Monday, November 9, 2009

Rakan Motivasi, terus laju bergerak!

Alhamdulillah, berkat keizinan Allah S.W.T,  sudah hampir 3 bulan Rakan Motivasi Management, Training and Consultancy atau singkatannya Rakan Motivasi ditubuhkan. Objektif penubuhan Rakan Motivasi yang bermatlamatkan untuk memberikan khidmat nasihat dan kepakaran terutamanya dalam bidang motivasi telah berjaya menghimpunkan bekas ahli Rakan Masjid ataupun boleh dikenali sebagai  Alumni Rakan Masjid. Semenjak tertubuhnya Rakan Motivasi ini, telah banyak aktiviti berbentuk motivasi dijalankan kepada para pelajar UTP, selain menjadi 'payung' utama kepada Rakan Masjid sendiri.

 

Rakan Motivasi secara rasminya telah ditubuhkan pada 19 Ogos 2009 oleh beberapa pelajar UTP yang mengambil bidang Ijazah Sarjana ataupun Master Degree. Idea penubuhan sudah pun wujud sejak zaman kepimpinan Rakan Masjid di bawah saudara Amir Fadhli bin Razali iaitu pada sesi 2007/2008 dan diteruskan bahkan diperkuatkan idea tersebut ketika zaman kepimpinan Rakan Masjid di bawah saudara Mohd Hakim Mohd Noor pada sesi 2008/2009. Maka akhirnya tertubuhlah Rakan Motivasi ini, sebagai medan 'check and balance' kepada Rakan Masjid itu sendiri.

 

Alhamdulillah, sejak tarikh penubuhannya hingga ke saat ini, telah banyak undangan dan jemputan program dipenuhi. Permulaannya adalah apabila Rakan Motivasi diberikan penghormatan untuk mengendalikan sesi bersama dengan AJK Rakan Masjid sesi 2009/2010 di dalam program Kem Pengurusan AJK anjuran Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan Rakan Masjid pada 21 Ogos 2009.
 
 

Rakan Motivasi terus mengorak langkah dengan lebih laju apabila terus memberikan khidmat nasihat dan pandangan kepada pelajar-pelajar UTP walaupun mereka bukannya datang dari organisasi Rakan Masjid. Ini terbukti apabila Rakan Motivasi telah menghantar beberapa wakil untuk memenuhi jemputan memberi pengisian ketika forum-forum yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan di UTP. 

Sebagai contoh, forum 'Diary of a President' yang telah dianjurkan oleh Unit Kaunseling UTP dengan kerjasama MPPUTP pada 20 Oktober 2009 yang lepas. Rakan Motivasi telah diwakili oleh Presidennya yang pertama, iaitu saudara  Mohd Hakim Mohd Nor, telah diundang untuk memberikan pengisian dan berkongsi serba sedikit mengenai kehidupan sebagai seorang presiden.
 Penglibatan dalam program seperti ini amatlah penting untuk menunjukkan imej Rakan Motivasi yang bukan hanya bersifat eksklusif, bahkan inklusif.

 

Selain itu, forum Pecutan Terakhir  yang diadakan pada 1 November 2009 baru-baru ini anjuran Lajnah Akademik Rakan Masjid dengan kerjasama Unit Kaunseling UTP turut dihadiri oleh saudara Mohd Hakim Mohd Nor sebagai panelis dan ditemani oleh Pensyarah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, En Mohd Fakhizan bin Romlie yang juga merupakan ahli kepada Rakan Motivasi.

 

Rakan Motivasi sentiasa menyokong dan akan terus menerus memberikan komitmen samada dalam bentuk tenaga mahupun kewangan kepada Rakan Masjid yang banyak berbakti mencorak biah solehah di muka bumi UTP. Buktinya, pada 4 November 2009, pihak kepimpinan Rakan Motivasi telah berbesar hati untuk menaja pihak komiti Khemah Ibadah sebuah khemah bernilai RM300 sebagai kemudahan untuk digunakan sewaktu Khemah Ibadah yang akan dijalankan pada awal bulan depan. 


Selain daripada itu, segala khidmat nasihat dan pertolongan yang dihulurkan diberikan secara percuma. Berbekalkan kepada semangat "fastabiqul khairat", Rakan Motivasi terus menerus memberikan khidmat motivasi tanpa berbayar pada Khemah Ibadah Musim Cuti Sekolah Kali ke 2 yang bakal diadakan selama 6 hari, bermula dari 8 Disember sehingga 13 Disember . Walaupun harga bayaran untuk mendapatkan pakar motivasi untuk mengendalikan slot motivasi bagi sesuatu program "summer camp" seperti ini mencecah hampir RM 2000.00, Rakan Motivasi tidak mengambil kira faktor tersebut dan walaupun tanpa mengambil sebarang bayaran, kualiti perkhidmatan yang diberikan insya Allah dalam keadaan yang terbaik.  

 

Kesimpulannya, Rakan Motivasi akan sentiasa untuk berbakti dan membantu pelajar UTP secara amnya dan Rakan Masjid secara khususnya dalam bidang motivasi walaupun baru berusia setahun jagung. Segala pengalaman yang didapati semasa menganggotai Rakan Masjid dahulu akan dicurahkan sepenuhnya kedalam Rakan Motivasi ini sebagai satu kesinambungan perjuangan yang panjang.


Rakan Motivasi sentiasa mengalu-alukan semua bekas ahli Rakan Masjid atau Alumni untuk memberikan pandangan, bantuan tenaga mahupun kewangan serta sokongan atas usaha yang dilakukan pada waktu ini dan masa akan datang. Kita mengharapkan agar usaha membina biah solehah yang menjadi visi Rakan Masjid tidak berakhir sekadar di kampus sahaja, sebaliknya segala usaha tersebut dapat diteruskan lagi walaupun tidak lagi bergelar sebagai mahasiswa.

 0 Comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komentarnya ^_^

<< Home