Saturday, August 30, 2008

Kalam Presiden Rakan Masjid

1. Di bawah ialah petikan Kalam Presiden Rakan Masjid edisi satu dan dua

2. Kalam Presiden ini sebenarnya adalah ilhamdaripada teman-teman seperjuangan. Mereka mahukan Rakan Masjid memberikan 'sta
nd' kepada event-event hiburan yang berlambak di UTP ini.

3. Kebetulan dua minggu pertama di UTP ini disajikan dengan event hiburan iaitu symphony fest dan v3 dinner.

4. Rumusan kepada kalam presiden itu ialah.
- kami bersetuju bahawa event berbentuk hiburan boleh dianjurkan
- kami tidak setuju jika hiburan yang ditampil bercanggah dengan syariat islam.
- kami merujuk kepada fatwa Dr Yusof Qordowi dalam menentukan halal dan haram dalam hiburan
- kami akan hadir memberikan sokongan kepada event2 yang tidak bercanggah dengan syariat


5. Semoga 2 edisi awal kalam presiden itu ada manfaat yang berpanjangan dalam gerak kerja da'wah khususnya di UTP.

6. Kalam presiden yang lain akan menyusul. Insya Allah.




Kalam Presiden Rakan Masjid (edisi 1)

Al-Akh Mohd Hakim Bin Mohd Nor

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bersyukur kita pada Allah SWT kerana telah memilih kita dari jutaan hambaNya untuk menerima hidayah Islam dan sinaran nur Iman. Di penghujung bulan Rejab ini, mungkin di kalangan kita sudah mula menghitung hari akan ketibaan bulan Ramadhan. Namun, sebelum Rejab melabuhkan tirai, adalah elok kiranya kita mengambil ibrah@pengajaran dari peristiwa Isra' dan Mi'raj yang telah berlaku pada 27 Rejab tahun ke 10 kenabian.

Rasulullah s.a.w banyak memberikan peringatan kepada kita dengan menceritakan nasib umat yang melakukan dosa di dunia yang dilihat baginda semasa peristiwa Mi'raj. Ada yang memecahkan kepala berulang kali, ada yang berenang di lautan darah, ada yang menggunting lidahnya sendiri dan banyak lagi. Semua ini diceritakan sebagai satu inzar @ peringatan bahawa segala kerja buat kita didunia ini pasti akan dibalas.

Atas dasar itulah, kita harus menilai kembali setiap perkara yang kita lakukan di muka bumi ini dengan neraca Iman dan Islam. Kebelakangan ini, kita menyaksikan lambakan 'event' secara berleluasa di tanah UTP ini. Pelbagai persatuan dan kelab berusaha menghasilkan 'event' yang terbaik dengan bertujuan untuk mencungkil bakat mahasiswa di samping menjadi platform untuk mahasiswa aktif di bidang bukan akademik.

Di pihak Rakan Masjid, kami melihat perkembangan semasa ini merupakan satu budaya yang sihat untuk membuktikan mahasiswa UTP sudah mula merealisasikan misi UTP yang mahu melahirkan graduan yang 'well rounded'. Namun, di pihak kami turut melahirkan kebimbangan terhadap penganjuran 'event-event' berbentuk hiburan yang muncul dalam skala yang makro sejak akhir-akhir ini. Sebagai contoh, semester ini sahaja kita akan disajikan dengan Kembara Sufi, Persembahan semasa Convo Fair dan yang terdekat Symphony Fest. Persoalannya, adakah semua 'event' hiburan ini bertepatan dengan kehendak Islam?

Kami di Rakan Masjid sama sekali tidak pernah menolak 'event' berbentuk hiburan ini selagi mana penganjurannya berlandaskan lunas-lunas Islam. Atas dasar itu, kami menyeru kepada seluruh mahasiswa UTP yang terlibat dalam menganjurkan waima menyertai 'event-event' hiburan ini menilai kembali status 'halal' 'event' tersebut.

Justeru, kami menyeru untuk kita sama-sama berpegang kepada ijtihad tokoh ulama antarabangsa yang terkemuka , Prof. Dr. Yusof Al-Qordowi dalam memastikan 'event' yang dianjurkan selari dengan kehendak Islam. Antara 'checklist' yang perlu dipatuhi ialah,

Penyanyi – hendaklah menutup aurat, bukan seorang wanita

Persembahan – terjaga dari segi akhlak & perbuatan, tiada penari wanita

Penonton – terpelihara daripada percampuran antara lelaki & perempuan yg bukan mahram, menjaga akhlak & perlakuan

Lagu/lirik – tidak menaikkan syahwat, tidak memuja manusia secara berlebihan

Sekali lagi kami menegaskan, di pihak Rakan Masjid kami sentiasa terbuka dan berlapang dada dalam penganjuran 'event-event' hiburan di UTP ini . Kami bukanlah golongan penghukum tetapi hanya sekadar ingin berkongsi apa yang kami tahu dengan kalian. Jelasnya, pihak kami juga tidak ketinggalan dalam menganjurkan 'event' hiburan seperti Kembara Sufi. Cumanya, apa yang ingin ditegaskan disini bahawa kami sama sekali tidak akan berkompromi dengan elemen-elemen mungkar yang wujud dalam mana-mana 'event' tersebut. Seandainya 'checklist' yang telah digariskan oleh Prof. Dr. Yusof Al-Qordowi tadi dipatuhi, tiada masalah di pihak kami untuk menyokong dan menghadiri mana-mana 'event' hiburan yang dianjurkan di UTP ini.

Sesungguhnya, risalah ringkas ini hanyalah satu resolusi untuk kita menjentik kembali rasa bertuhan dalam diri kita. Kita sudah semestinya sama sekali tidak mahu terhimpun dalam golongan yang menerima azab yang maha dahsyat seperti mana yang telah disaksikan oleh Rasulullah dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj. Sesungguhnya setiap kerja buat kita samada dalam menganjurkan ataupun menyertai 'event' di muka bumi UTP ini pasti akan dihitung oleh Allah. Bersamalah kita bermohon kepada Allah agar meletakkan kita dalam golongan yang mendapat rahmatNya dan bukan murkaNya.

Jumaat

1 Ogos 2008

8.30 pagi

Mohd Hakim Bin Mohd Nor

Presiden Rakan Masjid,

Universiti Teknologi PETRONAS.

019-5708755

mohdhakim@rakanmasjid.com



Kalam Presiden Rakan Masjid (edisi 2)

Al-Akh Mohd Hakim Bin Mohd Nor

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Acapkali telinga ini mendengar persoalan lazim mahasiswa, “ Alamak. Susahnya subjek nie. Dah baca banyak kali pun tak faham-faham.” Tidak kurang juga yang mengeluh selepas keluar dari dewan peperiksaan. “Aduhai. Susah sungguh soalan tadi. Latihan dah buat banyak kali, tapi asyik tak dapat nak jawab aje bila exam”. Jika dihimpun bertingkat-tingkat semua keluhan dan rintihan ini, mungkin bangunan setinggi KLCC pun boleh terhapus dari pandangan mata kita.

Persoalannya, mengapakah keluhan ini seringkali keluar dari mahasiswa islam sedangkan kita dilabel dalam Al-Quran sebagai umat yang terbaik? Status terbaik itu sendiri sepatutnya menggambarkan bahawa kitalah johan dan ‘leader’ dalam apa jua bidang yang diceburi. Anehnya, kenapakah perkara itu jarang berlaku dalam bidang akademik? Dalam mencari jawapan kepada persoalan keramat ini, rupa-rupanya persoalan ini telah pun terjawab beberapa ratus tahun yang lampau.

Imam Syafie bertanya kepada gurunya Imam Waqie, “Mengapakah saya tidak dapat memahami dan menghafal pelajaran pada hari ini?” Lalu jawab Imam Waqi “ Sesungguhnya Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke dalam jiwa yang kotor dengan maksiat”. Sedangkan Imam Syafie yang merupakan ulama mazhab yang hebat pun terganggu pembelajarannya hanya kerana terlihat secara tidak sengaja betis wanita, apatah lagi kita yang setiap hari mungkin bergelumang dengan dosa-dosa samada secara sengaja atau tidak.

Justeru, amatlah penting bagi kita untuk mengkoreksi diri agar Ilmu yang kita pelajari itu diberkati oleh Allah. Kadangkala kita alpa dan lalai hingga secara tidak sedar terjebak dengan maksiat samada seoarang diri ataupun beramai-ramai. Sudah tentu kita tidak mahu ilmu yang kita pelajari dengan susah payah hilang begitu sahaja kerana maksiat yang kita lakukan ini.

Secara khususnya di UTP, terdapat beberapa maksiat yang dilakukan secara kerap hinggakan seolah-olah telah menjadi kebiasaan atau “habit” di kalangan warga kampus. Antaranya ialah penganjuran “event” yang diselitkan unsur maksiat seperti tarian wanita, pencampuran penonton lelaki dan wanita yang tidak terkawal, pakaian “performer” yang tidak menutup aurat dan banyak lagi . Semua ini bukan sahaja menggelapkan hati kita, bahkan seolah-olah sengaja mengundang amarah Allah. Sedihnya, ada di kalangan kita tahu perkara ini salah dan maksiat tapi masih mahu melakukannya.

Justeru, marilah kita bersama duduk sejenak berfikir kearah mana halatuju hidup kita selepas ini. Mengapakah setelah terbentang di hadapan kita petunjuk dan hidayah, masih ada yang menolaknya? Mungkin ada yang merasakan walaupun dengan melakukan dosa dan maksiat dia masih mampu mencapai kejayaan dalam akademik. Namun,banggakah kita mencapai kejayaan tersebut sedangkan saham akhirat kita tipis dan mungkin kering kontang?

Di hadapan kita telah terbentang dua jalan, satu membawa ke syurga manakala satu lagi membawa ke neraka. Pilihan ada di hati kita. Buatlah pilihan yang terbaik. Hanya hati yang bersih dapat membimbing kita ke syurga dan ianya datang setelah kita menghindari perbuatan-perbuatan dosa.

Kami di Rakan Masjid sentiasa berharap agar kita mahasiswa Islam bukan sahaja mampu menjadi Hamba Allah yang diredhainya, bahkan mampu menggegar dunia akademik dengan kejayaan-kejayaan yang membanggakan. Mulakan langkah pertama kita untuk merangkul kejayaan itu dengan menghindari perbuatan maksiat. Marilah kita buktikan bahawa Umat Islam itu memang yang terbaik samada dari segi akhlak , muamalat dan juga akademik!!! Insya Allah.

Sabtu

9 Ogos 2008

1.00 tengahari

Mohd Hakim Bin Mohd Nor,

Presiden Rakan Masjid,

Universiti Teknologi PETRONAS.

019-5708755

mohdhakim@rakanmasjid.com



 0 Comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komentarnya ^_^

<< Home