Wednesday, November 11, 2009

Ayah yang Tercinta




"Haih, kerasnya tanah ni." rungut ana seorang diri. Cangkul semakin perlahan hayunannya. Peluh jantan laju turun mencurah-curah. Terasa kejap tangan.

Ayah hanya tersenyum melihat gelagat anak terunanya. Tanpa berbicara, tangan ayah terus laju dan tangkas menghayun cangkul. Projek ini mesti disiapkan hari ini juga.

Dalam diam, ana kagum pada ayah. Kagum pada kegagahan ayah melebihi tenaga anak muda. Tahun depan ayah akan berumur 60 tahun. Tapi lagak dan gaya ayah memang mengalahkan ana yang baru 22 tahun.

Ana berhenti seketika di tepi rumah. Mengambil nafas. Semput. Matahari semakin tinggi membakar kulit.



Pagi tadi, ana mengikuti ayah ke rumah sewa untuk menambah simen di halaman rumah. Rumah  sewa ayah ini memang digemari ramai. Mungkin kerana lokasinya di permatang pasir, permatang pauh yang aman di samping berhampiran dengan sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan menyebabkan ramai yang berlumba-lumba untuk menyewanya. Tak kurang juga ada yang menawarkan ayah sejumlah duit untuk membelinya, tapi selalu pulang hampa kerana ayah hanya bercadang untuk menyewa sahaja dan bukan menjualnya.

Bukan sebarang orang yang ayah berkenan untuk sewakan rumah ini. Ayah selalu periksa latar belakang orang yang ingin menyewa rumah. Mungkin kerana pengalaman rumah di Syah Alam yang disewa oleh penghisap ganja menyebabkan ayah serik menyewakan rumah kepada sebarangan orang.

Alhamdulillah, penyewa kali ini orangnya boleh tahan. Orang pulau pinang mungkin mengenalinya. Ustaz Yusni Mat Piah.... Erm, Tinggalkan dahulu cerita mengenai penyewa rumah ayah ini... Insya Allah lain kali boleh kita sambung bercerita lagi mengenai Ustaz Yusni.




Berbalik kepada cerita awal ana, pengalaman membuang seciput rumput dan tumbuhan liar di halaman rumah sewa sudah cukup untuk membuktikan terlalu banyak lagi yang perlu dipelajari. Terasa terlalu kurang pengalaman dan ilmu pengetahuan. Dalam hal ini, ana respect sangat pada ayah ana.

Walaupun ayah merupakan bekas pensyarah elektrik, boleh dikatakan banyak ilmu selain bidang elektrik yang dikuasainya. Ayah mahir dalam membaiki kenderaan, mahir membina rumah, mahir berniaga malah pernah memiliki syarikat sendiri (sekarang sudah tiada kerana memberikan fokus kepada keluarga yang agak besar- 9 orang anak), mahir memasak, mahir berkebun dan mahir serba serbi.


Segan ana bila berbual dengan ayah. Ana rasa , kemahiran ana mencari maklumat di internet melalui blog mahupun web2 berita sudah cukup hebat, namun bila berbicara dengan ayah, ternyata ayah lebih mendahului dalam berfakta.

Lama ana mencari rahsia ayah... terutamanya berkaitan ilmunya yang agak meluas... Dan akhirnya, ana rasa ana berjumpa dengan rahsianya....

MENCINTAI ILMU


Benar, ayah amat mencintai ilmu.

Setiap pagi, selepas solat subuh, ayah akan mengajak emak untuk pergi menuntut ilmu di pondok Ustaz Bakar di Kubang Semang. Pada waktu siang, ayah akan membaca surat khabar dan juga majalah-majalah seperti times, solusi, dan dua tiga lagi bacaan bahasa inggeris. Pada waktu maghrib ayah akan menghilang dari rumah kerana menghadiri kuliah maghrib yang banyak di sekitar masjid-masjid sekitar rumah. Dan yang paling menarik, ayah sudah mulakan semua tabiat ini bermula zaman remaja sebelum berkahwin lagi!

Tidak hairanlah banyak sangat ilmunya. Ilmu kesihatan pun banyak yang dikongsi bersama. Walaupun umurnya hampir mencecah 60 tahun, wajah ayah masih kelihatan seperti awal 40 tahun. Tenaga ayah pun mengalahkan anak-anak muda, terutamanya bila dalam membuat kerja-kerja rumah seperti memasang siling, membuat pagar, menggali telaga dan sebagainya.

Ana amat berbangga memiliki ayah yang hebat sepertinya. Hebatnya ayah ana ini kerana ana yang menilainya hebat. Jika kita menganggapnya tidak hebat, maka dia akan menjadi seperti yang kita anggapkan. Pokok pangkalnya terletak pada diri kita sendiri yang menilai. Sedih ana melihat ramai sangat anak-anak muda pada zaman ini yang semakin biadap dan tidak menghormati ibu dan ayah mereka. Lihat sini dan sini.

Cuma,  tinggal lagi pada kita. Adakah kita akan terus menerus mengatakan, ayah aku hebat, sedangkan diri kita tidak mahu sehebat itu, ataupun lebih hebat dari itu? Benarlah kata-kata pepatah arab,

"BUKANLAH SEORANG PEMUDA YANG MENGATAKAN INI AYAH SAYA,
TETAPI SEORANG PEMUDA ADALAH YANG MENGATAKAN INILAH SAYA! "

Dan kisah diceritakan ini adalah kerana untuk menzahirkan kerinduan ana pada ayah yang tercinta...

Labels:

 0 Comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komentarnya ^_^

<< Home