Tuesday, August 21, 2007

USUL HIBURAN [MPPUTP]

Hiburan, Islam dan UTP

Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) merupakan sebuah institut pengajian tinggi yang bervisikan untuk melahirkan pelajar yang serba boleh dan menjadi pemimpin industri dan nasional pada masa hadapan. Sebagai orang yang akan menerima tanggungjawab pada masa hadapan, para pelajar UTP sekarang patut belajar untuk menjadi lebih matang dalam membuat keputusan dalam perlabagai perkara. Keputusan tersebut juga mestilah didasari kepada undang-undang agama, nega dan tatasusila masyarakat malaysia.

Melihat kepada matlamat tersebut, MPPUTP sebagai sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan para pelajar ingin berkongsi sedikit pendapat mengenai "Hiburan, persembahan dan nyanyian" yang menjadi kelaziman di universiti ini. Moga-moga dengan sedikit pendedahan ini kita semua dapat mengambilnya sebagai panduan dalam setiap penganjuran aktiviti "hiburan, persembahan dan nyanyian" di UTP.

Muzik ditakrifkan sebagai gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan (Kamus Dewan Edisi Ketiga). Pada zaman dahulu, semua orang memuja tuhan mereka dengan membaca mantera dan kandungan mantera itu mempunyai pujian dalam kata-katanya indah dan dibaca dengan suara yang merdu dan mendayu-dayu.

"Dari Aisyah r.a, bahawa ketika dia menghantar pengnatin perempuan ke tempat laki-laki Ansar, maka Nabi bertanya: Hai Aisah! Apakah mereka itu disertai dengan hiburan? Sebab orang-orang Ansar gemar sekali terhadap hiburan." (Riwayat Bukhari)

Hiburan seperti nyanyian/persembahan dibolehkan dalam Islam selagi tidak bercampur kata-kata kotor, cabul yang dikhuatiri dapat mengarahkan kepada perbuatan dosa. tidak juga bersalahan kalau hanya disertai dengan muzik yang membangkitkan hawa nafsu. Bahkan muzik disunatkan dalam melahirkan suasana gembira, supaya boleh melahirkan perasaan riang dan menghiburkan hati seperti hari raya, perkahwinan, kedatangan orang baru atau yang sudah lama tidak datang, saat walimah, aqiqah dan sambutan-sambutan lain.

Tetapi pada hari ini, kebanyakan nyanyian disertai oleh perbuatan berlebih-lebihan seperti minum arak, percampuran lelaki perempuan yang tidak terkawal, tarian-tarian yang tidak menutup aurat, pengabaiyan solat, pemujaan jin dan syaitan, pembaziran masa dan sebagainya. Seperti mana yang telah difirmankan Allah:

"Dan di antara manuasia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang melalaikan untuk menyesatkan (orang) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan Allah itu olok-olokan. mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan" (Luqman: 6)

“Pujuklah (wahai Iblis) siapa yang engkau mampu di antara mereka dengan menggunakan ajakanmu (ulama mentafsirkan ajakan sebagai nyanyian)” (Al-Isra': 64)

Dengan itulah kemudiannya ulama-ulama menganggapnya sebagai makruh. Perlu diketahui di sini bahawa, pada asalnya setiap perkara itu halal sehinggalah ada nas atau hukum yang dikeluarkan sama ada oleh Al-Quran, Hadis, Qias atau ijmak ulama /ijtihad (berdasarkan kepada kaedah hukum fiqh: setiap sesuatu yang tidak disebutkan oleh nas tentang haramnya adalah dianggap harus) . Contohnya perbuatan minum arak yang pada asalnya dibenarkan sehinggalah datangnya ayat yang menghukum arak itu tidak baik, seterusnya arak tidak dibenarkan dibawa dalam solat dan akhirnya diharamkan terus oleh Allah S.W.T. Demikian jugalah halnya berkaitan dengan hiburan dan muzik ini.

"Sesungguhnya semua perbuatan itu harus disertai dengan niat dan tiap-tiap orang akan dinilai menurut niatnya" (Riwayat Bukhari & Muslim)

Jadi barangsiapa mendengar nyanyian dengan niat untuk membantu bermaksiat kepada Allah, maka jelaslah dia adalah fasik termasuklah dalam hal nyanyian ini. Dan barangsiapa berniat untuk menghiburkan hati supaya dengan demikian dia mampu menghindarkan maksiat dan mendekatkan dirinya kepada Allah dan tangkas dalam berbuat kebajikan, maka dia adalah orang yang taat dan berbuat kebaikan dan perbuatannya pun termasuk perbuatan yang benar.

Sebagai contohnya, nyanyian seperti lagu NEGARAKU, lagu PETRONAS MAJU JAYA, lagu UTP dan persembahan Malam Seri Kenangan (MSK) pada setiap Minggu Suai Kenal (MSK) sudah tentu dikira sebagai lagu yang menjurus kepada kebaikan kerana ia digunakan untuk menaikan semangat para pelajar kita dan ianya tidak pernah ditentang oleh mana-mana pihak termasuk ulama.

Dengan itu MPPUTP sebagai sebuah organisasi yang menjaga kebajikan pelajar-pelajar UTP yang majoritinya Islam ingin mencadangkan beberapa perkara berkaitan dengan hiburan. Kami mengakui bahawa UTP adalah sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama di mana Islam bukanlah agama tunggal di sini. Tetapi perlu diingat sebagai orang Islam kita perlu sentiasa berdakwah dalam keadaan apa jua sekali pun tidak kira. Sepatutnya dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama inilah, perlu ditonjolkan apa itu Islam kerana Islam adalah cara hidup (ways of Life) yang indah kerana ia sesuai untuk setiap manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Memang Islam menekankan konsep bertoleransi dengan umat manusia lain seperti yang ditegaskan dalam firman:

"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesugguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesugguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu orang lain mengusirmu. Dan barang siapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka meeka itulah orang-orang yang zalim" (Al-Mumtahanah: 8-9)

"Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa" (Al-Maidah: 8)

Hadis Rasulullah:

"Sesiapa yang menyakiti Dhimmi, maka dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yang menyakiti aku, dia telah menyakiti Allah"(Al-Tabrani)

Tetapi perlu diingat, toleransi tidak bermakna kita dibenarkan meninggalkan apa yang telah digariskan oleh Islam termasuklah dalam soal hiburan ini semata-mata untuk menjaga hati orang bukan Islam dan mereka yang mahukan hiburan berdasarkan kemahuan hati mereke tanpa mengira apa yang telah digariskan oleh Islam.

"Dan bertolong-tolonglah kamu dalam perkara kebaikan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara keji dan mungkar" (Al-Maidah:2)

Sepatutnya, melalui hiburan inilah dakwah kita kepada orang-orang bukan Islam dapat dijalankan iaitu dengan menerangkan kenapa Islam meletakkan syarat-syarat sebegini. Inilah bukti bahawa Islam itu mencakupi semua perkara sebagai "Ways of Life." Sepatutnya sebagai sebuah negara Islam perlulah kita memperkenalkan Islam sebagai cara hidup kepada mereka yang bukan Islam. MPPUTP merasai inilah perkara kecil yang dapat dijalankan apabila mempunyai peluang untuk menerangkan Islam kepada orang lain.

Kami ingin mengambil contoh bagaimana filem-filem dari negara Iran yang dapat menonjolkan pelakon-pelakon wanita yang menutup aurat dan dapat memelihara akhlak Islam dengan baik sekali tetapi masih mampu menghasilkan mutu lakonan yang cukup baik sehingga mampu memenangi anugerah di kebanyakan festival filem antarabangsa seperti filem "Children of The Heaven" di Festival Filem Cannes, "Leila" Second Best Film of the Year in the Seattle Times dan "Great Movie Moments of 1999 LA Weekly", "Under The Moonlight" di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur pada 16-18 Februari 2003 yang lalu dan banyak lagi. Dengan ini jelas bahawa Islam tidak pernah menyekat umatnya menghayati seni dan hiburan dan telah terbukti melaui kemenangan filem-filem Iran di festival-festival filem antarabangsa tadi.

Selain itu pendapat yang mengatakan bahawa jika hiburan berbentuk Islam juga dibenarkan seperti pertandingan nasyid dan tilawah Al-Quran, maka persembahan hiburan yang sebaliknya perlulah juga diterima untuk mereka yang mahukan hiburan alternatif adalah sesuatu yang tidak sepatutnya timbul. Ini kerana Islam tidak pernah membenarkan perkara yang halal dan haram dicampur aduk seperti dalam hadis sahih di bawah

"Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormtannya. Dan barangsiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haramseperti seorang pengemala yang mengembala disekelilingnya kawasan larangan, hampir sangat (ternakkannya) maka didalamnya" (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dengan ini, kami mencadang beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam setiap aktiviti hiburan di UTP, seperti berikut:-

  • Kandungan nyanyian/lakonan/ persembahan itu hendaklah selari dengan akhlak yang ditunjukan oleh ajaran Islam. Senikata/ lakonan tidak menyalahi ajaran Islam seperti menggalakkan lelaki dan perempuan melakukan maksiat.

  • Cara penyampaian juga perlu diberi perhatian. Ini kerana ada ketikanya kandungan atau isi sebuah lagu tidak terdapat langsung unsur-unsur keji dan salah tetapi cara penyanyi/ pelakon menyampaikan nyanyian/lakonan/ persembahan itu adalah salah. Untuk memastikan aspek ini dipatuhi, maka pemantauan oleh pihak berwajib UTP perlu dilakukan semasa latihan persembahan.

Sebagai contoh perempuan tidaklah dibenarkan menyanyi seperti yang ditegaskan oleh firman dibawah:

"Maka janganlah kamu melembutkan (memerdukan) perkataan, maka nanti menarik orang yang dalam hatinya ada penyakit" (Al-Ahzab: 32)

Suara wanita menurut Islam juga termasuk dalam kategori yang mesti disembunyaikan (aurat). Allah SWT Pencipta Maha mengetahui apa yang menjadi daya tarikan kepada lelaki yang terdapat dalam diri wanita, kerana itu wanita Islam tidak dibenarkan meninggikan suara mereka apabila bercakap, tidak sibenarkan membaca Al-Quran dengan nyaring jika ada lelaki berhampiran. Apabila mereka perlu bercakap dengan lelaki suara mereka tidak dibenarkan bersifat lembut dan menarik perhatian. Walaupun ada yang mengatakan bahawa bukan semua yang akan jatuh hati kepada suara merdu wanita tetapi inilah apa yang Islam letakkan sebagai usaha mencegah. "Mencegah itu lebih baik daripada mengubati."

Mungkin ada juga yang akan mengatakan bahawa di luar kampus, terdapat ramai artis wanita yang mendapat sambutan ramai yang mana ini menunjukkan ia adalah sesuatu yang diterima oleh masyarakat umum. Sebenarnya dalam hal ini, kita perlu sedar bahawa sesuatu yang lazim itu tidak semestinya baik contoh seperti yang diterangkan dalam masalah arak pada zaman Rasulullah. Sesuatu hukum itu tidak boleh diambil berdasarkan pada pendapat umum semata-mata tanpa melihat sumber perundangan Islam terlebih dahulu.

"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka" (Al-Maidah: 49)

Sebenarnya menjadi tanggungjawab kitalah para pelajar yang diberi peluang oleh Allah untuk menimba ilmu di pusat pengajian tinggi untuk mengubah kelaziman yang tidak selari dengan agama, undang-undang di dalam masyarakat. Jika para pelajar juga mempunyai mentaliti yang sama dengan masyarakat di luar maka tidak ada gunalah para pelajar diberi peluang untuk menimba ilmu di sini. Mungkin juga ada yang akan mengatakan bahawa, sebagai pelajar di bidang kejuteraan dan teknologi, ini bukanlah tugas kita. Kita perlu ingat kepada hadis Rasullallah

'Barangsiapa yang mengucap dua kalimah syahadah, maka dia adalah pendakwah"

Maka persoalan bahawa para pelajar UTP tidak perlu untuk memikirkan perkara seumpama ini tidak patut ditimbulkan lagi.

  • Hendaklah dipastikan nyanyian/lakonan/ persembahan itu tidak disertai dengan perkara haram seperti berhias secara melampu, tidak menutup aurat, percampuran lelaki perempuan tanpa sebarang batasan.

  • Hendaklah tidak keterlaluan dalam berhibur seperti mempamerkan aksi-aksi yang keterlaluan dan mengabaikan waktu solat.

  • Jika persembahan itu hanya khusus untuk orang bukan Islam, maka mestilah dilakukan secara tertutup tanpa melibatkan mana-mana orang Islam. Pihak berkuasa UTP mestilah mencegah mana mana pelajar Islam yang ingin menyertai persembahan tersebut sebagai mana denda dikenakan kepada kesalahan-kesalahan lain seperti menyimpan rambut panjang, salah meletak kenderaan dan sebagainya.

Kami di sini bukanlah ingin mencari salah sesiapa atau menunjukan kami lebih Islam daripada sesiapa, tetapi kami hanya menjalankan apa yang telah kami pelajari tentang Islam melalui Al-Quran dan hadis. Sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas masyarakat pelajar UTP inilah kami merasakan perlu untuk dinyatakan semua perkara yang telah dibincangkan di atas. Jika UTP berkuasa untuk membuat pelbagai peraturan yang ketat kepada pelajar untuk kebaikan mereka semasa belajar di univesiti agar menjadi insan yang serba boleh seperti menetapkan perlunya berpakaian kemas, meletak kenderaan di tempat yang betul, tidak menyimpan rambut panjang, ponteng kuliah dan sebagainya kenapa kita tidak boleh mengadakan peraturan dalam aktiviti-aktiviti hiburan kerana peraturan-peraturan ini telah pun ditentukan secara jelas oleh Islam. Ini juga adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan para pelajar bukan sahaja di dunia malah di akhirat! Sebagai orang yang diberi kuasa maka perlulah kita melaksakan peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa sebelum merancang peraturan-peraturan tambahan untuk kebaikan orang-orang yang telah diamanahkan kepada kita.

Ingatlah firman Allah:

"Barang siapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, mereka itu adalah orang-orang yang kafir" (Al-Maidah: 44)

"Barang siapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, mereka itu adalah orang-orang yang zalim" (Al-Maidah: 45)

"Barang siapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, mereka itu adalah orang-orang yang fasik" (Al-Maidah: 47)

"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka" (Al-Maidah: 49)

 0 Comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komentarnya ^_^

<< Home