Friday, August 24, 2007

Aku menulis bukan kerna nama

Aku menulis bukan kerna nama.

Kerna sifat kasih,pada sesama insan

dan menyatakan, kasih sayangmu.

Alunan lembut muzik yang keluar dari corong speaker roomate ini membuatkan ana terfikir. Setiap bait-bait lirik yang keluar diamati. Indahnya susunan bahasa. Alangkah bagusnya mesej yang cuba disampaikan. Subhanallah.

Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi lagu “Bukan kerna nama” yang terkenal itu, Ramli Sarip. Mendapat gelaran papa rock kerana keunikan suarannnya bukanlah menjadi penghalang baginya untuk menyampaikan lagu-lagu berunsur nasihat. Bahkan, beliau masih bersemangat “berjuang” menyampaikan lagu di pentas walaupun umurnya lebih matang dari umur Malaysia (lahir tahun 1953).

Tahniah kepada komiti Convofair 2007 kerana telah berjaya membawa penyanyi lagenda ini semasa konsert Pesta Convofair sebagai hiburan alternative kepada hadirin pada malam itu. Bahkan, ana di fahamkan pada malam itu akan dibawakan lagu-lagu yang menjadi hits dan kegemaran ramai. (maaf tak dapat reveal tajuk lagu di sini, nanti komiti tak suka ~ hilang elemen surprise katanya :P ).

Tidak salah untuk berhibur. Tidak salah juga untuk mendengar lagu-lagu selain nasyid. Tidak salah juga untuk berkonsert. Cumanya, yang paling penting ialah memilih jenis hiburan, lagu dan konsert yang kita hendak pergi.

Ana tidak nafikan ramai peminat Ramli Sarip di luar sana (termasuklah roommate ana sendiri : (^^)/ ) yang ternanti-nantikan kehadiran Ramli Sarip ke UTP. Bahkan, ada yang sanggup membatalkan niat untuk pulang ke kampung kerana menunggu konsert yang dijadualkan berlangsung pada malam kedua Convofair ini. (Sabtu malam Ahad). Tidak kurang juga yang telah membatalkan meeting-meeting pada malam itu semata-mata tidak mahu terlepas persembahan lagenda rock terkenal itu.

Persoalannya, salahkah mendengar konsert Ramli Sarip itu? Sebelum menjawab persoalan itu, lebih baik kita meneliti corak pola fikrah masyarakat sekeliling. Seolah olah telah menjadi satu doktrin atau pemikiran di kalangan kita mengatakan bahawa hiburan selain nasyid itu lagho dan tidak bermanfaat. Mungkin benar dan mungkin juga tidak.

Nasyid merupakan hiburan kegemaran ana. Tapi, ana juga sebenarnya memilih lagu dalam nasyid kerana tidak semua nasyid itu mendekatkan diri kepada Allah. Bahkan, ana cukup hairan dengan kemunculan nasyid-nasyid mutakhir ini yang mengajak kepada bercinta sebelum kahwin? Ada juga yang melarang/mengharamkan bercinta @ couple di alam sekolah dan menjadi halal/dibolehkan apabila sudah berada di IPT ? Semua ini tidak lain tidak bukan kerana kekeliruan masyarakat termasuklah kita selaku mahasiswa dalam menilai baik dan buruk sesuatu perkara .

Justeru, kalau nasyid sendiri tidak dapat mendekatkan diri kepada Allah, tidak salah kita beralih kepada hiburan alternative yang lain. Harus diingatkan disini, berhibur itu boleh tetapi hendaklah berpada. Kita tidak mahu budaya suka berhibur @ hedonisme wujud segar dalam diri. Cukuplah mengambilnya sekadar untuk merehatkan fikiran selepas penat belajar

"Dari Aisyah r.a, bahawa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat laki-laki Ansar, maka Nabi bertanya: Hai Aisah! Apakah mereka itu disertai dengan hiburan? Sebab orang-orang Ansar gemar sekali terhadap hiburan." (Riwayat Bukhari)

Fahamlah kita disini, tidaklah menjadi kesalahan untuk memilih hiburan selain nasyid termasuklah menghadiri konsert Ramli Sarip. Ini kerana kita sedar dan faham bahawa lagu-lagu yang disampaikan oleh Ramli Sarip banyak berunsur nasihat dan adakalanya menyedarkan kita tentang Ilahi seperti lagu Ramadhan. Namun, janganlah terlalu bebas. Bergembira untuk berkonsert sehingga lupa diri. Kita hidup ini sentiasa penuh dengan peraturan. Sudah terbentang di hadapan kita ada perkara yang boleh dan ada yang tidak boleh. Kenapa ? Kerana selayaknya seorang hamba itu patuh kepada kehendak tuannya. Dalam kes kita, kita sedar bahawa kita ini hamba Allah.

Firman Allah dalam Surah Adz-Zariyat : 56


56. Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Allah ada meletakkan lima peraturan mudah untuk kita fahami dalam hidup ini. Wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Lima perkara ini tidak dapat kita lari kerana kelak kita akan dibangkitkan dan disoal akan perbuatan kita di muka bumi ini. Ketika itu tiada lagi jawapan dari lidah yang fasih. Bahkan, akan adanya golongon yang merayu pada Allah untuk kembali ke bumi untuk beramal soleh.

Firman Allah dalam Surah Sajadah : 12

12. Dan (sungguh ngeri) sekiranya Engkau melihat ketika orang-orang Yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar Dengan sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah Kami ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal Yang baik; Sesungguhnya Kami sekarang telah yakin".

Oleh itu, sekiranya anda hendak pergi ke konsert Ramli Sarip. Pergilah. Namun, harus diingat. Jaga batas-batas agama. Kelonggaran yang ada jangan disalahguna. Ada perkara yang tidak boleh dibuat yang hendaklah kita jauhi. Disini suka untuk ana menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

  1. Pakaian anda dan juga artis semasa hadir ke konsert.
  2. Kedudukan anda semasa mendengar konsert.
  3. Masa anda pergi ke konsert.
  4. Lirik lagu yang didengar semasa konsert.
  5. Artis lelaki atau perempuan.

Marilah kita bersama-sama berfikir dan menilai kembali elemen-elemen tadi dari kaca mata Islam. Beza post kali ini dengan yang sebelum ini ialah yang sebelum ini pandangan yang lebih berhati-hati. Lebih mengajak pembaca bersifat wara’ (menjauhi perkara-perkara syubhah ). Namun,ana tidak mahu masyarakat kampus merasa Islam itu jumud. Semua tidak boleh. Hakikatnya, Islam itu agama yang mudah. Cuma , kena faham kaedah.


1. Pakaian anda dan juga artis semasa hadir ke konsert.

Allah secara jelas telah meletakkan garis panduan untuk berpakaian dalam Islam. Suka atau tidak, kita kena patuh. Akur pada kehendak Allah. Kepada muslimat, Allah wajibkan bertudung sehingga menutupi dada dan tidak menampakkan bentuk tubuh.

Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah An-Nur [24:31]

31. Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.

Ana sedar dan faham, ada dikalangan muslimat yang masih belum bertudung di luar sana. Ambillah masa. Cubalah untuk berubah kerana Allah. Kita hidup di dunia ini sementara sahaja. Tidak rugi jika bertudung, bahkan mendapat keuntungan pula. Kepada yang memang sudah cukup molek bertudung litup, bimbinglah sahabat kita yang sedang cuba untuk berubah ini. Jangan pandang serong. Ingat, latar belakang setiap orang berbeza. Sikap prejudis dan jengkel harus dihakis. Bersifat kasih dan lemah lembutlah kepada mereka dalam memberikan kefahaman.

Jika tudung yang berperanan menutupi helaian rambut pun sudah diberikan penekanan yang maha dahsyat oleh Allah, apatah lagi anggota zahir badan yang lain? . Ana kesal dengan berita mengatakan ada mahasiswi UTP sanggup membuka tudung semasa konset Hotlink baru-baru ini semata-mata untuk berkonsert? Adakah kita sengaja mencabar Allah? Nauzubillah. Semoga Allah mengampunkan kita semua.

Pakaian artis juga harus diperhatikan. Alhamdulillah, kehadiran artis lelaki kali ini sekurang-kurangnya ”memelihara” konsert menjadi maksiat secara terus. Baru-baru ini di Kuala Lumpur, kehadiran artis Gwen Stefani mendapat tentangan hebat kerana pakaiannya yang begitu mencolok mata dan sama sekali tidak sesuai dengan jiwa Islam kita. Arahan Allah untuk kita memelihara pandangan amatlah jelas.

Firman Allah dalam Surah An-Nur [24:30]

30. Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.

Kesimpulan ringkas, berpakaianlah sebagaimana pakaian seorang muslim. Indahnya islam itu pada ajarannya. Tidak salah untuk berpakaian sopan menutup aurat. Kita tidak mahu melihat generasi akan datang di tanah air kita yang sudah lupa akan tatasusila. Jangan biarkan anak-anak kita nanti hanya Islam pada nama dan kad pengenalan, tapi tidak kepada pengamalan.

  1. Kedudukan anda semasa mendengar konsert.

Mendengar konsert menjadi lebih bermakna bila kita berteman atau berkumpulan. Detik-detik gembira dapat dirakam bersama. Tiada masalah berbuat demikian bahkan digalakkan lagi kerana perlunya kita berukhuwwah. Namun, dengan siapa kita hendak berteman dan berkumpulan itu harus kita perhalusi.

Islam sama sekali bertegas dalam percampuran antara lelaki dan perempuan. Tidak boleh bersama tanpa ikatan yang sah. Lelaki dan perempuan ajnabi tidak boleh bersentuhan sebelum bernikah. Rasulullah sendiri telah menegaskan dalam hadisnya :


Oleh itu, dalam konsert Ramli Sarip kelak, kita begitu mengaharapkan usaha komiti untuk mengasingkan antara lelaki, perempuan dan keluarga mendapat kerjasama semua pihak. Keadaan ini tidak sama seperti di pasar yang kita tidak dapat elakkan percampuran berlaku. Ini dibawah kawalan kita. Harus diingatkan, kita laksanakan semua ini semata-mata takutkan amarah Allah. Allah itu Maha Dahsyat dalam memberi azab. Kalaulah kita suka sangat bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ajnabi di dunia ini, Ingatlah kembali amaran Allah dalam Al-Quran mengenai apa yang akan terjadi pada kulit kita...

Firman Allah dalam Surah An-Nisa [4:56]


56. Sesungguhnya orang-orang Yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, Kami akan membakar mereka Dalam api neraka. tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit Yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. dan (ingatlah) Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Ya Allah, Ampunkanlah dosa kami dan dosa kaum muslimin sekalian. Ya Allah, berikanlah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui.

  1. Masa anda pergi ke konsert.

Harus diperhatikan di sini waktu konsert itu dilakukan. Adakah bertindih dengan waktu solat? Alhamdulillah, kali ini konsert Ramli Sarip ini diadakan selepas waktu Isya’. Sekalung pujian kepada komiti yang sedar akan perkara ini. Harapnya, kesedaran ini turut dikongsi hadirin sekalian. Mafhumnya, eloklah kiranya kita mengerjakan tuntutan solat terlebih dahulu.

Firman Allah dalam Surah Isra [17:78]

Dirikanlah shalat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula shalat) subuh[1]. Sesungguhnya shalat subuh itu disaksikan (oleh malaikat).

[1]. Ayat ini menerangkan waktu-waktu shalat yang lima. Tergelincir matahari untuk waktu shalat Zhuhur dan Ashar, gelap malam untuk waktu Magrib dan Isya. [Surah Isra - 17:78]

Bukanlah maksudnya di sini, lepas solat kita terus lupa pada Allah. Ana tekankan kembali disini, berkonsert ini perlu dalam keadaan mengingati Allah. Ana sama sekali tidak bersetuju dengan konsep Islam liberal. Contohnya dalam beberapa komen di blog-blog sekitar UTP ini yang lebih kurang mengatakan : aku solat dah, maka kena ar seimbang dengan maksiat. Nauzubillah. Pemikiran ini sangat menyeleweng dan dikhuatiri menggugurkan akidah.

Solat adalah tiang agama. Solat itu sepatutnya menjadi benteng pertahanan diri kita. Bahkan Allah, telah berfirman mengatakan bahawa solat itu dapat menghalang kita daripada mengerjakan perbuatan fahsya’ dan munkar.

Firman Allah

Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. [ Surah Al-Ankabut 29:45 ]

Namun, pada masa kini. Solat itu tidak dihayati dengan sepenuhnya. Seharusnya konsep khusyu’, khudu’ dan taat dalam solat dibawa ke luar solat. Terjemahkannya dalam kehidupan seharian. Tapi, bila di luar solat. Kita macam lupa tuhan. Lupa segala-galanya. Ada istilah baru yang ana belajar daripada konsert Hotlink baru-baru ini. Moshing dan pogo. Gaya melompat-melompat yang tidak keruan secara jelas tidak menggambarkan akhlak seorang muslim.

Enakkah kita mengaku sebagai muslim tapi tidak mempraktikkan akhlak muslim. Sedihkah kita jika pada satu hari nanti kita melihat anak perempuan kita melompat terkinja-kinja dengan lelaki yang bukan suaminya? Tidak marahkah kita jika kelak kita melihat anak lelaki kita terpekik, terlolong tiada arah tuju sambil terloncat-loncat berhibur tanpa batas? Sukakah kita melihat anak kita yang rajin dalam solat tapi zikir hariannya adalah lagu lagu artis dan bukannya al-quran ? Fikirkanlah... sejauh mana solat kita dapat membantu diri kita mendekatkan diri kepada Allah.

  1. Lirik lagu yang didengar semasa konsert.

Setiap apa yang kita dengar, lihat dan cakapkan akan diperhitungkan oleh Allah di akhirat kelak. Atas dasar inilah kita begitu berhati-hati dalam memilih lirik lagu. Kita amat bimbang akhir-akhir ini kebanyakan lagu yang disiulkan oleh remaja mengandungi lirik yang menakutkan kerana bersifat syirik dan kufur! Sebagai contoh, lagu kumpulan Black Eye Peas iaitu Where is the Love secara jelas meminta pertolongan dari Father (tuhan orang Kristian ). Di manakah akidah kita semasa menyanyikan lagu itu?

Oleh sebab itu, kita perlu berfikir sebaik mungkin. Adakah lagu yang kita dengar ini bermanfaat kepada Islam? Ada atau tidak unsur unsur jahiliyyah dalam lagu ini? Persoalan ini haruslah dijawab dengan panduang Al-Quran, Hadis, Qias mahupun Ijma’ Ulama’.

"Dan di antara manuasia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang melalaikan untuk menyesatkan (orang) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan Allah itu olok-olokan. mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan" (Luqman: 6)

“Pujuklah (wahai Iblis) siapa yang engkau mampu di antara mereka dengan menggunakan ajakanmu (ulama mentafsirkan ajakan sebagai nyanyian)” (Al-Isra': 64)

Kita tidak mahu ada unsur-unsur pemujaan wanita dalam lagu (puja lelaki ada jugak ke? ) , unsur penyembahan tuhan selain Allah, unsur penggalakan maksiat, ayat-ayat lucah dan menghairahkan. Semua ini adalah jelas kebatilannnya.

Justeru, dalam lirik lagu yang bakal dinyanyikan oleh Ramli Sarap kelak, ana mendapati tiada unsur yang menyebabkan kita tidak boleh mendengar lagu tersebut. Bagaimana dengan konsert Adam AF 2 sehari selepas itu? Fikirkanlah dengan bijak....

  1. Artis lelaki atau perempuan.

Sub topik ini pada pendapat ana tidak perlu dipanjangkan kerana pada kali konsert Convofair hanya didatangi oleh artis lelaki. Namun perlu juga kita telusi secara permukaan pendapat yang mengatakan tentang penglibatan artis lelaki dan wanita dalam mana-mana konsert.

Disini ana sekadar ingin mencadangkan beberapa laman web yang boleh pembaca lihat untuk memperbanyakkan ilmu mengenai hukum persembahan artis wanita di konsert-konsert.

#Laman web 1 (ana post kemudian)

#Laman web 2 (ana post kemudian)

Kesimpulannya, marilah kita berpegang kepada pendapat Ulama yang muktabar mengenai konsert hiburan iaitu Dr. Yusuf Qaradawi . Beliau telah menggariskan empat sebab konsert itu menjadi haram

1) Melanggar tatasusila Islam

[lirik lagu dan pakaian ] [rujuk hujah1 & 2 ]

2) Menyanyi atau menyampaikannya dalam bentuk syahwat dan berlenggang lenggok

[artis ] [ rujuk hujah 5 ]

3) Jangan nyanyian atau hiburan itu meninggalkan tanggungjawab utama seperti solat

[waktu solat] [rujuk hujah 3 ]

4) Keempat . jangan disertai oleh benda haram seperti minum arak dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

[majlis] [rujuk hujah 2]

Buat akhirnya, terimalah , Bukan Kerana Nama. (Ramli Sarip)

Bukan Kerana Nama

Jangan kau pandang bibir yang manis

Kerana dia bisa menghancurkan

Jangan kau pandang wajah yang indah

Kerana dia bisa meracunmu

( korus )

Dengarlah hai teman

Dengarkan bersama

Aku menulis bukan kerna nama

Kerna sifat kasih

Pada sesama insan

Dan menyatakan kasih sayangmu

Kita sama semuanya sama

Apa yang ada hanyalah kehidupan


Jangan kau dengar puisi dusta

Kerana dia bisa merosakkan jiwamu

Dengarkanlah puisi di pusaka

Yang telah turun temurun hari ini


Jangan kau alas hatimu itu

Dengan secebis warna kehitaman

Dialah seperti anai-anai

Lambat laun hancurlah dirimu

p/s: Konsert Adam AF 2 bagaimana pula? Mari kita fikir bersama...

Labels: ,

 0 Comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komentarnya ^_^

<< Home