali disebut pendek. Bahkan lebih teruk dari itu, di tukarkan pula kepada nama ala-ala barat.

Salimah menjadi Sally.

Shamsiah menjadi Sam.

Borhan menjadi Bob.

Azrul menjadi  Roy

Khadijah menjadi Ketty !


SABDA NABI

"Abu Darda ada meriwayatkan yang Rasulullah SAW ada bersabda: Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-namamu. (riwayat Abu Daud).

Nama merupakan irama yang paling indah. Siapa sahaja akan gembira bila orang mengingati namanya. Bahkan, Ianya bukan sahaja digunakan di dunia, bahkan akan berterusan digunakan di akhirat sejajar dengan hadis Nabi di atas.

Maka, apakah lagi alasan yang mahu digunakan untuk tidak menggunakan nama yang elok dan sempurna. Berbanggalah dengan nama kita yang membawa maksud yang baik begitu juga nama ayah kita.

Secara realitinya, bukan sahaja perkara ini berlaku semasa berucap seperti melalui radio tadi, namun seringkali juga berlaku dalam penulisan.

Semester lepas semasa menjadi tutor kepada Subjek Electro Magentic Theory, sempat ana menyemak beberapa kertas jawapan tutorial yang dihantar kepada ana. Hampir 70% meletakkan nama mereka sahaja di kertas jawapan tanpat nama ayah mereka. Hampir-hampir ana tidak dapat membezakan beberapa kertas jawapan kerana mempunyai nama yang sama , mujur NO ID menjadi penyelamat keadaan. Ini menguatkan lagi azam ana untuk menghentikan gejala yang tidak sihat ini.

Bagi ana, perkara ini perlu disedarkan dengan segera kepada masyarakat. Amat berbahaya sekali situasi ini kerana golongan terpelajar seperti mahasiswa Universiti pun sudah mula tidak menghargai kesempurnaan nama mereka. Maka, apakah lagi yang tinggal sebagai identiti diri kita jika nama pun sudah tidak dihargai? 

Snipper


Mungkin ini adalah kesan kepada penggunaan internet yang membenarkan identiti diri dibentuk secara rahsia, anonymous, nick name dan sebagainya. Akhirnya ia telah membentuk ramai Snipper @ Penembak curi  di kalangan rakyat. Kesan yang paling ditakutkan ialah hilangnya integriti dan jati diri, kerana semua perlakuan dan perkataan tidak mahu dipertanggungjawabkan oleh si pembuat, kerana itu adalah identiti yang direka!

Petang ini ana ingin sekali lagi mendengar radio IKIM, masih adakah lagi pendengar yang masih malu menyebut nama penuhnya?


Labels: ,


Baca Lagi!

Monday, April 19, 2010

Bagaimana untuk rasa bahagia?


Suasana tasik yang tenang dan membahagiakan diri.

1. "Abang Hakim, macamana ye nak rasa bahagia? Ana tengok abang ni nampak relaks aje walaupun program bukan main banyak lagi. Tak rasa stress ke?" komen seorang adik semasa ana menghadiri Ijtima Sanawi Rakan Masjid semalam.

2. Ana hanya tersenyum sahaja mendengar komennya.

3. Jujurnya, baru-baru ini ana baru sahaja habis marathon 3 hari program di semenanjung Malaysia. Bermula dengan program kepimpinan di Shah Alam, kemudian berforum pula di Sri Iskandar, di teruskan lagi kuliah di Kuala Kangsar, berangkat pula ke Pulau Pinang untuk berceramah, kemudian meluru laju ke Ipoh menghadiri kelas dan mesyuarat sebelum menghabiskan jadual dengan menjadi Naqib usrah di Sabak Bernam.

4. Memang tak dapat dinafikan, urat-urat terkadang rasa tegang. Badan rasa lesu. Hinggakan kadang-kadang bawa kereta pun sudah tidak mampu kerana terlalu letih. 

5. Walaupun kehidupan seperti ini dianggap "out of mind" bagi sesetengah orang, bagi ana ianya merupakan satu jawapan untuk mendapatkan kebahagiaan kepada diri sendiri.

6. Sukar rasanya untuk menolak jemputan memberi kuliah, ceramah, mengendalikan tamrin , menjayakan program motivasi, menjadi ahli panel forum, menjadi naqib usrah dan sebagainya yang berbentuk pembentukan jiwa. Sudah tentu penerimaan untuk mengisi slot-slot tersebut telah mengurangkan masa untuk diri sendiri. Itu belum dikira dengan beberapa taklifan yang lain.

7. Bukan sedikit yang datang menasihati ana untuk mengurangkan taklifan. Status sebagai pelajar Sarjana @ Master bukanlah beban yang ringan. Ditambah lagi dengan peranan sebagai CEO kepada syarikat motivasi Suria Horizon  dan Presiden Alumni Rakan Masjid iaitu Rakan Motivasi cukup menambahkan rasa letih. Bukan sekadar itu, penglibatan dengan Jemaah Islam di pelbagai peringkat dengan memegang beberapa post tertentu melengkapkan lagi kehidupan yang begitu padat.

8. Dan seringkali pula kepadatan hidup ini ditafsir oleh sesetengah orang sebagai stressfull life ataupun kehidupan yang menyeksakan!Namun, bagi ana, ianya bukanlah satu tafsiran yang tepat. Malah, sebelum mengatakan hidup yang pada ini menyeksakan, benarkah hidup kita ini sudah terlalu sibuk? Pernah ana membandingkan diri dengan ratusan bahkan ribuan lagi tokoh-tokoh masyarakat yang jauh lebih sibuk dan memegang taklifan yang lebih berat, akhirnya ana mendapati ana terperosok ketempat tercorot dalam kategori 'orang yang paling busy'.

9. Namun, di celah-celah 'kesibukan' diri ini, ana ingin berkongsi sedikit apa sebenarnya yang dirasakan ana semasa 'kesibukan' ini. Ya, perasaan puas dan bahagia apabila melihat orang lain gembira. 

10. Teringat seketika saat ana menjadi ajk perhubungan program satu ketika dahulu. Saat paling menggembirakan ana adalah apabila ustaz yang dihubungi memberi persetujuan untuk hadir ke program.

11. Kini, tibalah saatnya pula ana menjadi asbab untuk ajk perhubungan di kalangan adik-adik untuk turut merasa gembira. Dan kegembiraannya itu ternyata menjadi sumber kepada kebahagian dan kepuasan diri ana sendiri.

MUSLIM

12. Nabi pernah ditanya tentang apakah itu muslim. Kata nabi, muslim adalah orang yang dapat menjaga lisan dan perbuatannya dari menyakiti saudaranya yang lain.

13. Maksud yang tersirat ialah, muslim itu adalah orang yang menggunakan lisan dan perbuatannya itu untuk membahagiakan saudaranya yang lain.

14. Atas dasar itulah, ana rela berpenat lelah, berpintal urat, bergenang air mata, bertampal koyok semata-mata cuba untuk membahagiakan sahabat-sahabat. Biarpun usaha itu sekecil mana sekalipun, ianya akan cuba ana lakukan demi membahagiakan mereka.

HARI LAHIR

15. Antara perkara yang gemar ana lakukan ialah, menyambut Hari Lahir sahabat-sahabat.

16. Walaupun ramai mengatakan ianya bukanlah suatu sunnah, tapi bagi ana, ianya tetap memberikan 'sentimental value' kepada yang menerimanya.Buktinya, lihatlah pada wajah-wajah orang yang menerima ucapan Hari Lahir dan juga hadiah, ada mukanya masam mencuka ataupun senyum hingga ke telinga? (^_^)

17. Sebab itulah setiap jam 9 pagi, handphone w960i sony ericson ana akan berbunyi seandainya pada hari itu adalah hari lahir sahabat-sahabat ana, tidak kira muslimin ataupun muslimat. Maka sms wish akan dihantar dan jika berkemampuan, akan diiringi dengan kek. 

Bersama dengan Awangku Alizul semasa menyambut Birthday nya di restoren Sri Iskandar.

18. Menjadi satu keajaiban, perasaan gembira sahabat itu berpindah ke diri ana dan menimbulkan rasa bahagia. Kebahagian yang timbul itu nyata akan menjadi ubat yang mujarab kepada semua rasa letih dan kepenatan yang dirasai.

19. Jika masih tidak percaya, mulakanlah dengan menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan sekeliling anda walaupun mereka tidak memintanya, dan rasailah perbezaannya! (^_^)

Labels: ,


Baca Lagi!

Sunday, April 18, 2010

Program Motivasi bersama anak yatim


Khusyuk mendengar. Apa le yang Along celotehkan ni...

1. Alhamdulillah. Selesai sudah satu hari yang menyeronokkan. 

2. Hari ini ana berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan menyampaikan sedikit motivasi anak soleh kepada adik-adik daripada Bait Al-Amin,Parit bertempat di Nur Lembah Lenggong, Perak. Program yang bernama Tunas Cemerlang 2010 ini adalah inisiatif Cyber Security Malaysia dan diamanahkan kepada UTP untuk melaksanakannya. Pengakhirannya, MPPUTP mengambil tanggungjawab untuk merealisasikannya.

3. Perjalanan yang mengambil masa lebih dari 2 jam itu kurang terasa letihnya apabila 2 orang anak usrah ana, Jime dan Acan telah menawarkan diri untuk membantu membawa kereta.

4. Permulaannya memang agak tidak confident. Masakan tidak, makluman awal ialah kepada pelajar-pelajar SPM.

5. Maka slide presentation yang dibawa juga adalah sesuai untuk remaja yang berumur 17 tahun. 

6. Rupa-rupanya, ana tersalah dengar. Penganjur memaklumkan yang paling tua berumur 17 tahun. Ana tidak terdengar yang paling muda ialah 7 tahun. 10 tahun beza umurnya!

7. Maka konsep dan kaedah penyampai segera ditukar.


tajuk di slide permulaan yang ditukar kepada remaja soleh


8. Walaupun terasa tidak mampu untuk menyampaikan lebih dari sejam akibat jurang umur yang sangat berbeza di kalangan audience, tiba tiba tanpa disedari sebaik sahaja ana menutup majlis rupa-rupanya telah habis lebih kurang 2 jam lamanya ana berucap.

9. Alhamdulillah, sambutan dari adik-adik amat memberangsangkan. Senam soleh dengan Lagu Demi Matahari, permainan Dungga, senaman Si Tommy, dan pelbagai koleksi video nyata berjaya mengasyikkan adik-adik tersebut.




10. Ana sempat juga menceritakan takrif remaja kepada adik-adik sambil diselangi oleh aktiviti-aktiviti pergerakan. Memang sukar kerana adik-adik 7 tahun semestinya tidak menganggap diri mereka remaja~ Namun dengan izin Allah, berjaya juga menambat hati adik-adik comel ini hinggalah ke hujung rancangan.




11. Post mortem ringkas untuk ana, sebelum berceramah, selidik dahulu audience... huhu (teringat peribahasa : sediakan payung sebelum hujan. ) 




p/s: credit to mr president mpputp , saudara Haniff Humam dan  exconya saudara Muid yang turut turun padang di program ini.

Labels:


Baca Lagi!

Thursday, April 15, 2010

Konsert lagi (2)



"Abang Hakim, kalau nak pergi konsert, konsert nasyid ajelah yang boleh kita pergi kan? Yang lain itu semuanya  haram kan?" seorang adik bertanya bertalu-talu sebaik sahaja ana melangkah masuk ke masjid An-Nur. Tak dapat dicam siapa yang bertanya, namun dapat diagak dari raut wajah seperti mahasiswa di tahun pertama.

"Erm, kejap lagi ana jawab ye, nak solat isya' sekejap. Kalau tak keberatan, tunggu sekejap di luar tu. Nanti ana jumpa ana" jawab ana ringkas. Jemaah lain sudah selesai menunaikan solat. Ana lewat sampai kerana baru selesai menjamah makanan bersama-sama anak usrah di luar.

Malam semalam suasana tenang. Ana baru sahaja pulang menjala ikan di Tanjung Tualang. Banyak juga ikan yang dapat ditangkap. Alhamdulillah, semuanya rezeki dari Allah. Terasa puas dapat menimba pengalaman baru. Credit to bro Jaki, Ipe dan Iqbal yang turut serta. 

Seusai solat. Mata ana melilau mencari kelibat adik tadi, Alhamdulillah. Dia masih ada dan setia menunggu.

UKHUWWAH

"Maaf menyebabkan nta menunggu. Siapa ye nama nta akh? Ana tak perasan" ana memulakan bicara. Menjadi tabiat ana bertanya nama jika tidak ingat ataupun tidak tahu. 

Ana tidak malu untuk bertanya kerana teringat satu hadis Rasulullah yang berbunyi  "Termasuk sifat angkuh adalah seseorang yang masuk ke dalam rumah temannya, lalu diberikan kepadanya makanan, ia tidak mahu memakannya; dan seorang laki-laki yang bersama-sama dengan laki-laki lain dalam perjalanan, tetapi ia tidak menanyakan namanya dan nama orang tuanya." (HR. Ad-Dailami)

"Takpe abang hakim. Ana pun lupa nak perkenalkan diri. Panggil aje ana syafiq" sungguh bersopan dia memperkenalkan diri. 

Setelah bersuai kenal, tahulah ana dia rupanya sudah di tahun dua.

"Mengenai soalan nta tadi, boleh atau tidak pergi ke konsert selain nasyid ? Sebelum ana menjawab, ana ingin tanya satu soalan kepada nta, boleh tak nta makan selain daripada nasi dan lauk, contohnya  burger?" ana cuba untuk mengajaknya berbual-bual. 

Bagi ana, bila ada soal jawab, di situlah ilmu dapat berkembang. Bahkan, tokoh falsafah terkenal seperti Socrates pun sendiri amat gemarkan kaedah ini.

"Isyh, of course le boleh. Cuma tak adalah kerap. Ana lebih selesa makan nasi, rasa macam lebih kenyang" jawab Syafiq jujur.

"Erm, rasanya, nta dah menjawab separuh dari soalan nta sendiri dengan jawapan tu" ana mengembalikan semula kepada persoalan awal.

"Err. macam mana tu Abang Hakim?" Syafiq kehairanan

"Begini, nta kata Burger tu boleh makan kan? Tapi kalau burger itu dagingnya ialah Pork, agak-agak boleh tak makan?" ana menyoalnya kembali.

"Hurm, kalau macam tue memang le tak boleh makan, jelas haramnya. Daging babi kan dah jelas tak boleh makan" Syafiq mengeluarkan hujahnya. Bagus adik ni.

" Nasi dengan burger kedua-duanya makanan, dan kedua-duanya jadi tak boleh dimakan jika ada unsur haram dalam ingredient nya seperti babi. 


Sama le macam konsert tue tadi, kedua-dua konsert  samada nasyid atau bukan, adalah hiburan untuk melegakan jiwa, namun ianya akan menjadi haram jika ingredient nya bercampur dengan unsur-unsur haram. Tidak kiralah samada konsert nasyid atau bukan" panjang lebar ana menerangkan.

"Jadi ertinya, konsert nasyid pun boleh jadi 'haram' le ye?" soal Syafiq menginginkan kepastian. Seolah-olah baginya ini kali pertama dia mendengar konsert nasyid pun boleh jadi 'haram'.

"Ya. Betul, konsert nasyid pun boleh jadi 'haram'" ana mengiyakan persoalan adik itu. 

KONSERT NASYID PUN 'HARAM'




"waa.. menarik nie. Tak pernah dengar lagi ni. Ingatkan konsert nasyid semua 'halal'." Syafiq nampak semakin bersemangat.

Namun segera ana menyambung kembali , ".. konsert nasyid itu 'haram' jika konsert nasyid itu mengandungi unsur - unsur 'haram' di dalamnya. 


Pokoknya, bukan genre muzik samada nasyid, metal, jazz, hip hop dan sebagainya yang menjadi persoalan 'halal' atau 'haram', tapi kepada unsur-unsur yang berkaitan seperti lirik lagu, artis, soal aurat , soal pencampuran penonton dan waktu persembahan. 


Cuma kebiasaannya, konsert nasyid kebanyakkannya terpelihara dari unsur-unsur haram tersebut" jelas ana panjang lebar.

"ooo... Macam tu. Alhamdulillah. Faham le ana sekarang ni. Ana tengah konfius sebenarnya tadi, tak tahu nak  pergi konsert yang mana satu, samada Euphonious ataupun Kembara Sufi, satu konsert macam battle of the band, satu lagi konsert nasyid" syafiq menceritakan kekeliruannya kepada ana.

"Jadi sekarang nta dah ada ke jawapannya?" tanya ana semula menginginkan kepastian.

"Insya Allah ada, sudah semestinya yang tidak ada unsur-unsur haram dalam konsert tue" jawab Syafiq gembira.

"Yang mana satu?" Tanya ana lagi.

"Berhibur tiada salahnya, kerana hiburan itu indah, cuma pabila salah memilihnya, membuat kita jadi bersalah" jawab Syafiq sambil menyanyikan satu lirik nasyid yang cukup terkenal sambil berlalu meninggalkan ana.

Ana tersenyum puas mendengar jawapannya.


Labels: ,


Baca Lagi!

Thursday, December 3, 2009

Jaulah ke Johor

1. Sahabat baik ana kehilangan ayahnya pada pagi Rabu. Sejurus menerima berita, terus ana bergegas ke Johor jam 11.00 pagi hari Rabu.

2. Hari ini ana tiba semula di Perak pada jam 1.00 tengahari. Hampir 26 jam musafir tanpa henti.

3. Banyak yang ana pelajari dalam musafir ini.

4 Memandu tanpa henti selama 8 jam berturut-turut.

5.Tidur di dalam kereta dalam keadaan sejuk yang teramat sangat kerana hujan turun tidak henti henti.

6. Solat subuh berwudhu'kan air hujan kerana tidak jumpa surau di tengah2 bandar Cheras.

7. Yang paling menarik, sesi meja bulat yang membina sepanjang perjalanan. Thanks sahabat2.

8. Apapun,Takziah Salihah.... you are really strong person. Bersabarlah atas pemergian ayahanda tercinta. Kita doakan agar dia ditempatkan bersama roh orang orang yang soleh. Amin

Labels:


Baca Lagi!

Tuesday, November 24, 2009

The Big 5 of UTP! Come on, make a Big Issue!




Pertama kali dalam sejarah UTP, kelima-lima badan (The Big 5 ) yang bernaung di bawah pengelola yang berbeza berjaya di satukan dalam isu yang sama.

Bukan mudah usahanya, FRIC dinaungi oleh IRC, RM dinaungi oleh UPM, MPP oleh JPSP, RCSU oleh RC, SRM oleh KOKU. Kesemuanya dari jabatan yang berbeza. Semua mempunyai kaedah tersendiri untuk menaikkan pemimpin mereka. Semua mempunyai misi yang berbeza. Semua mahasiswa UTP mengetahui mereka inilah tampuk tertinggi badan dan kelab di UTP, dan semestinya mengetahui perbezaan antara kelima-lima badan ini.

Banyak perbezaan di antara mereka.

Timbul persoalan... bolehkah bersatu?

Sedikit demi sedikit usaha digembleng. Dari satu generasi ke satu generasi. Dan alhamdulillah, usaha itu berjaya dilaksanakan pada waktu ana memegang tampuk Presiden Rakan Masjid.

Formulanya : ada isu! ... dan perjuangkan!

Pada awal Januari 2009, Isu Palestin melanda seluruh dunia. Rejim Zionis menyerang membabi buta Bumi Gazzah, Palestin. Semua manusia mengutuk tindakan ini. Parti politik di Malaysia bergabung suara meluluskan resolusi mengutuk tindakan ini dan mengetepikan seketika perbezaan ideologi. Tidak terkecuali di UTP.

Kesemua mahasiswa UTP berjaya bersatu hinggakan mencipta sejarah yang tersendiri apabila berdemonstrasi hingga mencecah 1500 orang (waktu itu mahasiswa UTP masih dalam musim cuti). Semua bersatu tanpa mengira bangsa, agama dan warganegara. Dan ana ada kenangan tersendiri, kerana diberikan kepercayaan oleh pihak pengurusan dan seluruh mahasiswa untuk memimpin perarakan tersebut.

Langkah permulaan telah kami mulakan. Tinggal lagi, pengembangan langkah . Lebarkan lagi sayap penyatuan ini. Libatkan dengan lebih banyak sahabat-sahabat dan teman teman dari kaum dan negara yang lain. Timbulkan isu yang boleh merapatkan perbezaan. Biar semua Mahasiswa bersatu dalam sesuatu isu. Dan jangan cepat merasa puas.

Baru-baru ini, ana kembali semula ke kancah perbicaraan mahasiswa, dalam program Diary of a President anjuran bersama MPPUTP dan Unit Kaunseling. Ana puji kepada MPPUTP yang diketuai oleh unit UTPPress yang mengadakan forum ilmiah seperti ini. Kehadiran pada malam itu menjangkau 100 orang walaupun pada perkiraan awal hanya mensasarkan lebih kurang 30 orang sahaja kerana dibuat di musim peperiksaan.




Ini kerana pada malam itu menghimpunkan bekas-bekas presiden dari semua kelab serta persatuan di UTP...dan The Big 5 hadir!

Semasa sesi pertama, ana berpeluang berforum bersama dengan Mantan Presiden MPP iaitu saudara Farouqi dan juga Mantan Presiden Tronoh Teater Shop, saudari Aini. Walaupun nampaknya forum itu santai, ana sesuatu yang ana kira cuba mahasiswa UTP sampaikan.

Penyatuan! UNITED!

Kehadiran beramai-ramai ke program ilmiah seperti forum yang diiklankan hanya sehari sebelum program adalah sesuatu yang aneh dan pelik. Namun, kehadiran ramai tersebut seolah-olah ada satu mesej yang ingin disampaikan. Ianya boleh ditafsirkan sebagai indikator menunjukkan bahawa mahasiwa UTP memang mahukan penganjuran program secara bersama. Bukannya persaingan.

Semenjak ana pulang dari Internship, ana mendapati UTP sudah begitu banyak dengan lambakan event yang hinggakan penganjur program terpaksa berebut kehadiran mahasiswa. Lebih malang lagi, event-event yang dianjurkan semuanya mirip-mirip sama dan ada juga yang memang sama!Copy cat!

UTP adalah satu universiti yang kecil. Lebih kurang 6000 orang mahasiswa sahaja. Namun, jika dilihat dari sudut penganjuran event, seolah universiti ini menampung 60,000 orang mahasiswa pula rasanya!

Bukan tidak ada kebaikan dari penganjuran dalam size yang makro ini. Ramai yang berpeluang untuk belajar menjadi penganjur program. Menjadi pengarah hinggalah ke ajk biasa. Pengalaman perlu dikutip. Alasan biasa, kalau bukan sekarang, bila lagi?

Namun, jika sampai ke satu tahap menyerang satu sama lain, menjatuhkan satu sama lain, ana kira itu sudah tidak sihat.

Sebagai contoh, ana ambil isu hiburan.

Penyerangan kepada aktiviti hedonisme memang sudah menjadi rahsia umum. Ana setuju bahawa budaya ini perlu dikikis dari diri kita semua, golongan anak muda yang bergelar mahasiswa. Namun, dalam pada masa yang sama, kita perlu menawarkan alternative kepada peminat-peminat program hiburan.

Semasa ana menjadi presiden Rakan Masjid, ana ada menghantar wakil untuk berbincang dengan mana-mana kumpulan yang dirasakan cuba membudayakan atau menganjurkan aktiviti hedonisme di kampus UTP ini. Perbincangan untuk mencari titik persamaan dan mergharmonikan event supaya mengikut petunjuk Ilahi.

Sama sekali ana tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menghentikan program tersebut apatah lagi mensabotaj event anjuran mana-mana kumpulan.

Akan tetapi, jika ada individu dari Rakan Masjid yang melakukan tindakan sebaliknya, ternyata dia tidak mendengar arahan yang ana keluarkan dan ana yakin dia bertindak atas kapasiti individu bukannya organisasi.

Namun, itu bukan apa yang ingin ana ketengahkan. Apa yang ana mahukan, teruskan penganjuran tersebut dan perbaiki mana yang tidak boleh dilakukan sekiranya ia berlanggar dengan syariat. Mendidik dan bukannya menghukum. Menerang dan bukannya menyerang. Dan sekiranya boleh, bersatu dalam menganjurkannya!

Dalam pada masa yang sama, ana merasakan kesuntukan masa untuk menjelaskan satu demi satu hasrat ana ini kepada masyarakat UTP bagaimana penganjuran program hiburan boleh dilakukan.

Lalu, ana arahkan kepada komiti Heart For Islam untuk anjurkan program Malam Inspirasi Seni (MIS). Ana juga minta mereka benarkan band di bawa ke atas pentas. Benarkan penggunaan gitar dan apa jua alat yang mereka ingin gunakan.

Ramai yang melatah. Ana diam dan senyum pada setiap kritikan yang dilemparkan atas cadangan tersebut. Tak kurang yang mencebik muka.

Namun, pada malam MIS, ramai mahasiswa hadir membanjiri dewan MPH hingga terpaksa menambah kerusi hingga ke luar. Yang tidak bertudung pun ramai yang hadir termasuk yang berseluar pendek. Mereka hadir untuk memberikan sokongan kepada rakan-rakan mereka yang masuk bertanding di atas pentas.

Sesudah sahaja penganjuran MIS , Alhamdulillah. komen-komen yang diterima dari kumpulan-kumpulan yang selama ini menyangka rakan masjid anti hiburan berubah. Mereka rasa selesa kerana tidak diserang atas minat mereka. Dan ramai yang mengucapkan tahniah atas keberanian menongkah arus. Dan persepsi Rakan Masjid anti hiburan seminggu dua itu senyap begitu sahaja.

Dan bagi ana, ana berjaya. Berjaya mengatakan bahawa hiburan juga milik Islam.Berjaya untuk mengatakan bahawa, Islam ini untuk semua. Bukan untuk golongan tertentu sahaja, Bukan milik Rakan Masjid sahaja. Mesej pada malam itu mudah, penyatuan. Penyatuan tanpa meninggalkan tuntutan Islam.

Nasihat ana kepada adik-adik selepas program itu ialah, perluaskan pembacaan. Terutamanya mengenai fiqh.

Ana terfikir, apakah mungkin selepas ini, program-program kontroversi di kalangan mahasiswa UTP seperti Euphonious, dapat dianjurkan bersama oleh ICC dan RM serta badan-badan yang lain. Apa salahnya? Jangan setiap kali event yang dipandang hedo, terus sahaja diserang tanpa ada penerangan.

Itu baru isu hiburan. Banyak lagi isu yang boleh disatukan.

Sukan. Kebajikan. Kegiatan Luar. Antarabangsa.


Dalam pada masa yang sama, ana yakin kepimpinan big 5 sekarang ini sudah mempunyai stratergi tersendiri untuk mendidik masyarakat kampus kepada budaya ilmu. Namun, ana ungkapkan juga disini akan kepentingan untuk tidak cepat merasa puas. 

Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan. Ana puji usaha The Big 5 untuk bersatu membantu mangsa banjir di Padang, bagus, teruskan lagi. Khabarnya pemimpin Big 5 akan terbang sendiri ke Padang, Indonesia pertengahan bulan 12 ini. Syabas. Anda peka dengan isu ini. Isu kemanusiaan.

Namun, Jangan berhenti di sini sahaja. Cari lagi isu-isu lain dan perbanyakkan program bersama.

Tanggungjawab itu jatuh kepada semua, terutamanya kepada pemimpin-pemimpin persatuan tersebut. Wujudkan isu dan perjuangkan secara bersama!

Anda mampu mengubahnya!


 Semoga Terus maju melangkah.

Current President of The Big 5 2009/2010


FRIC : Mohammad Khazaidi Kamaruddin
RM : Muhammad Akram Ismail
MPP : Muhammad Hanif Humam
RCSU : Hamzah Nawawi
SRM : Aizuddin



Labels: ,


Baca Lagi!

Jaulah Ke Pulau Pangkor






"Subhanallah. Cantiknya pemandangan di sini! " getus ana dalam hati.


Seharian team Suria Horizon melakukan riki (riki berasal dari english.. singkatan dari reconnaissance.) di Pulau Pangkor. Mencari tempat baru yang sesuai untuk mengadakan program motivasi untuk semua peringkat pada masa akan datang.

Secara peribadi, ini merupakan kali kedua ana hadir ke bumi Pangkor ini. Kali pertama adalah semasa berada di alam kampus ditarbiyah dalam mukhayyam yang ketika itu ana menjadi pengarah dan juga peserta. Ketika itu, faci ana serahkan bulat-bulat kepada abang-abang senior untuk mentarbiyah kami. Tempatnya memang menarik walaupun pada mukhayyam tersebut berlaku beberapa kejadian yang sangat pelik dan tidak sedap untuk diceritakan.

Apapun, kali ini perjalanan ke Pangkor memang berbeza. Dengan bekalan sumber yang sangat tipis dari internet dan beberapa panggilan telefon kepada sahabat-sahabat yang biasa menganjurkan program di Pangkor, ana dan sahabat-sahabat redah  sahaja dan alhamdulillah sampai juga ke sana.


Bersama dengan feri yang membawa kami ke Pangkor

Di jeti lumut, kami mendapatkan tiket pergi balik berjumlah RM10 seorang yang sah digunakan selama sebulan. Ramah sungguh pakcik Anuar yang berada di kaunter tiket tersebut. Diceritakan kepada kami keseluruhan bumi pangkor termasuk tips-tips memilih tempat penginapan. Rupa-rupanya setelah lama berbual, dia merupakan ejen yang memang menunggu di situ mencari pelanggan, ataupun dalam bahasa orang tempatan di situ, ulat.

"Ulat pun ulatlah, asalkan dapat banyak maklumat." bisik ana kepada sahabat-sahabat. Layanannya pun bagus dan professional. Ditawarkan kepada kami bertiga perkhidmatan sewa motosikal sepanjang hari yang berjumlah rm 25. Boleh tahan juga harganya. Selesai semua urusan, kami terus menaiki feri yang mengambil masa hampir setengah jam untuk bergerak dari tanah besar ke Pulau Pangkor.



Dah lama tak bawa motor, dapat naik , terus lepas gian.. (^_^)

Sesampainya di sana menanti tokei motor, Eric dengan dua buah motor honda. Alhamdulillah, lega rasanya tak ditipu. Mana taknya, sebelum perjalanan sudah bayar RM50 untuk dua motor tersebut tanpa diberikan resit pengesahan bukti. Proses sewa motor di Pangkor ini agak mudah, tidak memerlukan kepada salinan Kad Pengenalan, hanya sekadar berikan nombor Telefon sahaja! Aneh tapi memudahkan!


Nyum Nyum..Sedap ni.

Dari jeti Pangkor, perjalanan dimulakan dengan upacara makan tengahari dan solat zohor. Harga makanannya boleh tahan . Sederhana, tidak mahal sangat dan tidak murah sangat. Menarik sungguh makan di kedai Melayu di Pangkor ini, ikan,udang dan sotongnya sangat segar! Manis dan sedap! Padanlah ramai orang yang berhenti singgah makan di sini. Ana nasihatkan kepada sesiapa yang bercadang untuk ke Pangkor agar tidak makan dahulu sebelum naik feri ke sini.  Disamping mengelakkan termuntah atas bot akibat mabuk laut, penangan masakan orang Pangkor memang tak boleh dilepaskan! (^_^)

Selesai sahaja menjamu juadah dan solat di Masjid berhampiran jeti, kami terut memecut motosikal ke destinasi pertama, Teluk Segadas.

Umpama posmen yang mencari alamat : Teluk Segadas.

Ana ingat-ingat lupa jalan ke tempat perkhemahan tersebut kerana sudah tiga tahun kali terakhir ana menjejakkan kaki ke bumi Pangkor ini. Tiba-tiba ana teringat Ustaz Syed, orang kuat Pulau Pangkor. Beliau ada mencadangkan untuk menghubungi seorang sahabatnya yang tinggal berhampiran dengan pintu masuk ke Teluk Segadas itu.

"Assalamualaikum, Ustaz Hisyam ke tu?" sapa ana lembut melalui telefon. Di hujung telefon, ana mendengar suaranya lembut dan mesra. Setelah dijelaskan tujuan ana kesitu untuk riki, dia segera menyambut kami dengan penuh kehangatan , seolah-olah telah lama bertemu. Indahnya ukhuwwah islamiyyah ini. Terasa terharu.

Tanpa banyak bertanya, Ustaz Hisyam terus mengajak kami bertiga menaiki botnya ke Teluk Segadas. Jalan masuk ke tempat itu ada dua kaedah. Meredah hutan serta bukit yang tinggi dan penuh dengan pokok pokok ataupun mengikut jalan air iaitu, menaiki bot!


Permulaan Perjalanan


Luasnya Lautan


Ustaz Hisyam menceritakan pengalamannya dengan penuh bersemangat.

Bonus kepada kami. Ustaz Hisyam orang lama di Pangkor ini. Melaluinya banyak yang ana dapat tahu. Terutamanya mengenai tempat-tempat yang sesuai untuk diadakan program mukhayyam ataupun program motivasi.

Dipendekkan cerita, Teluk Segadas telah berubah. Sudah ada orang yang menjaga tempat itu. Sudah lebih terurus dan lebih kemas. Sangat sesuai untuk dibuat program di sini, cumanya masalah utama ialah tiada privacy. Tiada siapa yang boleh melarang orang luar keluar dan masuk ke tempat ini.

Selesai melakukan riki di situ, ana mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hisyam kerana sudi membantu kami.



Kapal Perang tinggalan siapa ni? (^_^)


Kilang Satay Ikan.


Pantai Teluk Nipah

Perjalanan riki diteruskan lagi ke dua tiga tempat sekitar pangkor. Antaranya Pantai Pasir Bogak, Teluk Nipah, Teluk Dalam, Kilang Sate , Coral Beach, Batu Bersurat, Kota Belanda dan banyak lagi. Pendek cerita, habis satu Pangkor kami pusing.


Di pintu masuk Raudhah Camp


Sempat juga kami riki satu tempat program yang bernam Raudhah Camp. Nampak macam menarik, suasana kem itu wujud. Tapi sayang, tempatnya bukan di tepi pantai.

Seharian berpusing di Pangkor rasanya tidak puas. Minyak yang diisi sebanyak RM5 seolah-olah tidak turun walaupun sedikit. Kecil sahaja Pangkor ni.


Proses Tawar menawar sedang berlaku

Akhirnya, kami bertiga sepakat, sebelum pulang ke tanah besar, kena dapatkan oleh-oleh dari bumi Pangkor ini. Lalu, kami serbu kedai yang masih dibuka selepas Maghrib untuk membeli belah. Puas dengan "hasil tangkapan", kami bergegas ke jeti untuk mengejar bot yang terakhir iaitu pada jam 8.30 malam.



Brr... Sejuk ni..

Alhamdulillah, bot yang terakhir ini amat istimewa. Seumpama cruise . Ana dan sahabat-sahabat terus naik ke bahagian atas kapal yang terbuka. Menikmati udara laut yang segar dan nyaman.



Riki yang memakan masa sehari suntuk ini amat bermakna walaupun badan agak keletihan. Mudah-mudahan di lain kali dapat lakukan riki di tempat lain pula. Insya Allah. Cameron Highland sudah, Gopeng pun sudah, Kuala Kangsar pun sudah.

Next destination, Padang Rengas! Insya Allah.




Labels:


Baca Lagi!

Thursday, November 12, 2009

Izzuddin Shah... kenangan yang tak dapat dilupakan...




"Cepat-cepat. Ana bagi masa 5 minit sahaja!" jerit Ketua Blok sambil menggoncang-goncangkan gril pintu blok Saidina Ali.

Ana kelam kabut mencapai name tag di atas loker. 014/99. Tali pinggang dipakai secepat kilat. Stoking disarung segera.

"Allah, sejak bila songkok aku dah jadi songkok lipat nie?" getus ana dalam hati sebaik sahaja mencapai songkok yang terletas atas loker. "Mesti ada orang yang tertukar dengan songkok aku ni, atau memang ada orang sengaja tukar ni" ngomel ana sendirian.

Ana lihat sekeliling. Kosong. Semua sudah meniggalkan dorm lebih awal.

Dalam kekalutan itu, ana terus bergegas meninggalkan dorm. Bimbang terkunci dari dalam oleh Ketua Blok yang bertugas. Rutin harian berkumpul di dataran ilmu sebelum jam 7.15 pagi memang akan menjadi masalah jika mengamalkan sikap tidur selepas subuh, dan pagi itu ana terlelap lebih.

Di hujung koridor, ana sempat melirik dua tiga orang kawan dari blok saidina Umar yang bertentangan dengan blok ana. "Takpe, ada orang lewat jugak ni." ana tersenyum lega. Memikirkan ada kawan yang turut lewat, ana tak jadi tergesa-gesa. Melencong ke tandas. Dalam pikiran ana yang masih di tingkatan satu itu, "Nanti bukan warden nak tahan pun, baru form one."

Selepas sahaja ana keluar dari tandas. Ana rasa hairan. Suasana sepi. Pelik. Selalunya dari jauh dah boleh dengar suara guru berucap setiap pagi di dataran ilmu untuk menyampaikan amanat ataupun tazkirah. Hari ini tak kedengaran langsung bunyi pembesar suara.

Ana melangkah berat ke dataran ilmu. Dari jauh nampak Cikgu Dasuki, cikgu disiplin sedang berucap di hadapan, tanpa menggunakan microfon. "Ya Allah, habislah ana macam ni." Kawan-kawan yang lewat semuanya berdiri di hadapan semua pelajar. Ada dalam 20 orang dan kesemuanya senior. "Aiseh. Takkan aku seorang aje form one ni?" kebimbangan semakin meninggi. Rupa-rupanya kawan yang ana sangka itu rupanya senior form 2.

Sebaik sahaja tiba di dataran ilmu, ana terus mengambil tempat di hadapan. Malu sungguh. Semua mata melihat ana,  tak kurang yang berbisik-bisik. Pergerakan ana yang perlahan pun dapat didengar kerana  Cikgu Dasuki tidak menggunakan microfon.

Tiba-tiba, Cikgu Dasuki membuat pengumuman,

"Hari ini, kamu semua tak perlu nyanyikan lagu sekolah, kita sudah ada penasyid hebat dihadapan kamu semua untuk nyanyikan bagi kamu"

Glup. Sudahlah... Bertambah tebal muka ana menahan malu.

"Ok. Awak semua boleh mula. Wahid, Isnain, Ibda!" Cikgu Dasuki memberikan arahan lagak seorang komander tentera.

Marilah bergerak maju
Menuntut segala ilmu
Menuju kemuliaan
Mencapai kebahagiaan

Rohani dan jasmani
Tabahkan dalam hati
Junjung titah Ilahi
Dengan suci dan murni
Berazam dan berbakti yang abadi


Kukuhkanlah semangat
Menyumbangkanlah khidmat
Terhadap masyarakat
Dunia dan akhirat

Kukuhkanlah semangat
Menyumbangkanlah khidmat
Terhadap masyarakat
Dunia dan akhirat
 
Habis sahaja kami "penasyid hebat" menyanyikan lagu sekolah, cikgu Dasuki menangguhkan majlis. Lega rasanya dapat keluar dari barisan yang sangat tidak selesa ini.
 
Tapi, ada tol lagi yang menunggu di hadapan. Ketua Pelajar sedang mengadakan sport check kelengkapan diri kepada setiap pelajar sebelum dilepaskan untuk ke kelas atas arahan Cikgu Dasuki. Ana lega, hari ini semua lengkap. Ana periksa semula dari bawah untuk menambahkan perasaan tenang.

Kasut.. ok!
Stoking .. pakai, ok!
Seluar.... tak lipat, ok!
Tali pinggang... warna hitam, ok!
Kuku... baru potong, ok!
Name Tag ... ada, ok!

tapi...

SONGKOK... lipat, TAK OK! 

Aduh. Malang bertimpa, sudahlah lambat, pakai pulak songkok yang dilarang. Lebih malang lagi, barisan pelajar yang lewat diperiksa sendiri oleh Cikgu Dasuki.

Dan dihadapan, cikgu Dasuki tersenyum menanti.... dengan rotannya di tangan.


P/s : pengajarannya, elakkan tidur selepas subuh ya...~






Labels:


Baca Lagi!