Wednesday, October 13, 2010

Hari Bergembira bertukar Menjadi Hari Penyesalan





1.0 Pendahuluan

Bernikah adalah sesuatu yang menggembirakan. Jarang orang tidak bergembira pada hari pernikahan mereka. Masakan tidak, gelaran raja sehari disandang dan dijulang. Bagi pasangan yang sudah lama bertunang, detik persetujuan para saksi semasa majlis pernikahan amatlah melegakan! 

Kadang-kadang, keluar air mata kegembiraan dari pasangan pengantin kerana terlalu gembira telah menyempurnakan sebahagian agama dan menuruti sunnah nabi. Seperti mana yang disabdakan oleh Nabi :

 النكاح سنتى فمن رغب عن سنتى فليس منى , nikah itu adalah sunnah ku, jika sesiapa yang menolak sunnah ku, maka ia bukanlah dari golonganku.

Namun awas, jangan disangka kegembiraan menuruti sunnah nabi itu membuka jalan ke syurga semata-mata, kerana ia juga mampu mengheret kita masuk ke dalam jurang neraka yang dalam lagi menakutkan, jika ia tidak dilaksanakan seperti yang diperintahkan.

2.0 Menangis bertukar gembira

Apabila dua merpati sejoli di ijab kabulkan... maka bergembiralah kedua-dua keluarga, dan menangislah sang syaitan. Menangisnya sang Syaitan adalah kerana tertutupnya peluang kepadanya untuk memujuk si lelaki dan si perempuan melakukan zina.



Tapi, adakah anda menyangka syaitan yang menangis melihat dua orang yang bernikah itu akan lari merajuk membawa diri? Tidak sama sekali, di hadapan sana ternanti banyak lagi perangkap untuk mereka. Satu persatu perangkap itu mengena, dan tangisan syaitan terhenti dan diganti pula dengan ketawa yang terbahak-bahak!

Sang Syaitan ketawa kerana geli hati melihat si pasangan yang terlalu gembira hingga terlupa segala ajaran agama walaupun kedua-duanya mengaku sebagai pejuang agama. Habis ditolak tepi agama yang selama ini menjadi perjuangan mereka. Syariat diletak tepi, adat yang sesat dijulang tinggi.

Sang Syaitan gelak terbahak-bahak melihat aksi manja si isteri menyuapkan nasi ke mulut si suami yang hanya layak menjadi koleksi peribadi mereka berdua menjadi tontonan semua orang. Habis ditolak tepi perasaan malu. Malah dibanggakan pula kenangan itu dengan meng'upload'kan pula di dalam facebook, untuk tatapan seluruh dunia. Kalau boleh, biar Presiden Amerika Barrack Obama tahu dia berkahwin hari itu dan makan bersuap dengan bangga.

Sang Syaitan bertambah galak gembira ketawa melihat si suami dengan ghairah mencium kepala si isteri tanpa menghiraukan puluhan mata yang menyaksikan adegan sulit ini. Malah bangga pula mengulang adegan ini apabila diminta photographer upahan dari kedai yang berdekatan. Diulang tayang tanpa segan, walaupun si muslimah itu dahulunya terkenal sebagai seorang yang paling pemalu dalam dunia ini.

Sang Syaitan hampir pecah perut suka sambil berguling-guling dengan adegan romantik si suami dan si isteri yang bergambar di tepi pantai, atas pokok, di sawah padi, dalam air, atas katil, tepi rumah dengan pelbagai pose yang difikirkan menarik. Entah mana silapnya, suara lantang si suami yang beriya-iya mahu menegakkan daulah islamiah dalam liqa dan usrah yang dikendalikannya, langsung tidak berbunyi bila gambar isterinya puas di raba oleh kamera orang yang bukan muhrim. Segala sisi bentuk isterinya habis dilapah oleh si photographer yang kemudiannya menguploadkannya di laman web untuk ditatap oleh seluruh isi dunia.

Sang Syaitan kembali suka kerana berjaya memujuk si isteri yang terkenal dengan kepakaran membimbing usrah dan tamrin serta kuat berdakwah  untuk bersolek dengan tebal. Habis hilang prinsip bersolek hanya untuk suami yang dijajanya kesana kemari di alam kampus dahulu. Kening dicukur sedikit, gincu dilanyak atas bibir, eye shadow, blusher, powder, maskara dan segala macam perhiasan bertenggek di mukanya. Itu belum dicampur dengan minyak wangi yang menarik perhatian segala makhluk yang ada di persekitarannya. Bila ditanya mengapa berbuat demikian, jawapan acuh tak acup diberikan.. mak yang suruh. 

Itu belum dikira dengan majlis persandingan serta suasana majlis perkahwinan yang begitu mewah dan membazir.

Syaitan kembali tersenyum gembira.





3.0 Gembira bertukar Menyesal

Kadangkala, apabila sudah menjadi kebiasaan kita melakukan sesuatu perkara, tiba tiba datang pula satu peringatan memberitahu bahawa kebiasaan kita itu tidak benar, menyeleweng dan jauh dari panduan agama... kita akan cepat melenting, marah dan menyampah.

Apatah lagi sememangya selama ini terkenal sebagai juru dakwah yang popular. Berceramah pula di masjid dan surau. Maka pasti si juru dakwah itu segera mencari sebanyak mungkin kitab dan dalil untuk menghalalkan kebiasaan yang dia lakukan itu. Ahh.. mana boleh pendakwah seperti aku ditegur, malulah aku.

Maka dicapailah Mr Google mencari dalil menghalalkan perbuatannya. Bila tidak bertemu, dicarikan pula pendapat-pendapat yang 'gharib/asing' walaupun dari sumber-sumber yang tidak diyakini, asalkan mampu untuk menjadi hujah pelepas dari teguran yang diberikan.

Janganlah bersikap demikian ya akhi wa ukhti. Renungkan seketika majlis perkahwinan itu. Benarkah itu majlis yang dirahmati Allah ataupun dibenci oleh Allah. Jawablah dengan hatimu berpandukan kepada Nas yang benar lagi sahih. Sengaja tidak ditaburkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam artikel ini (walaupun dalilnya terlampau banyak) supaya anda dapat menilai dengan penuh berhati-hati majlis pernikahan itu dengan hati nuranimu yang suci itu.

Jangan sampai pada suatu hari nanti, kegembiraan yang dinikmati bertukar menjadi satu penyesalan yang tidak terperi. Tetkala seluruh harta, sahabat handai dan kaum keluarga tidak lagi mampu menjadi pendinding dan hujah bagi dirimu... yang ada hanyalah iman yang senipis bawang itu. Mampukah untuk menepis dosa bertimbun yang tiba kerana kealpaan mengikuti arahanNya di hari pernikahan tersebut?

Ingatlah kembali firman Allah dalam Surah Syuaara ayat ke 88 : iaitu di hari dimana tidak berguna harta dan anak-anak. 

Adakah berani kita berbetah pada hari tersebut dengan hujah yang rapuh seperti mengatakan terpaksa mengikut permintaan ibu dan ayah , kaum kerabat serta sahabat handai, walaupun kita tahu permintaan untuk bersolek tebal, bersanding di hadapan orang ramai, adegan mencium, bergambar dengan posing-posing yang sulit, itu semua jauh dari panduan Islam. Namun, jika anda yakin mampu berhujah dan memberikan alasan di hadapan tuhan Rabbul Jalil, silakanlah melakukannya... 

4.0 Penutup

Tugas seorang pendakwah ialah menyampaikan ilmu yang dipelajarinya untuk kembali kepada Allah. Tidak lebih dari itu. Samada perkara yang disampaikannya mampu mengubah orang yang mendengar dan membaca, itu bukannya kerja pendakwah. Itu kerja Allah.

Jangan pula timbul celaan dan kata nista selepas ini kepada orang yang menyampaikan seruan Islam ini, hanya kerana terkena pada batang hidung sendiri. Apatah lagi mengherdik dan memerli dengan kata-kata yang pedih lagi menyakitkan seperti , "Ko tak menikah lagi, bolehlah sembang. Tengok ar nanti bila ko kahwin...Macamana pula gayanya!" sambil tersenyum sinis bercampur geram.

Dan jangan pula bertindak mendoakan agar si pendakwah turut terjerumus dalam dosa yang sama supaya bila si pendakwah itu terbuat dosa yang sama, maka bolehlah diejek dan ditempik sekuat mungkin hingga di dengar seluruh penghuni dunia " Ceh, cakap orang lebih, kau pun sama aje!" dan berlalu dengan perasaan puas dan gembira.... kerana dendamnya telah berbalas.

Sesungguhnya, Aku hanya menyampaikan peringatan dari Allah dan risalah-Nya.  Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. (Q 72 : 22)

Selepas Tengah Malam 
13 Oktober 2010


Labels: ,


Baca Lagi!

Monday, October 11, 2010

Ukhuwwah yang palsu!

11 Oktober 2010

1.0 Pengenalan

Ukhuwwah Islamiah adalah suatu perkara yang amat suci dan merupakan anugerah Allah kepada orang-orang yang dikehendakinya. Walau sehebat manapun usaha yang dilakukan oleh seseorang yang mahukan ukhuwwah, walau sebanyak mana harta yang ditaburkan untuk memiliknya.. namun ia tidak akan mampu memilikinya selagi Allah SWT tidak memperkenankannya.

Seperti Firman Allah dalam surah Al-Anfal , ayat 63 : Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.

Justeru, untuk merasai kelazatan nikmat ukhuwwah Islamiah, kita perlu memahaminya terlebih dahulu syarat-syarat dan kelayakan orang yang dipilih Allah untuk merasainya.

2.0 Syarat Ukhuwwah Islamiah

Syarat utama ukhuwwah Islamiah ialah hubungan itu berlaku kerana Allah. Semuanya bersandarkan kepada Allah. Ertinya, hubungan yang dijalinkan antara dua individu itu  mestilah hanya kerana bermatlamatkan keredhaan Allah. Justeru, apabila matlamatnya ialah Allah, maka segala perlakuan antara dua individu itu juga hendaklah menepati kehendak Allah.

Apabila bertemu dengan sahabatnya, akan terasa kelembutan dan ketenangan jiwanya. Dimukanya redup dan senang. Akan segera teringat kepada Allah apabila bersama dengannya kerana dia sentiasa mengingatkan kita kepada Allah. Ibadah kita semakin bertambah. Terasa rindu untuk meletakkan kepala sujud dihadapannya. 

Ukhuwwah seperti ini ada digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya :  dua orang yang berkasih sayang kerana Allah yang
kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Pada hari ini, ramai yang mengaku berukhuwwah kerana Allah, tetapi melakukan banyak kemungkaran dan kefasadan dalam hubungan tersebut.

Ukhuwwah itu tidak ikhlas, disandarkan kepada kelebihan yang ada pada individu yang satu lagi. Dia seorang yang kaya, maka dialah kawanku. Dia orang bijak, maka dialah kawan aku. Dia ada komputer canggih, maka dialah kawan aku. Dia anak menteri, maka dialah kawanku. Sesungguhnya ini bukanlah ukhuwwah akan tetapi satu kepalsuan yang dibalut dengan nama ukhuwwah!

Lebih dahsyat lagi, keakraban dua orang sahabat dalam melakukan maksiat turut dicop sebagai ukhuwwah!

Segerombolan pencuri mengaku mereka mempunyai ukhuwwah yang mantap. Saling cover dan membackup kawan yang terlepas dari cekupan polis. Sanggup dibelasah dalam sel oleh polis , tapi untuk membocorkan nama kawan pencurinya yang bebas.. tidak sama sekali! kerana katanya.. inilah ukhuwwah!.. nah.. kepalsuan yang nyata!

Lebih dahsyat lagi, apabila ukhuwwah itu dibangga-bangga dan ditaja pula kepada orang lain sehingga rosak maksud sebenar ukhuwwah yang dianjurkan Islam.

3.0 Bertaubat dari ukhuwwah yang palsu

Seringkali manusia ini melakukan kesalahan. Maka sebab itulah datangnya para rasul untuk membawa keluar manusia dari lembah dosa ke taman pahala. Antara berita gembira kepada pelaku-pelaku dosa yang disampaikan oleh Rasul ialah : "Setiap orang itu berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari melakukan dosa"

Begitulah sifat Ar-Rahim, Tuhan yang Maha Mengasihani, mengampunkan dosa hamba-hambanya walau setinggi dan sejahat mana dosa itu. Seperti yang difirmankanNya dalam surah Al-Baqarah, 2:222 (Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri)

Maka bertaubatlah wahai manusia, yang menjalinkan ukhuwwah palsu! Apatah lagi ukhuwwah palsu itu pula dibaluti dengan perbuatan maksiat. Nauzubillah.

4.0 Meninggalkan teman yang membawa kita ke neraka

Pra syarat taubat yang disepakati oleh para ulama ada 3 
- menyesal/membencii perbuatan maksiat
- meninggalkan perbuatan maksiat 
- berazam tidak melakukannya lagi

Maka, jika dengan berkawan dengan seseorang itu menyebabkannya tergelincir ke kancah dosa, maka tindakan yang paling tepat ialah dengan meninggalkannya! Tidak bersahabat dengan orang itu lagi! Tidak sama sekali ia berbunyi memutuskan ukhuwwah, kerana hubungan yang dijalinkan sebelum itu bukanlah ukhuwwah! 

Ukhuwwah adalah persaudaraan yang disandarkan kepada Allah serta membawa kita dekat kepada Allah.  Maka jika ia membawa kita menjauhi dari Allah, sudah terbukti jelas ia bukanlah ukhuwwah!

Maka, jika dilihat kepada pra syarat taubat... menyesali perbuatan maksiat, membencinya dan berazam tidak melakukannya lagi... bagaimanakah untuk melaksanakannya jika masih lagi berada dalam persekitaran/biah yang mendorong untuk melakukan maksiat?

Sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW :  “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi seorang peminum arak yang bertaubat, bagaimana mungkin dia untuk tidak terus menerus meminum arak andai seluruh teman-teman semejanya masih meneguk dengan asyik air kencing syaitan itu?

Bagi seorang pelacur yang bertaubat. bagaimana mungkin dia terus istiqamah tidak berzina seandainya masih lagi berkawan dengan lelaki-lelaki hidung belang?

Bagi seorang penerima rasuah yang bertaubat. bagaimana mungkin dia dapat menolat getaran menerima duit suapan rasuah bila bersama dengan kawan-kawan yang masih lahap menjilat dan meratah wang rasuah?!

Oleh sebab itu, jangan takut untuk memutuskan hubungan dengan orang yang membawa kita jauh dengan Allah. Walaupun diancam , walaupun dikeji, walaupun disabotaj... tekadkan hati, bergantunglah kepada Allah. 

Lebih baik mati dikeji orang namun disayangi Allah dan seluruh penduduk langit daripada dikasihi kawan-kawan namun menjadi musuh Allah dan para penghuni langit.

5.0 Penutup

Ingatlah, berpisah kerana Allah juga diiktiraf oleh Allah.Bahkan ia mendapat ganjaran yang sangat tinggi, iaitu mendapat naungan Arasy Allah!

Janganlah kerana terlalu takut/resah/bimbang/sayang untuk berpisah dengan kawan yang merupakan si pelaku maksiat dan pendorong kita melakukan maksiat.. menyebabkan kita menggigit jari dan menyesal nasib di akhirat kelak.

Allah gambarkan golongan ini di akhirat dengan cukup lengkap , "Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia.” (Surah al-Furqan: 28)

Maka, jangan ditanya mengapa aku tidak lagi akrab dengan kamu. Kerana sesungguhnya Aku Takutkan Allah.

waktu Asar
11 Oktober 2010

Labels:


Baca Lagi!

Friday, April 23, 2010

Tidur


Upin dan Ipin

1. "Syeikh, tolong sign untuk ana, dah lewat ni, tak sempat rasanya nak ke kelas" kata Faizal dengan suaranya yang serak-serak dan tersekat-tersekat di hujung corong handphonenya.

2. "Eh, awat lagu tu? Jom le . Hari ni kan ada lecturer nak ajar topik baru" Jamal tak puas hati dengan sahabatnya. Sudah banyak kali sahabat satu coursenya minta dia tanda tangan bagi pihaknya sebagai tanda hadir ke kelas. Hari ini dia sudah bosan dengan sikap rakannya. 

3. "Ala Jamal, boleh le... please. Malam semalam  aku tidur lewat sangat. Terlambat bangun. Ni pun tak solat Subuh lagi ni." pinta Faizal dengan suara mengharap.

4. "Ok, tapi ini kali yang terakhir tau." Jawab Jamal sambil meletakkan telefonnya. Dalam hatinya nekad, tidak mahu 'membantu' rakannya lagi. Dalam hatinya dia merungut... "asyik guna alasan tidur aje, orang lain pun tidur jugak, tapi tak adalah sampai ponteng kelas." Jamal terus membebel seorang diri.

5. "Kenapa mengomel seorang diri ni Jamal?" ana menegur. "Ni ha, Faizal terlebih tidur, minta ana sign kan untuk dia. Teruk betul le bila dah terlebih tidur ni." Jamal meluahkan rasa tidak puas hatinya. 

6. "Isyh, bukan terlebih tidur aje tak elok, terkurang tidur pun ada bahayanya tau..." ana menambah.  Jamal kehairanan lalu bersuara "ceritakanlah Akhi Hakim...".  Ana tersenyum.... "Nanti ana tulis dalam blog ana" jawab ana sambil berlalu meninggalkannya. 

KISAH PADA SEMESTER PERTAMA

7. Jarang ana melakukan perkongsian terbuka mengenai pengalaman 'pahit' akademik di dalam bentuk penulisan. Biasanya ana hanya berkongsi pengalaman ini melalui ceramah-ceramah motivasi yang ana kendalikan melalui syarikat Suria Horizon Training and Consultancy.

8. Hari ini ana ingin menyingkap kembali kepada peristiwa 'bersejarah' yang banyak mengubah cara ana berfikir dan bertindak sehinggalah menjadikan diri ana seperti pada hari ini.

9. Waktu itu ana berada di semester pertama pengajian Undergraduate di UTP. Semester pertama merupakan semester yang cukup mencabar dan kritikal bagi semua mahasiswa . Ini kerana formula untuk mendapatkan kecemerlangan di alam universiti adalah dengan 'score' setinggi mungkin GPA pada semester pertama supaya CGPA pun turut tinggi untuk mengharungi baki semester yang tinggal.

10. Atas dasar itu, ana cukup bersemangat untuk berlumba-lumba mengumpulkan markah yang tertinggi bagi setiap subjek. Setiap kelas dihadiri dengan penuh semangat dan duduk di barisan hadapan sekali. Alhamdulillah, markah bagi setiap test menggembirakan hati. Bahkan, ana berjaya rapat dengan semua lecturer yang mengajar 5 subjek pada semester tersebut.

11. Kesannya, ana telah mendapat banyak hint/ bayangan berkaitan dengan soalan peperiksaan akhir semester tersebut. Setiap kali mendapat 'hint' terbaru dari lecturer, ana segera menyebarkan kepada seluruh rakan-rakan satu course, samada melalui sms mahupun melalui 'mirc' (sewaktu itu masih belum ada facebook).

12. Di hujung semester, coursework dikeluarkan oleh setiap lecturer, dan sekali lagi lafaz tayyibah Alhamdulillah ana lafazkan, kerana berjaya mendapat coursework yang tinggi diantara rakan-rakan satu course.

13. Saat yang dinanti pun tiba, Final Examination. Ana begitu teruja mendudukinya. Alhamdulillah, 3 paper pertama berjaya dihadapi dengan tenang. Semua tips2 yang diberi oleh lecturer ternyata keluar . Tinggal lagi 2 paper sahaja lagi, dan kejadian itu pun bermula.

MALAM SEBELUM PAPER DIFFERENTIAL EQUATION

14. "Allah, letihnya... banyak dah latihan buat ni. Jom kita tidur. Ini dah dekat pukul 12 malam.  Lagipun esok paper kita pukul 9 pagi. " ajak ana pada rakan-rakan. Semua mengangguk setuju dan senyuman terukir di bibir masing-masing.  Kami semua rasa yakin untuk menduduki paper yang paling sukar di UTP itu, Differential Equation setelah mengulangkaji seharian secara kumpulan. Memang menjadi tabiat ana untuk mengulangkaji dengan rakan-rakan secara berkumpulan (baca: study group) apabila menjelang final exam, dan jujurnya memang memberikan kesan yang maksimum.

15. Maka lampu bilik C104 di Village 1 UTP itupun ditutup. Sedang ana membaca 3 Qul sebelum mata ini beradu, tiba-tiba 

"Dum..Dum...Dum.." pintu bilik diketuk kuat.

16. "Siapa pula datang malam-malam ini." ana mengomel seorang diri. Memikirkan mungkin ada orang yang mahu menjual Hot Dog di malam hari, ana membatukan diri di atas katil. Ana sudah menyudahkan bacaan 3 Qul dan mula untuk membaca Doa Sebelum Tidur. Namun sekali lagi,

"DUM..DUM..DUM.." ketukan itu lebih kuat. Kali ini dengan sahutan nama,

"HAKIM, OOO HAKIM..." laung suara itu dari luar.

17. Dengan berat hati, ana menarik selimut ke tepi dan melangkah longlai ke pintu. Saat pintu dibuka kelihatan tiga orang rakan. Setelah diamati, rupa-rupanya rakan satu batch namun bukan satu course. 

18. Dengan senyuman yang dibuat-buat dan muka yang kepenatan ana bertanya , "Kenapa ni geng? Ada apa yang boleh ana bantu?" ana berbicara lembut malam itu. Hakikatnya kuasa panggilan katil begitu kuat sekali.

19. "Err.. kami nak minta tolong sikit boleh?" kata rakan A. Mukanya penuh mengharap.

20. "Apa dia kalau ana boleh bantu?" ana menawarkan diri dengan penuh keberatan.

21. "Kami dengar, ko ada hint dari lecturer. Tolong le ajar kami. Satu habuk pun tak study lagi.Isy, takut fail le esok." rakan B menjawab pula.

22. Mendengar permintaan tersebut, ana berat hati. Jam sudah pun lebih jam 12 malam, pagi esok paper jam 9. Rasanya tak cukup kuat untuk mengajar mereka. Belum sempat ana memberikan jawapan, tiba tiba Rakan C mencelah " Ni ada kami belikan Roti Canai untuk ko... haa... Air teh air pun ada." sambil senyuman penuh mengharap.

23. Aduh. Ini dah kira rasuah.. Ana tersenyum. Kebetulan ana agak lapar malam itu kerana sehari suntuk pulun mengulangkaji pelajaran.  Dalam hati ana memujuk, "Ala, apa salahnya bantu rakan-rakan, setengah jam aje, lagipun dapat jugak merasa roti canai dan air teh ais ni." Lalu ana memberikan kesanggupan....

24. Maka, ana pun ditarik keluar ke bilik mereka yang berada di aras satu Blok C. Wah, banyak betul kertas bertaburan atas lantai, meja, kerusi dan juga katil. Bau asap rokok dalam bilik juga menyesakkan dada sewaktu ana melangkah kaki masuk ke bilik mereka. Kelihatan baju dan seluar berjuntaian di sana sini. Gitar kapok pula tersusun rapi di sisi dinding. Ana mengambil tempat dalam bilik mereka.

25. "Hurm, part mana yang tak faham tu?" tanya ana perlahan sambil cuba menyesuaikan diri dalam 'suasana baru' tersebut.

26. "Semua" jawab mereka hampir serentak sambil menyengiraikan gigi masing-masing. Ana menggelengkan kepala sambil mata mencuri-curi lihat jam di tangan, pukul 12.30 pagi!

27. "Ok ler, aku ajar kome semua berdasarkan hint yang aku dapat. Ada 5 soalan kena jawab dari 6. Kome ambil sorang satu soalan past year, try buat, nanti aku semak. A ko buat soalan 1, B ko buat soalan 2, C ko buat soalan 3. "ana mula membahasa diri "aku - ko" untuk membiasakan diri dengan mereka.

28. Maka masa pun berlalu. Dari 3 soalan kepada 6 soalan , seterusnya menjadi 9 soalan, sampai soalan contoh ke 24 ana sudah tidak sedarkan diri. Tertidur kepenatan. Sempat ana menjeling jam di sisi sebelum tertidur, wah... 4.30 pagi!

29. Keesokannya ana bangun saat mentari memancar panas di pipi. Segera ana melihat jam di tangan . 8.30 pagi! Terus ana mengejut rakan-rakan A,B,C yang turut tertidur sama. Ana bergegas lari kebilik sendiri untuk bersiap. Subuh ana "jama'kan" sekali dengan solat Dhuha pagi tersebut. Kelam kabut ana dibuatnya.

30. Segera ana mencapai motor Kriss Hitam PFY 2702 dan memecut laju ke Dewan Besar UTP, Alhamdulillah masih sempat. Kelihatan masih ada dua- tiga orang yang terakhir melangkah masuk ke dewan. Jam di tangan tepat menunjukkan 9.00 pagi.

31. Kaki kanan melangkah masuk ke tangan mencari tempat duduk. Sebaik sahaja duduk, invigilator memberikan arahan untuk melihat kertas soalan dan terus menjawab. Ana segera membelek kertas soalan, Alhamdulillah. Sama seperti hint yang diberikan oleh lecturer.

32. Segera ana menuliskan segala rumus dan formula yang telah dihafal sebelum itu. Selepas 20 minit menulis di atas soalan peperiksaan, tiba-tiba terjadi satu fanomena pelik kepada diri. Kepala jadi berat, telinga jadi panas, mata jadi kabur, badan rasa menggeletar. 

33. Tepat jam 9.30 pagi, ana segera mengangkat tangan mohon izin untuk ke tandas. Ana mahu menyegarkan badan dengan membasuh muka. Sebaik sahaja melihat muka di cermin, ana melihat mata ana sungguh merah. Terlalu merah. Dan kepala juga terasa pening seolah olah ada benda tajam yang menyucuk. Segera ana membasahkan kepala dan tengkuk. Alhamdulillah, terasa lega seketika.

34. Ana kembali ke tempat duduk ana semula. Melihat kertas soalan peperiksaan. "Astaghfirullah Al Azim, apa ini? Satu apa pun tak faham" ana melihat kertas peperiksaan dengan penuh kehairanan. Bukan sekadar soalan yang dicetak itu tidak difahami, malahan tulisan ana sendiri yang telah menulis formula dan rumus juga turut tidak difahami

35. Ana BLUR dan BLANK!

Tik...Tok...Tik...Tok... Masa terus berlalu. 


Gambar hiasan.

36. "Ok, all student. Time's Up. Put down your pen and leave your question paper at the right corner of your table" suara invigilator memberikan arahan. Sudah, kertas jawapan ana masih suci tidak bersentuh. Saat invigilator mengutip kertas dari meja ana, ana masih dalam keadaan blur dan blank.

37. Dan tengahari itu, ana melangkah keluar dengan langkah yang longlai....tidak bersemangat. Berpusu-pusu rakan-rakan satu batch mengucapkan tahniah kepada ana kerana tips yang diberikan ternyata tepat dan memudahkan mereka menjawab dengan baik. Ana hanya tersenyum kelat.

38. Malam itu ana tidak dapat tidur sekali lagi kerana memikirkan akibat tidak menjawab paper tadi.

39. Kesannya, paper keesokan harinya iaitu Circuit Theory pun turut mengalami kejadian yang sama, kertas jawapan tidak bertanda kerana blur.

40. Peristiwa ini ternyata memberikan kesan yang besar kepada ana, kerana apabila slip keputusan dikeluarkan pada awal semester hadapannya, ternyata ana gagal di kedua-dua subjek. Perasaan kecewa menyelebungi diri. Rasa marah, malu dan kecewa silih berganti. 

41. Semua rakan-rakan yang mengetahui kegagalan ana begitu terkejut. Apatah lagi coursework ana yang tinggi sama sekali tidak membayangkan keputusan yang begitu mengejutkan. Ana tersedu sendiri. 

42. Dalam diam, ana melakukan post mortem, dan antara yang ana dapati ialah, kegagalan menguruskan masa tidur dengan baik!

43. Ana sampai hari ini tidak pernah menyalahkan 3 orang sahabat yang meminta tolong pada malam tersebut. Ana menyalahkan diri sendiri kerana tidak menjaga waktu tidur dengan baik. 

44. Dan pada hari ini, pengajaran itu ternyata memberikan peluang kepada ana untuk matang dengan cepat.    Pengalaman gagal mengajar ana untuk tabah. Seperti mengambil madu dari sarang lebah, Ianya adalah satu kelazatan selepas mengharungi kesukaran yang hebat.

45. Namun sebagai pengajaran terutama bagi rakan-rakan yang sedang dan bakal menghadapi peperiksaan final exam, jagalah waktu tidur dengan baik dan  jangan tidur lewat pada malam peperiksaan.

45. Insya Allah, di post akan datang, ana akan ceritakan bagaimana ana bangkit dari kegagalan dan akhirnya berjaya dinobatkan dengan Izin Allah anugerah "Siswa Terbilang" oleh pihak pengurusan UTP pada Malam Anugerah Koleh Kediaman atas kecemerlangan dalam akademik dan ko kurikulum.

Anugerah Siswa Terbilang dari Tuan Haji Mohd Noor Rosli,  Pengarah Perkhidmatan Pelajar UTP

46. Semoga perkongsiaan ini bermanfaat untuk semua. You are never late to change! (^_^)

Labels: ,


Baca Lagi!

Wednesday, April 21, 2010

Beza antara Usrah dan Liqa Fikri

Usrah hanya melibatkan kelompok yang kecil. Dan ia merupakan sesi dua hala.


1. "Syeikh, jom kita buat usrah. Dah lama sangat kita tak usrah ni" komen seorang ikhwah kepada sahabatnya.

2. "Eh, semalam bukan ke kita dah buat usrah. Dengan Ustaz xxxx?" balas sahabatnya kehairanan.

3. "Bagi ana, semalam tu bukan usrah. Ramai macam tu sampai 40 orang. Ntah naqib kenal ke tidak nama kita nie. Rasanya lebih sesuai program semalam tu namanya Liqa Fikri" protes ikhwah itu semula.

4. "Err, Liqa Fikri tue apa ye akhi? Apa pulak bezanya dengan usrah?" sahabatnya menyoal kembali sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. 

5. Ana yang kebetulan lalu di sebelah mereka segera mengajak mereka berbincang panjang mengenai Usrah dan Liqa Fikri.

USRAH

6. Usrah adalah tempat untuk mencambahkan fikrah. Ia merupakan satu sunnah Rasulullah dan diamalkan sejak awal permulaan Islam lagi. Rumah Al Arqam bin Abi Al Arqam menjadi saksi kepada usaha murni ini dilaksanakan.

7. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan faktor pemangkin kepada penerimaan rakyat madinah kepada kepimpinan Rasulullah kerana telah melalui proses usrah yang diketuai oleh Musab Bin Umair dan 11 rakannya yang lain.

8. Faktor keberjayaan usrah ialah apabila naqib mampu mengenali potensi dan kelemahan anak usrahnya. Naqib itu mampu untuk bercakap mengikut level kefahaman anak usrahnya. Bahkan, naqib itu mampu mengatur gerak kerja yang bersesuaian dengan minat dan kemampuan anak usrahnya selepas sahaja liqa usrah berakhir.

9. Namun, adakah semua itu mampu dilaksanakan jika naqib sendiri tidak mengenal siapa anak buahnya, apakah namanya, apakah kelebihannya, dari negeri manakah dia berasal, apakah hobinya, bagaimanakah ibadahnya dan sebagainya! 

10. Lalu proses usrah menjadi hambar. Sepatutnya usrah yang berbentuk perbincangan dan dua hala berubah menjadi satu hala dan cukup membosankan!

11. Kadangkala, ia bukanlah kesalahan naqib yang dijemput. Apakan daya bagi seorang naqib untuk berinteraksi dengan 40 anak usrahnya dalam masa yang cuma satu jam setengah? Bahkan, di sesetengah tempat mencecah kepada ratusan orang. Lalu penyelesaiannya naqib memilih untuk menyampaikan kuliah dan bukannya usrah!

LIQA FIKRI

Contoh perlaksanaan liqa fikri. Bahan Liqa disebarkan , Naqib mengambil tempat di hadapan. Dipengerusikan oleh anak usrah. Sesi soal jawab mengambil bahagian di hujung rancangan.


12. Atas sebab itulah, ana lebih gemar jika penggunaan istilah yang tepat digunakan apabila majlis seperti itu dilakukan. Bagi ana, ia bukanlah usrah tetapi lebih sesuai disebut sebagai Liqa Fikri.

13. Di sesetengah tempat, Liqa Fikri ini disebut sebagai Usrah Gabungan.

14. Hakikatnya, Liqa Fikri ini digunakan untuk menyelaskan kembali fikrah abnaul harakah yang telah pun berusrah di kelompok-kelompok kecil yang pelbagai. Penyelarasan supaya dari kelompok-kelompok yang ramai itu dapat melahirkan wehdatul fikr seterusnya menzahirkan wehdatul amal. Maka semestinya naqibnya perlu figure yang betul-betul mantap fikrahnya dan ahli liqa fikrinya boleh ramai.

15. Liqa Fikri juga merupakan platform bagi kepimpinan jemaah untuk menyalurkan maklumat kepada ahli-ahli usrah.  Keputusan-keputusan rasmi yang telah disyurakan kadang kala memerlukan kepada penjelasan dan liqa fikri adalah tempat yang terbaik untuk berbuat demikian.

16. Namun, akibat tidak memahami perbezaan yang ketara antara Liqa Fikri dan Usrah ini, maka ramai yang mengambil kesempatan untuk memukul rata sahaja kaedah perlaksanaannya. Sepatutnya majlis itu adalah usrah, tapi dijalankan seumpama liqa fikri, dan sepatutnya masa itu adalah liqa fikri, tapi bilangan yang hadir lebih sesuai diadakan usrah.

17. Ana menghentikan huraian ana yang panjang lebar apabila melihat kerutan di dahi dua orang ikhwah itu mula menghilang.  "Owh, jadi memang beza le antara usrah dan liqa Fikri ni ye Akhi Hakim. Faham le ana begitu" respon sahabat tersebut sambil tersenyum.

18. "Lepas nie kita kena cadangkan kepada kepimpinan supaya adakan juga usrah walaupun dah ada liqa fikri. Betul tak akhi? respon kawannya pula.

19. Belum sempat ana menjawab, rakannya pula mencelah, "Tapi, ada ke naqib yang nak bawak usrah kita nanti? Dengar khabar pimpinan buat liqa fikri tu sebab tak ada naqib bila dibuat usrah secara kelompok-kelompok kecil." Keluhan ikhwah itu disambut dengan anggukan oleh rakannya.

20. "Ye lah, siapa le yang sudi menjadi naqib kepada kami ni" sambil matanya menjeling kepada ana penuh tersirat.

20. Ana segera menyambut keluhan ikwah berdua tersebut , "Insya Allah akhi, ana sanggup, kerana Allah demi Islam" sambil disambut pelukan mereka berdua.




Labels: ,


Baca Lagi!

Gambar Ekslusif Rakan Masjid UTP sempena ijtimak Sanawi

Setelah mendapat permintaan daripada beberapa sahabat yang mahu melihat gambar-gambar kepimpinan Rakan Masjid yang lalu, maka ana telah berusaha mencarinya dan Alhamdulillah, inilah gambarnya.

Saf kepimpinan muslimat Rakan Masjid UTP 2010/2011, tunduk ke bawah menginsafi beratnya amanah


Saf kepimpinan muslimin Rakan Masjid UTP 2010/2011. Turut tunduk merendah diri.


Inilah barisan kepimpinan yang meletakkan "da'wah sebagai laku utama"


Kegembiraan jelas terpancar di barisan exco Rakan Masjid 2009/2010 yang telah melepas beban.. Eh, yang di sebelah kanan sekali tu, tengah menangis ke tu? (^_^)


Alhamdulillah, selesai jua amanah yang diberikan kepada kami.


Posing istimewa untuk semua warga UTP dari Rakan Masjid 2009/2010


dan.... gambar yang dinanti-nantikan....

.
..
...
....
....
.....
........

inilah dia...

PRESIDEN RAKAN MASJID UTP 2010/2011

AKHI MOHAMAD HAFIZI BIN ZAKARIA


Ucapan yang begitu bersemangat.. 3 bahasa sekaligus mampu diungkapkan... hebat!

Labels: , ,


Baca Lagi!

Tuesday, April 20, 2010

Indahnya namamu.... dan ayahmu


Nama: Mohd Hakim bin Mohd Nor


"Siapa nama encik? " tanya juruhebah radio IKIM di suatu petang. Menjadi kebiasaan setiap petang akan ada sesi temu bual dengan pendengar radio IKIM bagi slot info masjid. Slot ini bertujuan untuk menghebahkan aktiviti masjid dan surau kepada masyarakat.

"Nama saya Megat" ringkas jawapan si pemanggil.

"Boleh bagi nama penuh encik?" sekali lagi juruhebah bertanya.

"Panggil Megat aje lah." si pemanggil cuba untuk mengelak memberikan nama penuhnya.

Deejay IKIM kembali bertanya dengan nada yang agak tegas. " Kalau tak dapat nak penuh, kami tak dapat bantu encik siarkan maklumat yang encik ingin sampaikan"

"Owh.. maaf-maaf. Nama saya  Megat Zulkarnain" jelas si pemanggil dengan nada keberatan.

"Encik Megat bin apa ye?" soal Deejay lagi. Barangkali saat ini rasa geramnya sudah memuncak kerana terdengar sedikit getaran di hujung suaranya. Seolah-olah menahan geram yang amat sangat.

"Megat Zulkarnain Bin Megat Zulnazri" jawab si pemanggil tersipu-sipu malu.

"Haa... kan cantik nama encik Megat ni. Kenapa nak dimalukan dengan nama penuh kita. Sedangkan jika di Jazirah Arab, mereka berbangga dengan nasab mereka bahkan mampu menghafal hingga ke dua puluh keturunan ke atas. Barulah dapat keabsahan maklumat bila mengetahui siapa yang menyampaikan info. Ini slot memberikan info, bukannya sesi memberikan pandangan. Kalau memberikan pandangan, nick name pun tidak mengapa!" bebel sang Deejay bercampur sedikit kesal dengan sikap dan perangai pemanggil.

Hakikatnya, bukan Megat sahaja yang bersikap sedemikian petang itu, malah hampir semua pemanggil perlu di ulang tanya oleh Deejay yang bertugas nama penuh terutamanya nama ayah si pemanggil!

NAMA

Ana teringat kisah semasa kecil-kecil dahulu. Ana bukan main pantang bila ada rakan-rakan mempermainkan nama ayah ana. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain, sampai sanggup bertumbuk untuk mempertahankan 'kemuliaan' nama ayah mereka.

Pernah ana menyaksikan seorang rakan ditampar kerana mengejek nama ayah rakannya yang terkenal dengan sifat panas baran. Nama ayah kepada si penampar itu ialah Mansor. Diejeknya dengan dialog cerita cina apabila meraikan Raja, " Mansoi... mansoi.. ma man Mansor". Bahkan ejekan itu dilakonkan pula dengan tangan yang digenggam kehadapan. Apa lagi, tangan naik kemuka. Pang~

Maharaja Cina

Sifat mempertahankan nama ayah masing-masing adalah satu naluri semulajadi. Kerana kita amat menghormati ayah kita dan juga kerana memuliakannya.

Tapi hairan, apabila sudah besar panjang, perasaan bangga dengan ayah masing-masing itu seolah-olah dilupakan, bahkan timbul pula perasaan malu. Malu untuk menyebut nama ayah sendiri? Jika kalian sudah malu menyebut nama ayah sendiri, agaknya apa pula perasaan yang timbul jika ayah kalian sendiri datang berjumpa kalian semasa sedang bersama-sama dengan rakan-rakan kalian?

Bukan sekadar malu dan berat untuk menyebut nama ayah, nama sendiri juga seringkali disebut pendek. Bahkan lebih teruk dari itu, di tukarkan pula kepada nama ala-ala barat.

Salimah menjadi Sally.

Shamsiah menjadi Sam.

Borhan menjadi Bob.

Azrul menjadi  Roy

Khadijah menjadi Ketty !


SABDA NABI

"Abu Darda ada meriwayatkan yang Rasulullah SAW ada bersabda: Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-namamu. (riwayat Abu Daud).

Nama merupakan irama yang paling indah. Siapa sahaja akan gembira bila orang mengingati namanya. Bahkan, Ianya bukan sahaja digunakan di dunia, bahkan akan berterusan digunakan di akhirat sejajar dengan hadis Nabi di atas.

Maka, apakah lagi alasan yang mahu digunakan untuk tidak menggunakan nama yang elok dan sempurna. Berbanggalah dengan nama kita yang membawa maksud yang baik begitu juga nama ayah kita.

Secara realitinya, bukan sahaja perkara ini berlaku semasa berucap seperti melalui radio tadi, namun seringkali juga berlaku dalam penulisan.

Semester lepas semasa menjadi tutor kepada Subjek Electro Magentic Theory, sempat ana menyemak beberapa kertas jawapan tutorial yang dihantar kepada ana. Hampir 70% meletakkan nama mereka sahaja di kertas jawapan tanpat nama ayah mereka. Hampir-hampir ana tidak dapat membezakan beberapa kertas jawapan kerana mempunyai nama yang sama , mujur NO ID menjadi penyelamat keadaan. Ini menguatkan lagi azam ana untuk menghentikan gejala yang tidak sihat ini.

Bagi ana, perkara ini perlu disedarkan dengan segera kepada masyarakat. Amat berbahaya sekali situasi ini kerana golongan terpelajar seperti mahasiswa Universiti pun sudah mula tidak menghargai kesempurnaan nama mereka. Maka, apakah lagi yang tinggal sebagai identiti diri kita jika nama pun sudah tidak dihargai? 

Snipper


Mungkin ini adalah kesan kepada penggunaan internet yang membenarkan identiti diri dibentuk secara rahsia, anonymous, nick name dan sebagainya. Akhirnya ia telah membentuk ramai Snipper @ Penembak curi  di kalangan rakyat. Kesan yang paling ditakutkan ialah hilangnya integriti dan jati diri, kerana semua perlakuan dan perkataan tidak mahu dipertanggungjawabkan oleh si pembuat, kerana itu adalah identiti yang direka!

Petang ini ana ingin sekali lagi mendengar radio IKIM, masih adakah lagi pendengar yang masih malu menyebut nama penuhnya?


Labels: ,


Baca Lagi!

Monday, April 19, 2010

Bagaimana untuk rasa bahagia?


Suasana tasik yang tenang dan membahagiakan diri.

1. "Abang Hakim, macamana ye nak rasa bahagia? Ana tengok abang ni nampak relaks aje walaupun program bukan main banyak lagi. Tak rasa stress ke?" komen seorang adik semasa ana menghadiri Ijtima Sanawi Rakan Masjid semalam.

2. Ana hanya tersenyum sahaja mendengar komennya.

3. Jujurnya, baru-baru ini ana baru sahaja habis marathon 3 hari program di semenanjung Malaysia. Bermula dengan program kepimpinan di Shah Alam, kemudian berforum pula di Sri Iskandar, di teruskan lagi kuliah di Kuala Kangsar, berangkat pula ke Pulau Pinang untuk berceramah, kemudian meluru laju ke Ipoh menghadiri kelas dan mesyuarat sebelum menghabiskan jadual dengan menjadi Naqib usrah di Sabak Bernam.

4. Memang tak dapat dinafikan, urat-urat terkadang rasa tegang. Badan rasa lesu. Hinggakan kadang-kadang bawa kereta pun sudah tidak mampu kerana terlalu letih. 

5. Walaupun kehidupan seperti ini dianggap "out of mind" bagi sesetengah orang, bagi ana ianya merupakan satu jawapan untuk mendapatkan kebahagiaan kepada diri sendiri.

6. Sukar rasanya untuk menolak jemputan memberi kuliah, ceramah, mengendalikan tamrin , menjayakan program motivasi, menjadi ahli panel forum, menjadi naqib usrah dan sebagainya yang berbentuk pembentukan jiwa. Sudah tentu penerimaan untuk mengisi slot-slot tersebut telah mengurangkan masa untuk diri sendiri. Itu belum dikira dengan beberapa taklifan yang lain.

7. Bukan sedikit yang datang menasihati ana untuk mengurangkan taklifan. Status sebagai pelajar Sarjana @ Master bukanlah beban yang ringan. Ditambah lagi dengan peranan sebagai CEO kepada syarikat motivasi Suria Horizon  dan Presiden Alumni Rakan Masjid iaitu Rakan Motivasi cukup menambahkan rasa letih. Bukan sekadar itu, penglibatan dengan Jemaah Islam di pelbagai peringkat dengan memegang beberapa post tertentu melengkapkan lagi kehidupan yang begitu padat.

8. Dan seringkali pula kepadatan hidup ini ditafsir oleh sesetengah orang sebagai stressfull life ataupun kehidupan yang menyeksakan!Namun, bagi ana, ianya bukanlah satu tafsiran yang tepat. Malah, sebelum mengatakan hidup yang pada ini menyeksakan, benarkah hidup kita ini sudah terlalu sibuk? Pernah ana membandingkan diri dengan ratusan bahkan ribuan lagi tokoh-tokoh masyarakat yang jauh lebih sibuk dan memegang taklifan yang lebih berat, akhirnya ana mendapati ana terperosok ketempat tercorot dalam kategori 'orang yang paling busy'.

9. Namun, di celah-celah 'kesibukan' diri ini, ana ingin berkongsi sedikit apa sebenarnya yang dirasakan ana semasa 'kesibukan' ini. Ya, perasaan puas dan bahagia apabila melihat orang lain gembira. 

10. Teringat seketika saat ana menjadi ajk perhubungan program satu ketika dahulu. Saat paling menggembirakan ana adalah apabila ustaz yang dihubungi memberi persetujuan untuk hadir ke program.

11. Kini, tibalah saatnya pula ana menjadi asbab untuk ajk perhubungan di kalangan adik-adik untuk turut merasa gembira. Dan kegembiraannya itu ternyata menjadi sumber kepada kebahagian dan kepuasan diri ana sendiri.

MUSLIM

12. Nabi pernah ditanya tentang apakah itu muslim. Kata nabi, muslim adalah orang yang dapat menjaga lisan dan perbuatannya dari menyakiti saudaranya yang lain.

13. Maksud yang tersirat ialah, muslim itu adalah orang yang menggunakan lisan dan perbuatannya itu untuk membahagiakan saudaranya yang lain.

14. Atas dasar itulah, ana rela berpenat lelah, berpintal urat, bergenang air mata, bertampal koyok semata-mata cuba untuk membahagiakan sahabat-sahabat. Biarpun usaha itu sekecil mana sekalipun, ianya akan cuba ana lakukan demi membahagiakan mereka.

HARI LAHIR

15. Antara perkara yang gemar ana lakukan ialah, menyambut Hari Lahir sahabat-sahabat.

16. Walaupun ramai mengatakan ianya bukanlah suatu sunnah, tapi bagi ana, ianya tetap memberikan 'sentimental value' kepada yang menerimanya.Buktinya, lihatlah pada wajah-wajah orang yang menerima ucapan Hari Lahir dan juga hadiah, ada mukanya masam mencuka ataupun senyum hingga ke telinga? (^_^)

17. Sebab itulah setiap jam 9 pagi, handphone w960i sony ericson ana akan berbunyi seandainya pada hari itu adalah hari lahir sahabat-sahabat ana, tidak kira muslimin ataupun muslimat. Maka sms wish akan dihantar dan jika berkemampuan, akan diiringi dengan kek. 

Bersama dengan Awangku Alizul semasa menyambut Birthday nya di restoren Sri Iskandar.

18. Menjadi satu keajaiban, perasaan gembira sahabat itu berpindah ke diri ana dan menimbulkan rasa bahagia. Kebahagian yang timbul itu nyata akan menjadi ubat yang mujarab kepada semua rasa letih dan kepenatan yang dirasai.

19. Jika masih tidak percaya, mulakanlah dengan menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan sekeliling anda walaupun mereka tidak memintanya, dan rasailah perbezaannya! (^_^)

Labels: ,


Baca Lagi!

Saturday, April 17, 2010

Konsert lagi (3)

Artikel yang dikarang semasa memegang taklifan selaku 'kuli dakwah' di Rakan Masjid dahulu.

Jom santap~
=========================================================================


Kalam Presiden Rakan Masjid 2008/2009
Al-Akh Mohd Hakim Bin Mohd Nor

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bersyukur kita pada Allah SWT kerana telah memilih kita dari jutaan hambaNya untuk menerima hidayah Islam dan sinaran nur Iman. Di penghujung bulan Rejab ini, mungkin di kalangan kita sudah mula menghitung hari akan ketibaan bulan Ramadhan. Namun, sebelum Rejab melabuhkan tirai, adalah elok kiranya kita mengambil ibrah@pengajaran dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang telah berlaku pada 27 Rejab tahun ke 10 kenabian.

Rasulullah s.a.w banyak memberikan peringatan kepada kita dengan menceritakan nasib umat yang melakukan dosa di dunia yang dilihat baginda semasa peristiwa Mi’raj. Ada yang memecahkan kepala berulang kali, ada yang berenang di lautan darah, ada yang menggunting lidahnya sendiri dan banyak lagi. Semua ini diceritakan sebagai satu inzar @ peringatan bahawa segala kerja buat kita didunia ini pasti akan dibalas.

Atas dasar itulah, kita harus menilai kembali setiap perkara yang kita lakukan di muka bumi ini dengan neraca  Iman dan Islam. Kebelakangan ini, kita menyaksikan lambakan ‘event’ secara berleluasa di tanah UTP ini. Pelbagai persatuan dan kelab berusaha menghasilkan ‘event’ yang terbaik dengan bertujuan untuk mencungkil bakat mahasiswa di samping menjadi platform untuk mahasiswa aktif di bidang bukan akademik.

Di pihak Rakan Masjid, kami melihat perkembangan semasa ini merupakan satu budaya yang sihat untuk membuktikan mahasiswa UTP sudah mula merealisasikan misi UTP yang mahu melahirkan graduan yang ‘well rounded’. Namun, di pihak kami turut melahirkan kebimbangan terhadap penganjuran ‘event-event’ berbentuk hiburan yang muncul dalam skala yang makro sejak akhir-akhir ini. Sebagai contoh, semester ini sahaja kita akan disajikan dengan Kembara Sufi, Persembahan semasa Convo Fair dan yang terdekat Symphony Fest. Persoalannya, adakah semua ‘event’ hiburan ini bertepatan dengan kehendak Islam?

Kami di Rakan Masjid sama sekali tidak pernah menolak ‘event’ berbentuk hiburan ini selagi mana penganjurannya berlandaskan lunas-lunas Islam. Atas dasar itu, kami menyeru kepada seluruh mahasiswa UTP yang terlibat dalam menganjurkan waima menyertai ‘event-event’ hiburan ini menilai kembali status ‘halal’ ‘event’ tersebut.


Justeru, kami menyeru untuk kita sama-sama berpegang kepada ijtihad tokoh ulama antarabangsa yang terkemuka , Prof. Dr. Yusof Al-Qordowi dalam memastikan ‘event’ yang dianjurkan selari dengan kehendak Islam. Antara ‘checklist’ yang perlu dipatuhi ialah,
Penyanyi – hendaklah menutup aurat, bukan seorang wanita
Persembahan – terjaga dari segi akhlak & perbuatan, tiada penari wanita
Penonton – terpelihara daripada percampuran antara lelaki & perempuan yg bukan mahram, menjaga akhlak & perlakuan
Lagu/lirik – tidak menaikkan syahwat, tidak memuja manusia secara berlebihan


Sekali lagi kami menegaskan, di pihak Rakan Masjid kami sentiasa terbuka dan berlapang dada dalam penganjuran ‘event-event’ hiburan di UTP ini . Kami bukanlah golongan penghukum tetapi hanya sekadar ingin berkongsi apa yang kami tahu dengan kalian. Jelasnya, pihak kami juga tidak ketinggalan dalam menganjurkan ‘event’ hiburan seperti Kembara Sufi. 

Cumanya, apa yang ingin ditegaskan disini bahawa kami sama sekali tidak akan berkompromi dengan elemen-elemen mungkar yang wujud dalam mana-mana ‘event’ tersebut. Seandainya ‘checklist’ yang telah digariskan oleh Prof. Dr. Yusof Al-Qordowi tadi dipatuhi, tiada masalah di pihak kami untuk menyokong dan menghadiri mana-mana ‘event’ hiburan yang dianjurkan di UTP ini.

Sesungguhnya, risalah ringkas ini hanyalah satu resolusi untuk kita menjentik kembali rasa bertuhan dalam diri kita. Kita sudah semestinya sama sekali tidak mahu terhimpun dalam golongan yang menerima azab yang maha dahsyat seperti mana yang telah disaksikan oleh Rasulullah dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Sesungguhnya setiap kerja buat kita samada dalam menganjurkan ataupun menyertai ‘event’ di muka bumi UTP ini pasti akan dihitung oleh Allah. Bersamalah kita bermohon kepada Allah agar meletakkan kita dalam golongan yang mendapat rahmatNya dan bukan murkaNya.

2008

Labels: ,


Baca Lagi!