Sunday, September 14, 2008

Lailatul Qadar : perlu atau tidak?






[“ Kisah yang berlaku setahun yang lalu semasa di bulan Ramadhan. Semoga ada manfaatnya dari kisah ini. -penulis“ ]

“Kenapa muram aje ni dik? Sakit ke?” ana menyapa seorang adik junior yang sedang duduk di laluan ke blok kediaman. Pagi ahad memang masa yang seronok di UTP ini. Tak ada kelas. Terlepas dari beban untuk bergegas ke dewan kuliah di pagi hari. Pagi itu suasana cukup nyaman. Matahari seakan-akan malu untuk timbul. Kicauan burung memeriahkan lagi suasana. Namun, keceriaan pagi itu seolah-olah tidak dikongsi bersama dengan adik itu. Mukanya sugul. Muram. Nampak jelas rasa kesal yang mendalam di raut wajahnya yang bersih itu.

“Abang Hakim, rugi sangat rasanya. Rasa menyesal sangat.” Adik itu mula meluahkan perasaannya. Ana diam. Memasang telinga. “Malam semalam tertidur awal, lepas isya’ terus tertidur. Tak sempat Tarawih. Subuh pun terlajak. Qiamulaill jauh sekali. Ni mungkin sebab makan banyak masa berbuka . Haih, ruginya. Dah le semalam dah mula sepuluh malam terakhir Ramadhan. Kawan-kawan kata, malam semalam lailatul qadar sebab pagi ni matahari macam tak terang sangat” Satu persatu luahan hatinya dikongsi.

Ana tersenyum. Dalam hati ana berbisik” Masya Allah, bagusnya adik ini. Semangatnya untuk beribadah amat tinggi. Tapi, macam ada yang tak kena.” Ana memegang bahunya. Berdasarkan pengalaman, sentuhan boleh merapatkan lagi perasaan kasih sayang antara daie dan mad’u. “Dik, agak-agak, betul ke lailatul qadar tue semalam?”


“Ana rasa betul le bang. Tengok pagi ni. Syahdu semacam aje” Adik itu terus memperlihatkan kesedihannya. Nampaknya adik ini begitu terkesan dengan pendapat temannya itu. Tapi ana hairan dengan adik ini. Keinginan untuk bertemu Lailatul Qadar amat tinggi namun jarang kelihatan di masjid.

Lalu ana bertanya kepadanya kembali, “ Abang Hakim minta maaf kalau pertanyaan abang ini mengguris hati adik, tapi kalau tak silap abang, sepanjang bulan ramadhan ni, jarang abang nampak adik di masjid. Kenapa ye?”

Adik itu tersipu-sipu malu sambil tersenyum simpul. Sambil tersengih, dia menjawab, “ Ana bukan apa bang, 20 malam pertama ni lailatul qadar tak ada, jadi memang sengaja ana fokus pada 10 malam terakhir aje. Nanti bila bertemu lailatul qadar, kan ke ganjarannya seperti beribadah 1000 bulan. So, boleh lah ‘cover’ semula 20 malam yang awal tu” petah adik itu berbicara memberi hujah.

Sah. Adik ni dah terkena sindrom MUSLAITUQ. Muslim Lailatul Qadar. Antara simtomnya ialah mereka yang hanya mula beramal pada 10 malam terakhir sahaja. Perlahan ana mengusap bahu adik itu. Sambil tersenyum, ana membalas hujahnya, “Ok, katakanlah malam semalam memang lailatul qadar dan peluang untuk beribadat dah terlepas ,jadi selepas ini dah tak perlulah kita memperbanyakkan ibadat lagi sebab dah tak ada lailatul qadar. Betul ke gitu?” Adik itu diam. Dia mula memikirkan logiknya.


Ana terus menyambung hujah. Kalaulah selama ini kita beramal kerana lailatul qadar, sesungguhnya lailatul qadar itu hanya satu malam sahaja dalam setahun. Kalaulah kita beramal kerana Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan itu hanya sebulan sahaja dalam setahun. Lalu, adakah kita akan biarkan hari dan bulan yang lain berlalu kosong sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat kepadaNya lantaran tiadanya ganjaran yang sehebat Ramadhan?

Oleh itu, beramallah kerana mencari redha Allah. Kejarlah keredhaanNya dan bukan ganjarannya semata. Ganjaran yang dijanjikan hanyalah sekadar penguat semangat untuk beribadat kepadanya. Jis utamanya ialah keredhaan Allah itu sendiri.

Ana menarik nafas perlahan. Tiba-tiba hati ini rasa hiba dan sayu. Hiba kerana melihatkan fanomena umat Islam masa kini. Ramai yang tersasar membidik matlamat. Terasa air mata bergenang kecil.

“Kenapa abang hakim tiba-tiba sedih ni?” adik itu hairan dengan perubahan nada suara ana.

Rasa hiba itu ana kongsi bersama dengannya. “Ramai yang kejar kulit dan bukan isinya.” Ana berkias. Seakan faham dengan kiasan itu, adik itu bertanya, “Maknanya, tak bolehlah kita beramal untuk mendapat ganjaran dan kelebihan yang ada?”

Ana tersenyum. Soal jawab memang kaedah yang terbaik untuk membina kefahaman. “Dik, sebenarnya tidak salah untuk terpesona dengan tawaran ganjaran yang berlipat ganda di bulan Ramadhan dan menjadi ghairah memburu lailatul qadar, namun mengapa di hari dan bulan lain amal ibadat ini terus merudum mendadak.

Bukankah matlamat madrasah Ramadhan itu untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Lailatul Qadar hanyalah sebagai “booster” untuk mempertingkatkan amalan. Apalah gunanya hebat beribadat di bulan Ramadhan namun menjadi tin kosong tidak berisi apabila keluar dari Ramadhan.

Sebagai contoh, sebelum tiba Ramadhan, jemaah yang solat maghrib di Masjid An-Nur ini paling ramai dalam 5 saf. Namun di bulan Ramadhan bilangan itu tiba-tiba bertambah mendadak hingga mencecah 15 saf. Anehnya, selepas Ramadhan berlalu, angka itu merosot semula kepada 5 saf dan kadangkala kurang daripada itu.

Aneh. Sangat aneh. Adakah kita cuba untuk berlakon di hadapan Allah? Adakah Allah tidak tahu semua ini?” Ana kembali diam. Menyusun kalam. Adik itu terus menunggu buah bicara yang seterusnya.

“Dik, sebenarnya, begitulah juga dengan Lailatul Qadar ini. Kenapa hanya menanti 10 malam terakhir sahaja baru ibadat nak ditingkatkan? Sedangkan Lailatul Qadar itu boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang Ramadhan. Lailatul Qadar adalah hadiah Allah kepada orang-orang yang tekun berusaha mencarinya.

Tingkatkanlah amal Ibadat sepanjang masa. Ibadat ini seharusnya tidak bermusim.Mudah-mudahan, dengam amal ibadat yang tekun dan konsisten akan mempertemukan kita dengan Lailatul Qadar. Kalau tidak bertemu pun tidak mengapa, asalkan kita mendapat Redha Allah sudah mencukupi.”

“Jadi abang, sebenarnya ada lagi tak peluang ana untuk bertemu lailatul Qadar ni?” kedengaran suara penuh harapan dari pertanyaan ini.

Jawab ana ringkas. “Insya Allah ada. Namun… harus diingat, yang dicari bukanlah Lailatul Qadar, tapi redha Allah. Faham kan?”

“Alhamdulillah. Faham bang. Lebih kurang gini le kan abang Hakim: “Tiada gunanya bertemu lailatul qadar namun tidak mendapat Redha Allah. Betul kan bang?”

Ana menganguk perlahan dan tersenyum. Alhamdulillah. Semoga Allah menerima amal kita di bulan Ramadhan ini. “Ya Allah, semoga Engkau Redho dengan kami dan pertemukanlah kami dengan Lailatul Qadar.Amin Ya Rabbal Alamin.”

Ahad
14 Ramadhan 1429H
11.30 pagi.

Mohd Hakim Bin Mohd Nor
Presiden Rakan Masjid
Universiti Teknologi PETRONAS

 0 Comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komentarnya ^_^

<< Home