Tuesday, October 27, 2009

Anda Hebat!... kerana

"Siapa anda?"


"Pelajar Teknik Hebat!"


"Siapa anda?"


"Pelajar Vokasional Hebat!"


"Siapa anda semua?"


"Pelajar HEBAT!"

Begitulah laungan permulaan kepada sesi Pecutan Terakhir yang baru di adakan di Sekolah Menengah Teknik Sri Iskandar, Bandar Sri Iskandar, Perak. Ana dijemput selaku motivator mewakili syarikat motivasi Suria Horizon Training and Consultancy, satu syarikat yang ana bangunkan bersama-sama sahabat yang mengambil master di UTP.



Jujurnya, ana terasa kurang bersedia semasa menyampaikan ceramah motivasi tersebut. Hakikatnya, banyak perkara yang perlu diuruskan dan diberikan perhatian sejak akhir-akhir ini. Semenjak kehilangan handphone nokia E75 semasa convocation tempoh hari, banyak sangat urusan yang terasa tidak dapat diuruskan dengan baik. ( Insya Allah, dalam tempoh terdekat, akan ada penggantinya untuk menjadi PA diri ini...)




Namun, perasaan tidak bersedia itu terhapus begitu sahaja sebaik sahaja kaki ini menjejakkan kaki ke Dewan Besar sekolah teknik ini. Tepukan gemuruh dari 294 pelajar tingkatan 5 terasa begitu mengujakan. Mereka begitu bersemangat dan ceria untuk mendapatkan sedikit perkongsian pengalaman yang tidak seberapa dari diri ini.



Malam itu dapat dirasakan wajah-wajah itu begitu teruja dengan persoalan yang dibawa. Di hujung program, ana cuba simpulkan hujah-hujah yang disampaikan selama sejam. Sejam pertama banyak dihabiskan dengan sesi secara santai dan beramah mesra dengan soalan jawab dengan 4-5 orang peserta bertuah . Ada lagi 30 minit untuk membawa majlis ini ke penghujungnya.

"Kenapa perlu berjaya dalam SPM?" soal ana ringkas.


Soalan yang ana kira biasa dipersoalkan namun, jawapan yang seringkali berbeza diterima....

Adik-adik di sekolah teknik ini boleh dikatakan semuanya sangat aktif, berpuluh-puluh tangan diangkat sebagai tanda untuk menjawab soalan.

"Sebab nak dapat kerja yang baik" jawab adik Faiz.

Ana tersenyum mendengar jawapan tersebut. Sebuah naskhah Hadis Arbain Imam Nawawi dihadiahkan kepada adik tersebut atas keberaniannya untuk tampil ke hadapan menjawab soalan.


"Siapa lagi nak mencuba untuk menjawab?"

Kali ini lebih ramai lagi tangan yang mengangkat. Mungkin teruja melihat kawan mereka mendapat hadiah atas persoalan yang diajukan.


"Sebab nak masuk universiti yang best macam along" ujar Syed dengan senyuman girangnya. Along adalah gelaran yang sering ana gunakan pada setiap program motivasi. Gelaran ini dipilih kerana sinonim dengan jiwa ana sebagai abang, ya.. sebagai abang, bukannya pengutip hutang (Ah Long)

Bagus, ramai yang berani mencuba. Insya Allah adik-adik akan dapat apa yang adik-adik semua idamkan. Tapi, tahukah adik-adik, ada perkara yang lebih besar dari itu yang menuntut kita untuk berjaya? 

Lagi best dari masuk U, lagi best dari dapat kerja yang gaji besar, lagi best dari semua itu! Ada yang tahu dan ingin mencuba?


Semua diam. Ada yang mula membuka buku catatan kecil. Mungkin terasa mahu disalin hujah-hujah yang akan ana keluarkan selepas itu.

"Mardhotillah, "

Jawapan yang ringkas. Tapi besar pengertiannya. Keredhoan Allah.

 Ana huraikan sedikit pengertian Keredhaan Allah, kemudian dikaitkan dengan keredhaan Ibu Ayah. Lalu, bermulalah sesi muhasabah.

Memang dari awal, ana sudah bersedia dengan sesi muhasabah. Sejak dari alam kampus, ana telah terbiasa untuk menjadi pemuhasabah. Samada berbentuk keras mahupun ringan. Alhamdulillah, dengan izin Allah, hampir setiap program muhasabah yang ana jalankan, berakhir dengan titisan air mata keinsafan oleh semua peserta yang hadir, dan kadang-kadang, ajk program turut sama menangis pada waktu itu.

Ya, benar. Insaf bukanlah diukur dengan titisan air mata yang dikeluarkan. Bahkan air mata juga bukan kayu pengukur kepada keberjayaan sesi muhasabah yang dilakukan. Namun, sekurang-kurangya kita memahami, bila mana seseoarang itu berada dalam keadaan yang insaf, air matalah yang akan mengalir menemani diri. Lihatlah pada kisah-kisah taubat yang agung. Sebagai contoh kisah Nabi Adam, bukankah penginsafan baginda disertai dengan air mata.

Dan pada malam itu, bila dibawakan sesi muhasabah ringkas diselangi dengan video anak soleh dan lagu untukmu ibu, adik-adik sekolah teknik ini mula mengalirkan air mata keinsafan mereka. Ana mengetuai membaca doa dalam mood keinsafan, semakin panjang doa yang ana bacakan, semakin mengharukan suasana dalam dewan tersebut. Ya, sudah tentu. Doa dibaca dalam bahasa melayu. Bahasa yang difahami. Bukannya dalam bahasa lain yang walaupun nampak hebat, namun kosong dari segi makna dan penghayatan.

Dalam keharuan dan suasana sayu tersebut, ana minta semua adik-adik itu untuk bangun. Ramai yang segan. Malu kawan-kawan melihat matanya yang merah barangkali. Namun, ana paksa juga mereka bangun.. kerana, ada perkara penting yang perlu mereka lakukan. Minta maaf!

Ya... minta maaf kepada guru-guru mereka. Yang mewakili ibu bapa mereka di rumah. Seorang demi seorang pelajar bangun menuju ke arah guru-guru yang berada di bahagian belakang dewan. Sebaik sahaja mereka bersalaman dengan guru-guru mereka, tangisan semakin kuat kedengaran. Ya, sebak... sungguh sebak... Bermulah babak mohon maaf yang amat syahdu. Ana menyaksikan dengan penuh perasaan dari atas pentas. Dalam hati ini terus berbisik " Sucinya hati adik-adik ini, begitu mudah tersentuh dan cepat untuk merendahkan diri untuk memohon maaf".

Dan sesudah itu, ana habiskan program motivasi pecutan terakhir dengan memberikan petua-petua untuk berjaya dalam masa yang amat terbatas ini. Pengalaman mendapat 39/100 dalam kertas Matematik Tambahan sewaktu Peperiksaan Percubaan SPM tahun 2003 dikongsi bersama dengan mereka. Dalam kekangan waktu yang sedikit, tidak sampai 3 bulan, ana berjaya melonjakkan diri ke dari F9 kepada A2... Satu pengalaman berharga yang ana kira berjaya menyuntik keazaman adik-adik ini untuk memburu kejayaan walaupun tinggal kurang dari sebulan sebelum 18 November 2009 ini.

Ternyata, sesudah habis program. Adik-adik seramai 294 berpusu-pusu kehadapan menyerbu untuk bersalaman dan mengucapkan terima kasih atas perkongsian yang dilakukan. Ana terasa begitu terharu. Adik-adik ini begitu menghargai usaha yang amat sedikit ini. Ramai yang meminta nombor telefon dan email untuk membolehkan mereka menghubungi ana selepas ini. Tak kurang juga ada yang meminta sahabat ana dari Suria Horizon Training and Consultancy ini untuk menjadi adik angkatnya.

Semoga Adik-adik semua success dalam peperiksaan SPM ini disamping terus berusaha merebut Mardhotillah.


Mohd Hakim
CEO Suria Horizon Training and Consultancy
6.30pm
27 Oktober 2009





Labels:

 2 Comments:

At October 28, 2009 at 11:07 AM, Blogger Tablet Hati said...

"abang hakim a.k.a megat...nta memang pemuhasabah yang hebat...lembut menyentuh perasaan , keras mengundang ketakutan (kadang2 kebencian)tapi tetap terkesan....syabas...isma"

 
At October 29, 2009 at 10:45 AM, Blogger Unknown said...

"great job bro! teruskan berbakti.."

 

Post a Comment

Terima kasih atas komentarnya ^_^

<< Home