Setiap kali 16 Mei menjelma, seluruh Malaysia akan bergema dengan ucapan Selamat Hari Guru. Kebetulan tahun ini, 16 Mei jatuh pada hari jumaat. Maka mimbar jumaat di sesetengah masjid mengambil kesempatan untuk mengajak umat islam menghayati dan menghargai peranan dan sumbangan insan mulia yang bergelar guru.
Namun, tahun ini ada sedikit bezanya. Kelainannya dapat dirasai semasa mendengar khutbah jumaat dari masjid rusila , marang yang disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Seri Hj Hadi Awang. Khutbah yang disampaikan begitu bersemangat (seperti kebiasaan tuan guru) menyentuh isu nakbah.
Ya, nakbah bererti malapetaka, musibah. 60 tahun rakyat palestin dalam malapetaka dan musibah. Tarikh 15 mei 1948 merupakan detik derita mereka. Tanah air dirampas dan ribuan rakyat dibunuh. Ditengah-tengah umat yahudi dan sekutu-kutunya bergembira menyambut 60 tahun penubuhan negara haram Israel, kita seharusnya mengambil pendirian mengutuk dan membenci sambutan itu.
Selepas sahaja mendengar khutbah dari tuan guru, di tengah hari yang panas itu ana keseorangan memandu kereta ke rumah sahabat di kuala terengganu dengan membawa niat yang satu : mencandat sotong. Hilang terus kesedaran untuk berfirkir dan bertindak untuk menyelesaikan masalah umat islam di palestin sana. Ada satu bisikan dalam hati " Ala tak per ar. Sekejap aje gi candat nie. Nanti ar fikir balik macamana nak bantu palestin n umat islam. Banyak lagi masa". Akhirnya kereta iswara ini sampai juga di rumah sahabat jam 3 petang. Ana berkira-kira, ada 2 jam lagi untuk berehat. Bot berlepas pukul 5 petang nanti.
Squid Jiggling atau mencandat sotong memang aktiviti yang jarang-jarang dapat dilakukan. Hanya pada bulan tertentu sahaja aktiviti ini berlangsung. Kebetulan, hujung minggu ini tiada program besar dan peluang ini sudah tentu tidak disia-siakan.
Menaiki bot di jeti losong bersama dengan 9 orang yang lain dengan satu hasrat yang sama : menaikkan sotong sebanyak mungkin! Bot sederhana besar yang disewa dengan kadar RM 500 satu perjalanan membelah laut terengganu menuju ke lubuk sotong.
Untuk mengelakkan mabuk laut, ana sempat menelan sebiji ubat penahan mabuk. Alhamdulillah dalam perjalanan pergi selama sejam setengah, tiada sebarang masalah yang berlaku.
Sampai sahaja di lubuk sotong, candat segera dilabuhkan. Tak sampai seminit, bunyi riuh rendah menguasai bot. Sotong pertama berjaya dinaikkan. Kawan ana yang baru pertama kali mencandat mencipta rekod orang pertama menaikkan sotong. Kemudian, seorang demi seorang menaikkan sotong. Ana tumpang gembira.
Namun, kegembiraan untuk menaikkan sotong sendiri tidak jua kunjung tiba. Rasa bosan mula menjelma. Di tengah-tengah kebosanan itu, mata kail ana terasa berat.. "Alhamdulillah, dah kena kot" bisik ana dalam hati.
Dengan penuh bersemangat, candat di naikkan. Dalam fikiran, sudah tentu sotong besar kerana beratnya yang lain macam. Rupa-rupanya, mata kail candat ana tersangkut dengan kawan satu bot yang lain. Hampa dan kecewa mengusai diri.
Akibat terlalu fokus untuk menguraikan tali yang bersangkut antara mata kail, ana jadi pening. Kawan-kawan satu bot kata ana kena mabuk laut. Masya allah. Pening sangat rasa macam nak termuntah. Selepas menunaikan solat maghrib dan isya secara jama; dalam keadaan yang sangat pening, akhirnya ana tertidur.
Bangun sahaja dari tidur, jam sudah pukul 3 pagi. Masya Allah. Lamanya ana tidur. Seekor sotong pun tak dapat lagi. Ana bergegas ke bahagian luar bot dan segera mencandat. Namun, tak sampai berapa minit, tekong bot sudah mula mengangkat sauh untuk kembali ke darat. Pendek kata, masa untuk mencandat sudah tamat! Namun kata putus telah dibuat, bos dah ambil keputusan, ana terpaksa ikut sahaja walau hasrat masih tidak tertunai.
Akhirnya, kami selamat sampai di darat jam 5 pagi. Selain ana dan seorang lagi sahabat yang juga mabuk laut, semua orang berjaya mencandat sekurang-kurangnya 20 ekor sotong. Nampak wajah mereka keletihan namun penuh kepuasan. Ana? Alhamdulillah. Walaupun tidak berjaya mencandat walau seekor sotong, namun pengalaman ini tetap merupakan satu anugerah yang tidak terhingga.
Sekadar bermuhasabah diri, mungkin disebabkan ana terasa nasib umat palestin itu tidak penting dan banyak lagi masa lain untuk fikirkan masalah itu, Allah memberikan pengajaran ini kepada ana. 12 jam ana dilaut berlalu begitu sahaja! Ana insaf. Tidak wajar ana berfikir begitu sebelum ini. Baru ana terasa betapa susahnya 12 jam mabuk atas laut, sedangkan mereka di palestin hari-hari mabuk dengan bunyi tembakan dan semburan darah sanak saudara sendiri! Asif ya Allah.
Sesungguhnya hari jumaat kali ini banyak membuka ruang keinsafan pada diri ana.
Recent Posts
Ziarah BloggerDiskusi IlmiahRakan Masjid UTP |
Saturday, May 17, 2008Catatan Hari jumaat |
:: .:: Just a thought ::.: Catatan Hari jumaat - Designed by Bunga Ayesha :: |
0 Comments:
Post a Comment
Terima kasih atas komentarnya ^_^
<< Home