Tuesday, April 20, 2010

Indahnya namamu.... dan ayahmu


Nama: Mohd Hakim bin Mohd Nor


"Siapa nama encik? " tanya juruhebah radio IKIM di suatu petang. Menjadi kebiasaan setiap petang akan ada sesi temu bual dengan pendengar radio IKIM bagi slot info masjid. Slot ini bertujuan untuk menghebahkan aktiviti masjid dan surau kepada masyarakat.

"Nama saya Megat" ringkas jawapan si pemanggil.

"Boleh bagi nama penuh encik?" sekali lagi juruhebah bertanya.

"Panggil Megat aje lah." si pemanggil cuba untuk mengelak memberikan nama penuhnya.

Deejay IKIM kembali bertanya dengan nada yang agak tegas. " Kalau tak dapat nak penuh, kami tak dapat bantu encik siarkan maklumat yang encik ingin sampaikan"

"Owh.. maaf-maaf. Nama saya  Megat Zulkarnain" jelas si pemanggil dengan nada keberatan.

"Encik Megat bin apa ye?" soal Deejay lagi. Barangkali saat ini rasa geramnya sudah memuncak kerana terdengar sedikit getaran di hujung suaranya. Seolah-olah menahan geram yang amat sangat.

"Megat Zulkarnain Bin Megat Zulnazri" jawab si pemanggil tersipu-sipu malu.

"Haa... kan cantik nama encik Megat ni. Kenapa nak dimalukan dengan nama penuh kita. Sedangkan jika di Jazirah Arab, mereka berbangga dengan nasab mereka bahkan mampu menghafal hingga ke dua puluh keturunan ke atas. Barulah dapat keabsahan maklumat bila mengetahui siapa yang menyampaikan info. Ini slot memberikan info, bukannya sesi memberikan pandangan. Kalau memberikan pandangan, nick name pun tidak mengapa!" bebel sang Deejay bercampur sedikit kesal dengan sikap dan perangai pemanggil.

Hakikatnya, bukan Megat sahaja yang bersikap sedemikian petang itu, malah hampir semua pemanggil perlu di ulang tanya oleh Deejay yang bertugas nama penuh terutamanya nama ayah si pemanggil!

NAMA

Ana teringat kisah semasa kecil-kecil dahulu. Ana bukan main pantang bila ada rakan-rakan mempermainkan nama ayah ana. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain, sampai sanggup bertumbuk untuk mempertahankan 'kemuliaan' nama ayah mereka.

Pernah ana menyaksikan seorang rakan ditampar kerana mengejek nama ayah rakannya yang terkenal dengan sifat panas baran. Nama ayah kepada si penampar itu ialah Mansor. Diejeknya dengan dialog cerita cina apabila meraikan Raja, " Mansoi... mansoi.. ma man Mansor". Bahkan ejekan itu dilakonkan pula dengan tangan yang digenggam kehadapan. Apa lagi, tangan naik kemuka. Pang~

Maharaja Cina

Sifat mempertahankan nama ayah masing-masing adalah satu naluri semulajadi. Kerana kita amat menghormati ayah kita dan juga kerana memuliakannya.

Tapi hairan, apabila sudah besar panjang, perasaan bangga dengan ayah masing-masing itu seolah-olah dilupakan, bahkan timbul pula perasaan malu. Malu untuk menyebut nama ayah sendiri? Jika kalian sudah malu menyebut nama ayah sendiri, agaknya apa pula perasaan yang timbul jika ayah kalian sendiri datang berjumpa kalian semasa sedang bersama-sama dengan rakan-rakan kalian?

Bukan sekadar malu dan berat untuk menyebut nama ayah, nama sendiri juga seringkali disebut pendek. Bahkan lebih teruk dari itu, di tukarkan pula kepada nama ala-ala barat.

Salimah menjadi Sally.

Shamsiah menjadi Sam.

Borhan menjadi Bob.

Azrul menjadi  Roy

Khadijah menjadi Ketty !


SABDA NABI

"Abu Darda ada meriwayatkan yang Rasulullah SAW ada bersabda: Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-namamu. (riwayat Abu Daud).

Nama merupakan irama yang paling indah. Siapa sahaja akan gembira bila orang mengingati namanya. Bahkan, Ianya bukan sahaja digunakan di dunia, bahkan akan berterusan digunakan di akhirat sejajar dengan hadis Nabi di atas.

Maka, apakah lagi alasan yang mahu digunakan untuk tidak menggunakan nama yang elok dan sempurna. Berbanggalah dengan nama kita yang membawa maksud yang baik begitu juga nama ayah kita.

Secara realitinya, bukan sahaja perkara ini berlaku semasa berucap seperti melalui radio tadi, namun seringkali juga berlaku dalam penulisan.

Semester lepas semasa menjadi tutor kepada Subjek Electro Magentic Theory, sempat ana menyemak beberapa kertas jawapan tutorial yang dihantar kepada ana. Hampir 70% meletakkan nama mereka sahaja di kertas jawapan tanpat nama ayah mereka. Hampir-hampir ana tidak dapat membezakan beberapa kertas jawapan kerana mempunyai nama yang sama , mujur NO ID menjadi penyelamat keadaan. Ini menguatkan lagi azam ana untuk menghentikan gejala yang tidak sihat ini.

Bagi ana, perkara ini perlu disedarkan dengan segera kepada masyarakat. Amat berbahaya sekali situasi ini kerana golongan terpelajar seperti mahasiswa Universiti pun sudah mula tidak menghargai kesempurnaan nama mereka. Maka, apakah lagi yang tinggal sebagai identiti diri kita jika nama pun sudah tidak dihargai? 

Snipper


Mungkin ini adalah kesan kepada penggunaan internet yang membenarkan identiti diri dibentuk secara rahsia, anonymous, nick name dan sebagainya. Akhirnya ia telah membentuk ramai Snipper @ Penembak curi  di kalangan rakyat. Kesan yang paling ditakutkan ialah hilangnya integriti dan jati diri, kerana semua perlakuan dan perkataan tidak mahu dipertanggungjawabkan oleh si pembuat, kerana itu adalah identiti yang direka!

Petang ini ana ingin sekali lagi mendengar radio IKIM, masih adakah lagi pendengar yang masih malu menyebut nama penuhnya?


Labels: ,

 3 Comments:

At April 20, 2010 at 12:11 PM, Blogger aya hidayah said...

"Nor Hidayah jadi ida@aya boleh x? +_+"

 
At April 20, 2010 at 11:57 PM, Blogger A.Alizul said...

"isk2...mcm memperkucingkan pendapat ss hakim jer nih"

 
At April 22, 2010 at 9:40 AM, Blogger Hakim Mohd Nor said...

"to aya hidayah

selagi nama pendek tu mempunyai maksud yang baik... siiru ala barakatillah

to a.alizul

uiks.. istilah baru ni.. memperkucingkan? apa maknanya tu.... comel aje bunyinya.... :)"

 

Post a Comment

Terima kasih atas komentarnya ^_^

<< Home