Monday, December 21, 2009

Pendapat Alumni SIS & SERATA (1)




Bersempena dengan kempen untuk memprotes dan membantah usaha untuk memindahkan pentadbiran Sekolah Izzuddin Shah (SIS) dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA), ana akan menyiarkan di blog ini segala pandangan, karya, pendapat dan hujah dari bekas-bekas pelajar SIS dan SERATA untuk tatapan semua.


Sesungguhnya bibit penyatuan telah bermula dan ianya begitu cepat membiak dan merebak.... Dan tiba masanya ia akan meletus kuat hingga tidak mampu ditanggung oleh sesiapa....sebarang yang hadir akan ranap dimusnahkan oleh kuasa letusan ini.... bagi yang cuba menghalangnya akan terhapus dek kuatnya kuasa letusan ini.... dan ianya adalah azam dan semangat kami bekas-bekas pelajar dan seluruh rakyat Negeri Perak agar SIS dan SERATA tidak diganggu oleh sebarang usaha dan campur tangan luar!

=======================
Perkongsian 1
=======================
Bismillahirrahmanirrahim....

Saya terpanggil untuk menyahut sapaan memori lalu. Ketika masih di bangku sekolah menengah, banyak pengalaman yang ditimba buat bekalan meniti penghidupan di hari muka. Bukan itu sahaja, malah pada tempoh itu juga saya mula menempa corak kehidupan. Justeru itu, menyedari peri pentingnya usia awal remaja ini, segenap bekalan yang banyak dan tepat haruslah dipersiapkan supaya diri tidak tersasar dari jalan hidup yang diredhoi Allah-tatkala jiwa dimamah usia kelak.


Saya amat bersyukur kerana melalui zaman itu di sebuah institusi pendidikan yang sangat baik. Masakan tidak, ketika saya diterima masuk ke sekolah tersebut, difahamkan seramai 600 orang yang memohon namun hanya 140 sahaja yang terpilih. Tambahan pula, mekanisme pengambilan pelajarnya pula menerusi satu peperiksaan khas yang saya kira amat mencabar dan sukar juga.


Itulah Sekolah Izzuddin Shah dan begitulah rapinya langkah-langkah yang dilaksanakan bagi memelihara kualiti & prestasinya. Bercakap soal kualiti & prestasi, berputik persoalan dalam diri bertanyakan di manakah letaknya ‘tuah’ sekolah ini? Apakah formula kejayaan yang diamalkan?Adakah sistem pendidikannya berbeza dengan yang lain?


Satu masa dahulu, ketika mengisi satu borang rasmi, saya pernah bertanya satu soalan kepada seorang guru yang juga penolong kanan ketika itu.


“Apa nama sebenar sekolah ni cikgu? ”.


 Lantas guru itu menjawab, “Sekolah Izzuddin Shah”.


Saya bertanya semula kerana sedikit gusar  ”Bukan ke ‘Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah’ cikgu?


”.”tidak...’’guru itu menjawab tenang. “sekolah kita ni berdaftar  dengan nama tu. Sekolah Izzuddin Shah” tambahnya lagi.


“habis tu, apa yang membuatkan sekolah semacam sekolah agama? Malah orang ramai semuanya menganggap ni sekolah agama. Camne tu cikgu?” saya bertanya lagi


dan duru itu menjawab “semuanya terletak pada apa yang kita ada dan apa yang kamu rasa serta apa-apa yang kamu lalui di sekolah ni”. Ringkas jawapan guru itu kerana dia tahu yang saya ada jawapan dan dia yakin kesahihannya.


Apa yang ada? Saya mula mengoreksi minda dan sempat juga bertukar pandangan antara sahabat-sahabat lain, ternyata jawapan bagi persoalan itu semuanya sama. Bukan sepakat tetapi itulah hakikat. Semua setuju dengan keberadaanya peperiksaan I’dadi, thanawi, sijil tinggi agama dan tidak lupa sebuah organisasi induk –Badan dakwah & Rohani. Semua inilah elemen penting yang selama ini wujud, bukan sahaja mencorakkan sekolah malah membentuk peribadi pelajarnya itu sendiri.


Umum merasakan peperiksaan I’dadi dan thanawi seakan tidak punya apa-apa potensi, malah ada pula yang memandang enteng akan peranannya. Walau apa jua perubahan yang ingin dibuat, pemansuhan elemen ini bukanlah satu langkah yang bijak, malah ia seolah-olah menuju kepunahan visi sekolah iaitu ‘menuju matlamat tertinggi’.


Kewujudan peperiksaan I’dadi dan thanawi ini sebenarnya dapat menjamin ketulenan ilmu memandangkan pengajarannya dalam bahasa arab. Memang tidak dinafikan akan betapa hebatnya bahasa al-Quran ini, bahkan ianya adalah bahasa syurga. Ia juga bahasa para anbiya’ dan juga bahasa junjungan mulia kita nabi Muhammad S.A.W. Apakah mungkin di luar sana ada yang menyangkal hebatnya bahasa ini? Ternyata bahasa arab ini sungguh barakah.


Jika dikaitkan dengan elemen I’dadi dan thanawi, saya berpendapat bahawa sekiranya pelajar tidak mendapat ilmu dan kefahaman daripada apa yang dipelajari, barakahnya pasti ada. Barangkali bukan pelajar itu yang hendak Allah berikan kefahaman tetapi mungkin generasi anak cucu mereka. Inilah yang dikatakan barakah ilmu –ia lebih penting daripada ilmu dan selainnya. Inilah juga nilai ketulenan dalam siri pencarian ilmu yang kira-kira patut ada dalam diri setiap pelajar.


Islam adalah sebagai “ad-deen “ –secara mudahnya bermaksud cara hidup. Saya menyedari akan kehidupan pasca persekolahan ini amat menuntut kepada ilmu kehidupan. Saya suka untuk mengajak semua untuk menyedari akan kasihnya Allah akan hambanya kerna dibekalkan kita dengan manual kehidupan iaitu al-Quran. Apa yang disampaikan menerusi wadah suci ini adalah panduan hidup. Ia sememangnya suatu ilmu yang praktikal dan wajib untuk semua umat manusia ikuti.


Samalah juga dengan I’dadi dan thanawi dimana silibus pelajarannya tidak lain adalah berkisar mengenai ilmu-ilmu agama sebagai panduan hidup manusia dan bekalan rujukan perjalanan hidup para remaja khususnya. Inilah ilmu yang tidak mungkin dapat dicari di sekolah-sekolah SBP, MRSM mahupun di sekolah kluster.


Biarlah SIS yang saya cintai ini tidak tergolong dalam kategori sekolah bestari ataupun kluster, tetapi janganlah sampai nilai ilmu kehidupan sebenar itu tergadai dan terkubur dek pembawaan minda sekular yang ternyata menyalahi fitrah manusia serta amat menyesatkan.


Bukan itu sahaja, kewujudan I’dadi dan thanawi ini sedikit sebanyak memberikan kesedaran akan kepentingan hidup beragama dan menjadikan hidup itu satu ibadah. Firman Allah dalam al-Quran itu sendiri(mafhumnya) telah menyebut akan tujuan Dia menciptakan manusia dan jin adalah semata-mata untuk beribadah. Ramai yang menjumudkan minda apabila bercakap soal ini kerna berpendapat bahawa skop ibadah itu hanya menyentuh aspek solat, puasa, qiamullail dan apa jua aktiviti di atas hemparan tikar sejadah semata-mata.


Saya masih teringat ketika mempelajari matapelajaran tauhid. Sejak dari saat itu, saya mula mencari perkaitan antara segala apa yang saya dapat di sekolah dengan Allah S.W.T. Inilah sebenarnya kesan pembelajaran yang saya dan sahabat-sahabat lain dapat rasakan sendiri.


Selain itu, pelaksanaan I’dadi dan thanawi ini seakan memberikan tasawwur awal kepada pengajian aliran agama selepas tamat belajar di bangku sekolah menengah. Bagi yang berminat untuk menuntut di bumi anbiya’ –di Universiti Al-Azhar lazimnya, saya merasakan wadah I’dadi dan thanawi inilah merupakan unsur terpenting dan amat tepat. Menerusi dua elemen ini, para pelajar dapat merancang lebih awal akan perjalanan pengembaraan ilmu mereka di masa hadapan.


Golongan-golongan yang melusuri aliran agama inilah yang kita harapkan agar menjadi pewaris ulama’ di masa akan datang. Apakah ada antara kita yang rela akan kehilangan generasi ulama’ ini? Kepada siapa lagi tempat kita merujuk tatkala timbulnya isu-isu agama? Rumahtangga? Pengurusan harta pusaka?...dan pelbagai lagi permasalahan yang tidak mungkin jawapannya ditemui dalam apa-apa naskah selain merujuk kepada mereka.


Justeru, menyelami pentingnya pelaksanaan pembelajaran I’dadi dan thanawi, saya amat berharap dan senantiasa berdoa agar ia tidak akan bersemadi dek hanya kerana beberapa hal-hal yang pesimis –seperti kepentingan peribadi, kerana kononnya mahu seiring dengan arus modenisasi, mungkin kerana pelbagai pengaruh isme-isme dan barangkali kerana sogokan politik yang hanya bermotifkan duniawi serta kemewahan materi.


Sekian, terima kasih dan selamat menghayati...  


p/s: penulis merupakan setiausaha badan kepimpinan Ketua Pelajar SIS ‘05/’06, Kepimpinan BADAR  ‘05/’06 dan penerima anugerah pelajar terbaik PMR 2004 serta SPM 2006.

Labels:

 1 Comments:

At December 21, 2009 at 5:02 AM, Blogger psychedelicmundo said...

"salam.memang betul i'dadi dan thanawai lah jiwa Izzuddin.Sehingga kini pun ilmu i'dadi dan thanwi ini lah yang membantu dalam memahami bahsa arab.bukan setakat lulus dalam pperiksaan sahaja, tapi amat berguna sampai bila-bila pun. kalau dah xde ilang jiwa sekolah kita"

 

Post a Comment

Terima kasih atas komentarnya ^_^

<< Home