Tuesday, November 24, 2009

Jaulah Ke Pulau Pangkor






"Subhanallah. Cantiknya pemandangan di sini! " getus ana dalam hati.


Seharian team Suria Horizon melakukan riki (riki berasal dari english.. singkatan dari reconnaissance.) di Pulau Pangkor. Mencari tempat baru yang sesuai untuk mengadakan program motivasi untuk semua peringkat pada masa akan datang.

Secara peribadi, ini merupakan kali kedua ana hadir ke bumi Pangkor ini. Kali pertama adalah semasa berada di alam kampus ditarbiyah dalam mukhayyam yang ketika itu ana menjadi pengarah dan juga peserta. Ketika itu, faci ana serahkan bulat-bulat kepada abang-abang senior untuk mentarbiyah kami. Tempatnya memang menarik walaupun pada mukhayyam tersebut berlaku beberapa kejadian yang sangat pelik dan tidak sedap untuk diceritakan.

Apapun, kali ini perjalanan ke Pangkor memang berbeza. Dengan bekalan sumber yang sangat tipis dari internet dan beberapa panggilan telefon kepada sahabat-sahabat yang biasa menganjurkan program di Pangkor, ana dan sahabat-sahabat redah  sahaja dan alhamdulillah sampai juga ke sana.


Bersama dengan feri yang membawa kami ke Pangkor

Di jeti lumut, kami mendapatkan tiket pergi balik berjumlah RM10 seorang yang sah digunakan selama sebulan. Ramah sungguh pakcik Anuar yang berada di kaunter tiket tersebut. Diceritakan kepada kami keseluruhan bumi pangkor termasuk tips-tips memilih tempat penginapan. Rupa-rupanya setelah lama berbual, dia merupakan ejen yang memang menunggu di situ mencari pelanggan, ataupun dalam bahasa orang tempatan di situ, ulat.

"Ulat pun ulatlah, asalkan dapat banyak maklumat." bisik ana kepada sahabat-sahabat. Layanannya pun bagus dan professional. Ditawarkan kepada kami bertiga perkhidmatan sewa motosikal sepanjang hari yang berjumlah rm 25. Boleh tahan juga harganya. Selesai semua urusan, kami terus menaiki feri yang mengambil masa hampir setengah jam untuk bergerak dari tanah besar ke Pulau Pangkor.



Dah lama tak bawa motor, dapat naik , terus lepas gian.. (^_^)

Sesampainya di sana menanti tokei motor, Eric dengan dua buah motor honda. Alhamdulillah, lega rasanya tak ditipu. Mana taknya, sebelum perjalanan sudah bayar RM50 untuk dua motor tersebut tanpa diberikan resit pengesahan bukti. Proses sewa motor di Pangkor ini agak mudah, tidak memerlukan kepada salinan Kad Pengenalan, hanya sekadar berikan nombor Telefon sahaja! Aneh tapi memudahkan!


Nyum Nyum..Sedap ni.

Dari jeti Pangkor, perjalanan dimulakan dengan upacara makan tengahari dan solat zohor. Harga makanannya boleh tahan . Sederhana, tidak mahal sangat dan tidak murah sangat. Menarik sungguh makan di kedai Melayu di Pangkor ini, ikan,udang dan sotongnya sangat segar! Manis dan sedap! Padanlah ramai orang yang berhenti singgah makan di sini. Ana nasihatkan kepada sesiapa yang bercadang untuk ke Pangkor agar tidak makan dahulu sebelum naik feri ke sini.  Disamping mengelakkan termuntah atas bot akibat mabuk laut, penangan masakan orang Pangkor memang tak boleh dilepaskan! (^_^)

Selesai sahaja menjamu juadah dan solat di Masjid berhampiran jeti, kami terut memecut motosikal ke destinasi pertama, Teluk Segadas.

Umpama posmen yang mencari alamat : Teluk Segadas.

Ana ingat-ingat lupa jalan ke tempat perkhemahan tersebut kerana sudah tiga tahun kali terakhir ana menjejakkan kaki ke bumi Pangkor ini. Tiba-tiba ana teringat Ustaz Syed, orang kuat Pulau Pangkor. Beliau ada mencadangkan untuk menghubungi seorang sahabatnya yang tinggal berhampiran dengan pintu masuk ke Teluk Segadas itu.

"Assalamualaikum, Ustaz Hisyam ke tu?" sapa ana lembut melalui telefon. Di hujung telefon, ana mendengar suaranya lembut dan mesra. Setelah dijelaskan tujuan ana kesitu untuk riki, dia segera menyambut kami dengan penuh kehangatan , seolah-olah telah lama bertemu. Indahnya ukhuwwah islamiyyah ini. Terasa terharu.

Tanpa banyak bertanya, Ustaz Hisyam terus mengajak kami bertiga menaiki botnya ke Teluk Segadas. Jalan masuk ke tempat itu ada dua kaedah. Meredah hutan serta bukit yang tinggi dan penuh dengan pokok pokok ataupun mengikut jalan air iaitu, menaiki bot!


Permulaan Perjalanan


Luasnya Lautan


Ustaz Hisyam menceritakan pengalamannya dengan penuh bersemangat.

Bonus kepada kami. Ustaz Hisyam orang lama di Pangkor ini. Melaluinya banyak yang ana dapat tahu. Terutamanya mengenai tempat-tempat yang sesuai untuk diadakan program mukhayyam ataupun program motivasi.

Dipendekkan cerita, Teluk Segadas telah berubah. Sudah ada orang yang menjaga tempat itu. Sudah lebih terurus dan lebih kemas. Sangat sesuai untuk dibuat program di sini, cumanya masalah utama ialah tiada privacy. Tiada siapa yang boleh melarang orang luar keluar dan masuk ke tempat ini.

Selesai melakukan riki di situ, ana mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hisyam kerana sudi membantu kami.



Kapal Perang tinggalan siapa ni? (^_^)


Kilang Satay Ikan.


Pantai Teluk Nipah

Perjalanan riki diteruskan lagi ke dua tiga tempat sekitar pangkor. Antaranya Pantai Pasir Bogak, Teluk Nipah, Teluk Dalam, Kilang Sate , Coral Beach, Batu Bersurat, Kota Belanda dan banyak lagi. Pendek cerita, habis satu Pangkor kami pusing.


Di pintu masuk Raudhah Camp


Sempat juga kami riki satu tempat program yang bernam Raudhah Camp. Nampak macam menarik, suasana kem itu wujud. Tapi sayang, tempatnya bukan di tepi pantai.

Seharian berpusing di Pangkor rasanya tidak puas. Minyak yang diisi sebanyak RM5 seolah-olah tidak turun walaupun sedikit. Kecil sahaja Pangkor ni.


Proses Tawar menawar sedang berlaku

Akhirnya, kami bertiga sepakat, sebelum pulang ke tanah besar, kena dapatkan oleh-oleh dari bumi Pangkor ini. Lalu, kami serbu kedai yang masih dibuka selepas Maghrib untuk membeli belah. Puas dengan "hasil tangkapan", kami bergegas ke jeti untuk mengejar bot yang terakhir iaitu pada jam 8.30 malam.



Brr... Sejuk ni..

Alhamdulillah, bot yang terakhir ini amat istimewa. Seumpama cruise . Ana dan sahabat-sahabat terus naik ke bahagian atas kapal yang terbuka. Menikmati udara laut yang segar dan nyaman.



Riki yang memakan masa sehari suntuk ini amat bermakna walaupun badan agak keletihan. Mudah-mudahan di lain kali dapat lakukan riki di tempat lain pula. Insya Allah. Cameron Highland sudah, Gopeng pun sudah, Kuala Kangsar pun sudah.

Next destination, Padang Rengas! Insya Allah.




Labels:

 3 Comments:

At November 24, 2009 at 1:58 PM, Blogger rahimi said...

"hai, x ajak pun p jalan2.haha"

 
At November 24, 2009 at 5:21 PM, Blogger Hakim Mohd Nor said...

"alamak pak leh... nak ikut ke?

takpe... lain kali jom...

next trip, padang rengas... amacam? (^_^)"

 
At December 23, 2009 at 5:58 PM, Anonymous hafiz said...

"assalamualaikum.... ader lg tak no.telefon owner yg sewakan moto kat pangkor tu.. sent kat email saya maxx240kmh@yahoo.com tima kaseh..."

 

Post a Comment

Terima kasih atas komentarnya ^_^

<< Home